Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan PSLE diumumkan pada 24 Nov, pelajar ambil keputusan di bilik darjah

Keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2021 akan diumumkan Rabu depan (24 Nov) mulai 11.00 pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan PSLE diumumkan pada 24 Nov, pelajar ambil keputusan di bilik darjah

Gambar: Facebook/Lawrence Wong

Diterbitkan : 17 Nov 2021 03:04PM Dikemas Kini : 17 Nov 2021 03:05PM

SINGAPURA: Keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2021 akan diumumkan Rabu depan (24 Nov) mulai 11.00 pagi.

Seperti tahun lalu, murid akan menerima keputusan dalam bilik darjah mereka di sekolah dengan langkah-langkah pengurusan selamat dilaksanakan, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) dalam satu kenyataan media.

"Kami maklum bahawa peluang untuk mengambil keputusan peperiksaan secara fizikal adalah aspek penting dalam perjalanan pendidikan kerana ia memberi murid peluang untuk berada bersama rakan sedarjah dan mendapatkan nasihat guru mereka secara bersemuka tentang langkah-langkah selanjutnya," tambah kenyataan itu.

Ibu atau bapa atau penjaga pelajar boleh menemani anak atau anak jagaan mereka ke sekolah untuk mengambil keputusan PSLE mereka.

Untuk mengurangkan campur gaul dan kesesakan, ibu bapa atau penjaga perlu tunggu di kawasan-kawasan yang ditetapkan di sekolah dan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat sewajarnya sementara murid menerima keputusan mereka.

Ibu bapa dan penjaga tidak dibenarkan mengakses atau menunggu di bilik-bilik darjah, menurut MOE dan SEAB.

Murid dan ibu bapa yang menerima amaran risiko kesihatan akan dibenarkan mendapatkan keputusan secara fizikal sekiranya mereka diuji negatif sebelum ke sekolah menggunakan ujian pantas antigen pada hari keputusan dikeluarkan.

Murid yang tidak sihat atau sedang menjalani pengasingan kendiri disebabkan hasil ujian positif COVID-19 tidak harus datang ke sekolah untuk mendapatkan keputusan mereka, menurut pihak berkuasa.

Mereka boleh mendapatkan keputusan secara online menerusi portal SEAB bermula 11.45 pagi pada hari yang sama. Murid juga harus sudah mendapatkan akaun pengguna yang diberikan oleh SEAB menerusi sekolah masing-masing pada 15 Nov.

Sistem itu boleh dilanggan masuk antara 24 November hingga 27 Disember.

Murid juga boleh melantik seorang wakil untuk mendapatkan salinan kertas keputusan bagi pihak mereka. Para wakil dikehendaki mengambil keputusan itu sebelum 26 November dan menunjukkan dokumen-dokumen relevan untuk disahkan pihak sekolah.

PENEMPATAN MENENGAH 1

Borang pilihan Menengah 1 (S1) untuk memilih sekolah menengah akan diberikan kepada murid yang layak apabila mereka mendapatkan kertas keputusan secara fizikal.

Mereka juga boleh memuat turun salinan borang itu daripada Sistem Internet Menengah 1 (S1-IS) dengan menggunakan nombor pengenalan peribadi unik S1 yang diberikan kepada murid menerusi sekolah rendah mereka pada hujung Penggal 4.

Borang pilihan itu menyediakan maklumat penting tentang penyerahan bagi pilihan sekolah.

Murid, dengan berbincang bersama ibu bapa mereka, harus mempertimbangkan pilihan sekolah menengah mereka, membuat keputusan mereka dan mengisi borang pilihan itu sepenuhnya sebelum melanggan masuk ke S1-IS untuk menyerahkan pilihan skeolah menengah mereka," menurut MOE dan SEAB.

S1-IS boleh diakses mulai 11.30 pagi pada 24 November hinga 3.00 petang pada 30 November menerusi laman penempatan S1.

Ibu bapa juga boleh menghubungi pihak sekolah rendah dan mendapatkan bantuan tentang penyerahan pilihan sebelum 3.00 petang pada 30 November.

Keputusan pilihan sekolah mereka akan dikeluarkan antara 22 Disember dengan 24 Disember menerusi SMS, laman penempatan S2 dan sekolah rendah murid itu.

Murid tidak perlu melaporkan diri di sekolah menengah mereka tahun ini selepas menerima keputusan sekolah mereka, menurut MOE.

Sebaliknya, mereka harus merujuk kepada laman sekolah-sekolah menengah tersebut untuk maklumat lanjut tentang arahan untuk membeli buku dan pakaian seragam, senarai buku dan butiran untuk melaporkan diri.

Ibu bapa kohort baru dalam Parents Gateway juga akan menerima arahan daripada sekolah bermula sebelah petang pada hari keputusan dikeluarkan.

Murid yang tidak dapat hadir ke sekolah pada hari pertama pada Januari disebabkan "alasan yang sah" boleh menghubungi sekolah menengah mereka secara langsung untuk mengesahkan mereka akan mengambil tempat di sekolah itu dan sekolah akan mengetepikan tempat untuk mereka, tambah MOE.

MEMILIH SEKOLAH MENENGAH

Tahun ini adalah tahun pertama permakahan PSLE adalah berdasarkan Peringkat Pencapaian (AL).

Pada April, MOE mengeluarkan anggaran mata Markah PSLE dari sekolah-sekolah menengah untuk memberi panduan kepada murid dan ibu bapa mereka dalam membuat pertimbangan pilihan sekolah di bawah sistem pemarkahan AL.

"Meskipun anggaran mata markah PSLE adalah titik permulaan dalam mempertimbangkan pilihan sekolah, terdapat faktor penting lain apabila memilih sekolah yang seiring dengan keperluan pendidikan, kekuatan dan minat seseorang murid secara keseluruhannya," menurut MOE.

Ini termasuk "program-program unik" sekolah itu, subjek, tawaran kegiatan luar darjah serta etos, budaya, lokasi dan sokongan sekolah bagi keperluan pendidikan khas jika diperlukan.

Murid dan ibu bapa digalak untuk mengunjungi acara rumah terbuka yang dianjurkan sekolah, lelaman dan laman media sosial sekolah untuk lebih memahami sekitaran, program dan budayanya.

Murid yang layak memasuki aliran Normal (Teknikal) yang mempunyai minat dalam "pembelajaran amali" boleh membuat permohonan ke Sekolah Menengah Crest atau Sekolah Menengah Spectra.

Sekolah-sekolah yang dikhaskan untuk murid aliran N(T) itu menawarkan "kurikulum berasaskan kemahiran dan pendedahan kepada peluang pembelajaran autentik, lantas menyiapkan murid ke Instititut Pendidikan Teknikal (ITE)," menurut MOE.

Sekolah-sekolah itu juga menyediakan "sekitaran sekolah menyeluruh yang menekankan nilai, pembelajaran sosio-emosi dan pembangunan perwatakan - yang membantu memupuk pelajar holistik dan yakin diri yang bersedia memanfaatkan peluang pada masa hadapan," tambahnya.

Murid boleh menyerahkan permohonan mereka di sekolah pilihan mulai 24 November hingga 27 November.

Mereka juga boleh menyerahkan permohonan menerusi emel atau secara langsung ke pejabat pentadbiran sekolah.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 30 November, 3.00 petang.

"Pada masa yang sama, murid harus juga menyenaraikan pilihan mereka untuk sekolah menengah lain di bawah penempatan S1," menurut MOE sambil menambah ini memastikan mereka yang tidak mendapat tempat di kedua-dua sekolah itu boleh ke sekolah pilihan mereka yang lain.

Penempatan yang berjaya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah sebelum 15 Disember.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan