Skip to main content

Singapura

Keputusan rayuan Ketua WP Pritam Singh ditetapkan pada 4 Dis

Keputusan bagi rayuan Ketua Pembangkang Pritam Singh terhadap sabitannya kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen ditetapkan pada 4 Disember.
Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan rayuan Ketua WP Pritam Singh ditetapkan pada 4 Dis
Pritam Singh tiba di Mahkamah Agung untuk pendengaran rayuannya pada 4 November 2025. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Keputusan bagi rayuan Ketua Pembangkang Pritam Singh terhadap sabitannya kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen ditetapkan pada 4 Disember.

Tarikh itu tepat sebulan selepas rayuan beliau didengar oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi.

Perbicaraan tersebut disenaraikan dalam jadual perbicaraan awam di hadapan Hakim Steven Chong, dan pasukan pembelaan Pritam mengesahkan kepada Mediacorp pada Jumaat (28 Nov) bahawa tarikh itu ditetapkan bagi keputusan rayuan.

Pritam, 49 tahun, pada awalnya menyatakan beliau akan merayu terhadap hukuman denda sebanyak S$14,000 serta sabitannya.

Namun, semasa prosiding rayuan sebenar, beliau menggugurkan rayuan terhadap hukuman tersebut dan menumpukan tumpuan kepada sabitan, yang berpunca daripada cara beliau menangani pembohongan yang dibuat oleh mantan anggota Parti Pekerja Raeesah Khan.

Cik Khan berbohong di parlimen pada 3 Ogos 2021 tentang menemani seorang mangsa rogol ke balai polis, di mana polis didakwa membuat kenyataan yang tidak wajar terhadap mangsa.

Apabila disoal lagi di parlimen oleh Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Cik Khan mengulangi pembohongan tersebut.

Beliau kemudian mengakui bahawa perkara tersebut adalah palsu dalam satu kenyataan di parlimen pada 1 November 2021, dan Pritam kemudian didakwa berhubung keterangannya di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa mengenai apa yang berlaku.

Pritam menafikan dua pertuduhan itu tetapi disabitkan kesalahan pada Februari, dan menerima hukuman denda maksimum sebanyak S$7,000 bagi setiap pertuduhan atas keterangannya yang palsu kepada Jawatankuasa Hak Istimewa.

Semasa rayuan pada 4 November, Hakim Steven Chong menyoal kedua-dua pihak pendakwa - diketuai oleh Timbalan Peguam Negara Goh Yihan - serta peguam utama pembela, Encik Andre Jumabhoy, mengenai hujah masing-masing.

Dalam hujah bertulisnya, Encik Jumabhoy berkata kes itu “diputuskan secara salah” oleh hakim perbicaraan, bahawa undang-undang “disalah guna” dan fakta-fakta “disalah tafsir”.

Beliau berkata hakim pebicaraan menerima “perkara mustahil” dalam versi Cik Khan sebagai “bukti” dan “andaian sebagai fakta”, sambil mengabaikan “realiti jelas” bahawa Pritam “secara konsisten bertindak dengan berhati-hati, berintegriti dan berempati”.

“Beliau tidak pernah menyuruh Cik Raeesah untuk berbohong. Beliau tidak pernah menggalakkan Cik Raeesah mengekalkan kepalsuan itu. Beliau memberi masa, mengingatkan tentang keseriusan bercakap di parlimen, dan akhirnya meminta beliau untuk berlaku jujur - dengan kata-kata dan tindakan beliau sendiri,” tulis Encik Jumabhoy.

Pihak pendakwa menggesa mahkamah untuk menolak rayuan itu, dengan menyatakan bahawa Pritam sebenarnya mahukan “perbicaraan semula” dan bahawa sabitan tersebut adalah “kukuh dari segi undang-undang dan fakta”.

Mereka juga menggesa mahkamah untuk mengekalkan dapatan hakim perbicaraan bahawa Pritam bukan seorang saksi yang boleh dipercayai, sambil mengatakan bahawa Pritam mempertikaikan kesimpulan hakim bahawa “keterangannya sendiri tidak boleh dipercayai dan tidak layak untuk diyakini”.

Hukuman bagi pertuduhan dengan sengaja memberikan jawapan palsu kepada soalan yang penting dalam siasatan di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa, di bawah Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa), membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda sehingga S$7,000, atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita