Skip to main content

Singapura

Keputusan serah tampuk kepimpinan kepada Lawrence Wong sebelum GE seterusnya akan dibuat kemudian, kata PM Lee

Keputusan tentang sama ada Perdana Menteri Lee Hsien Loong atau Menteri Kewangan Lawrence Wong akan menerajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum seterusnya akan diputuskan kemudian, kata Encik Lee pada Sabtu (16 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan serah tampuk kepimpinan kepada Lawrence Wong sebelum GE seterusnya akan dibuat kemudian, kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang juga Setiausaha Agung PAP, dan Menteri Kewangan Lawrence Wong di satu sidang media yang diadakan di Istana pada 16 April 2022. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 16 Apr 2022 03:27PM Dikemas Kini : 16 Apr 2022 11:29PM

SINGAPURA: Keputusan tentang sama ada Perdana Menteri Lee Hsien Loong atau Menteri Kewangan Lawrence Wong akan menerajui Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum seterusnya akan diputuskan kemudian, kata Encik Lee pada Sabtu (16 Apr).

Encik Lee berkata demikian semasa menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya semasa satu sidang media di Istana pada pagi Sabtu, berhubung garis masa bagi peralihan tampuk kepimpinan Singapura. Sidang media itu diadakan menyusuli pengumuman pada Khamis lalu, yang membuka jalan kepada Encik Wong untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Encik Lee, yang juga setiausaha agung PAP, sebelum ini menyatakan dalam satu kenyataan bahawa para menteri Kabinet mengesahkan Encik Wong sebagai pilihan mereka selaku pemimpin pasukan generasi keempat (4G). Ini selepas mantan menteri dan mantan pengerusi PAP, Khaw Boon Wan, ditugaskan untuk mencapai kata muafakat.

Encik Khaw, yang turut hadir di sidang media itu bersama-sama Encik Lee dan Encik Wong, menerangkan proses tersebut kepada pihak media. Beliau berkata 15 daripada 19 "pihak berkepentingan" yang diminta pendapat mereka memilih Encik Wong untuk memimpin pasukan 4G.

Pihak-pihak berkepentingan tersebut terdiri daripada para menteri Kabinet sedia ada serta juga Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng. Pandangan daripada Perdana Menteri dan dua Menteri Kanan bagaimanapun tidak diminta.

Apabila diminta untuk menjelaskan lanjut apa yang bakal berlaku seterusnya, Encik Lee berkata: "Saya akan berbincang dengan Lawrence dan kami akan memutuskannya kelak tentang apakah strategi terbaik untuk kami bertanding dalam Pilihan Raya Umum seterusnya.

“Sama ada untuk saya serahkan kepadanya dahulu - beliau mengukuhkan kedudukannya, beliau memimpin pasukan ke pilihan raya umum seterusnya. Ia jelasnya adalah pasukan 4G dan (mereka) akan bertanggungjawab selepas pilihan raya umum berikutnya.

“Atau saya menyertai pilihan raya umum seterusnya dan menerajui PAP, bertanding dalam pilihan raya seterusnya, menang. Jika kami menang selepas itu, Lawrence ambil alih dan kemudian, pasukan 4G akan meneruskan langkah maju ke hadapan."

Encik Lee berkata keputusan itu akan bergantung kepada "bagaimana keadaan berubah" dan akan diputuskan kelak.

Pilihan Raya Umum seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya sebelum 2025.

“Apa juga keputusannya, rancangan kami adalah untuk menjadikan Lawrence PM seterusnya jika... PAP menang dalam GE akan datang. Itu sudahpun dimuktamadkan," ujar Encik Lee.

“Reaksi daripada orang ramai sepanjang dua hari lalu menunjukkan bahawa... ramai orang gembira bahawa kami sudah mengambil keputusan ini dan mereka senang hati dengan keputusan ini."

"Saya sudah berusia 70 tahun dan saya menantikan masanya untuk menyerahkan jawatan ini kepada Lawrence sebaik sahaja beliau bersedia. Pengambilalihan tampuk kepimpinan ini, kami sudahpun mengambil satu langkah yang sangat penting dalam pembaharuan kepimpinan.”

Encik Wong ditanya ditanya sama ada beliau merasakan tekanan untuk menyatukan pasukan kerana tidak semua pihak berkepentingan mengundi untuk memilihnya selaku pemimpin mereka.

Menteri Kewangan itu menjawab beliau tidak merasakan tekanan kerana majoriti besar memilihnya.

Ketika ditanya tentang sama ada beliau berasa terdapat keperluan untuk mendapatkan mandat rakyat - dan bahkan mungkin mempercepatkan tarikh Pilihan Raya Umum, Encik Wong berkata beliau "menyedari sepenuhnya bahawa mandat itu akhirnya datang daripada rakyat" dan beliau tidak mengambil mudah perkara itu.


“Namun buat masa ini, saya memerlukan masa untuk mengukuhkan pasukan, untuk berbincang dengan pasukan apakah langkah-langkah seterusnya yang mungkin diambil, bagaimana kami ingin mengatur diri kami bagi menangani semua cabaran mendesak yang telahpun saya sebutkan sebentar tadi."

Encik Wong menambah beliau sedia maklum bahawa Encik Lee mahu menyerahkan jawatannya segera dan beliau akan "mengingat perkara itu".

“Apabila kami berusaha untuk memperbaharui mandat, kami akan berbuat demikian dengan pasukan yang sehebat mungkin yang bersedia untuk mengambil alih tampuk kepimpinan - dan begitulah caranya bagaimana kami memastikan kesinambungan dan kestabilan dalam sistem kami," tegasnya.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita