Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan PSLE diumumkan pada 23 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan PSLE diumumkan pada 23 Nov

(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2022 akan diumumkan pada Rabu depan (23 Nov) mulai pukul 11.00 pagi.

Ibu bapa atau waris boleh menemani anak mereka ke sekolah untuk mengambil keputusan PSLE. Sepanjang dua tahun lalu, hanya ibu atau bapa ataupun waris dibenarkan untuk menemani anak mereka disebabkan langkah-langkah COVID-19 yang dilaksanakan.

"Perincian mengenai aturan pengambilan keputusan akan dikongsi oleh sekolah masing-masing," menurut Kementerian Pendidikan (MOE) serta Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) dalam satu kenyataan media bersama pada Rabu (16 Nov).

Pihak MOE dan SEAB menambah bahawa para pelajar yang tidak sihat atau sedang menjalani pengasingan kendiri kerana positif COVID-19 tidak sepatutnya datang ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka.

Murid-murid berkenaan sebaliknya boleh mengakses keputusan mereka secara online menerusi portal calon SEAB, bermula jam 11.45 pagi pada hari yang sama. Murid seharusnya sudah menerima akaun pengguna yang diberikan oleh SEAB menerusi sekolah masing-masing dari 15 November.

Murid-murid juga boleh melantik seorang wakil untuk mengambil salinan kertas keputusan bagi pihak mereka dari sekolah. Para wakil dikehendaki mengambil keputusan itu selewat-lewatnya pada 25 November dan menunjukkan dokumen-dokumen relevan kepada pihak sekolah sebagai pengesahan.

PENEMPATAN MENENGAH 1

Borang pilihan Menengah 1 (S1) untuk memilih sekolah menengah akan diberikan kepada murid-murid yang layak apabila mereka mendapatkan kertas keputusan secara fizikal.

Nombor pengenalan peribadi unik S1 (S1 PIN) boleh didapati di sudut kanan atas borang pilihan S1.

Murid-murid harus menggunakan PIN S1 untuk mendaftar masuk ke Sistem Internet Menengah 1 (S1-IS) dan menyerahkan pilihan sekolah menengah mereka secara online.

S1-IS boleh diakses mulai jam 11.30 pagi pada 23 November hingga 3.00 petang pada 29 November menerusi laman penempatan S1 MOE.

Ibu bapa yang memerlukan bantuan dengan penyerahan pilihan tersebut secara online boleh menghubungi pihak sekolah rendah anak mereka sebelum pukul 3.00 petang pada 29 November.

KEPUTUSAN PEMILIHAN SEKOLAH MENENGAH

Keputusan pemilihan sekolah menengah akan dikeluarkan antara 21 Disember hingga 23 Disember. Keputusan tersebut boleh diakses menerusi wadah-wadah berikut:

- Khidmat pesanan teks ringkas (SMS)
- S1-IS dengan menggunakan nombor sijil kelahiran atau FIN dan PIN S1 pelajar
- Di sekolah rendah murid

Murid-murid tidak perlu melaporkan diri ke sekolah menengah yang ditempatkan selepas menerima keputusan pemilihan sekolah menengah mereka.

Sebaliknya, mereka harus merujuk kepada laman sekolah menengah tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang butiran melaporkan diri ke sekolah, senarai buku dan pembelian buku serta
pakaian seragam.

Ibu bapa kohort akan datang yang menggunakan Gerbang Ibu Bapa (PG) juga akan menerima arahan daripada sekolah menengah anak mereka bermula sebelah petang pada hari keputusan penempatan sekolah dikeluarkan.

Jika murid tidak dapat hadir ke sekolah menengah mereka pada hari pertama persekolahan pada Januari 2023 disebabkan "alasan yang sah", mereka seharusnya menghubungi pihak sekolah menengah tersebut secara langsung untuk mengesahkan bahawa mereka akan mengambil tempat di sekolah itu.

Maklumat lanjut berhubung pemilihan sekolah menengah dan S1-IS boleh didapati di laman Penempatan S1 MOE.

Untuk sebarang pertanyaan, ibu bapa boleh melayari laman www.moe.gov.sg/contact.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan