Keputusan PSLE pada 25 Nov, pelajar akan ambil keputusan dalam bilik darjah
Keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah PSLE 2020 akan dikeluarkan Rabu depan (25 Nov) dari pukul 11.00 pagi, kata Kementerian Pendidikan (MOE).
Para pelajar dari Sekolah Rendah Ang Mo Kio. (Gambar: MOE)
SINGAPURA: Keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah PSLE 2020 akan dikeluarkan Rabu depan (25 Nov) dari pukul 11.00 pagi, kata Kementerian Pendidikan (MOE).
Para pelajar akan menerima keputusan peperiksaan mereka di dalam bilik darjah di sekolah masing-masing dan bukan sebagai satu kumpulan di dewan sekolah seperti tahun-tahun yang lalu disebabkan COVID-19. Demikian menurut pihak kementerian dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Para pelajar yang mengambil keputusan mereka di sekolah diminta mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.
"Bagi para pelajar PSLE, disebabakan usia mereka yang lebih muda, seorang ibu, bapa atau pengasuh boleh menemani anak atau anak jagaan mereka untuk mendapatkan keputusan PSLE mereka," kata MOE.
Untuk mengurangkan kesesakan dan pergaulan, para ibu bapa dan pengasuh
perlu menunggu di kawasan-kawasan yang ditetapkan di sekolah-sekolah. Mereka tidak akan dibenarkan berada dekat dengan bilik-bilik darjah.
Para pelajar yang tidak sihat atau sedang menjalani arahan kuarantin, notis jangan keluar rumah atau cuti ketidakhadiran tidak sepatutnya kembali ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka. Mereka boleh melihat keputusan mereka online menerusi sistem pengeluaran keputusan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) dari pukul 11.30 pagi menggunakan kata laluan yang dikeluarkan oleh sistem itu yang mereka terima daripada sekolah mereka. Sistem itu boleh diakses sehingga 8 Dis.
Seorang wakil juga boleh dilantik untuk mengambil salinan cetak keputusan bagi pihak mereka. Mereka perlu mengambil keputusan menjelang 27 Nov dan menunjukkan dokumen-dokumen berkenaan bagi pengesahan sekolah.
KEMASUKAN KE MENENGAH 1
Borang Pilihan Menengah 1 (S1) untuk memilih sekolah menengah akan diberikan kepada para pelajar yang layak apabila mereka mengambil keputusan mereka secara peribadi, menurut MOE.
Para wakil pelajar juga boleh mengambil Borang Pilihan S1 mereka dan salinan online bagi borang-borang itu tidak disediakan.
Sistem Internet Menengah Satu (S1-IS) boleh diakses dari 11.00 pagi pada 25 November hingga 3.00 petang pada 1 Dis untuk para pelajar menghantar pilihan-pilihan sekolah mereka laman web Kemasukan S1 (S1 Posting).
Keputusan kemasukan ke sekolah menengah akan dikeluarkan pada 22 Disember menerusi SMS, laman web Kemasukan S1 dan di sekolah rendah pelajar.
Disebabkan oleh keadaan COVID-19, para pelajar tidak perlu melaporkan diri ke sekolah menengah mereka tahun ini selepas menerima keputusan kemasukan sekolah menengah mereka, menurut kementerian itu.
Sebaliknya, para pelajar patut merujuk ke laman web sekolah menengah yang mereka akan masuki untuk lebih banyak maklumat seperti arahan mengenai pembelian buku dan pakaian seragam, senarai buku dan butiran melaporkan diri ke sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.