Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan PSLE akan dikeluarkan pada Rabu, 22 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan PSLE akan dikeluarkan pada Rabu, 22 Nov

(Photo: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 15 Nov 2023 12:15PM Dikemas Kini : 15 Nov 2023 12:16PM
SINGAPURA: Keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2023 akan dikeluarkan pada 22 Nov jam 11.00 pagi.

Para murid boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah rendah masing-masing, dedah Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan pada Rabu (15 Nov).

Pihak sekolah akan mengongsi butiran mengenai cara-cara untuk mendapatkan keputusan PSLE dengan murid masing-masing, dedah MOE dan SEAB selanjutnya.

"Calon sekolah yang tidak dapat kembali ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka boleh melantik wakil untuk berbuat demikian bagi pihak mereka selewat-lewatnya pada Jumaat, 24 Nov 2023."

PENDAFTARAN BAGI MENENGAH 1

Borang pilihan Menengah 1 untuk memilih sekolah menengah akan diberikan kepada para murid yang layak berserta keputusan PSLE mereka.

Ia mengandungi maklumat penting mengenai penyerahan pilihan sekolah, menurut MOE dan SEAB.

Nombor pengenalan diri Menengah 1 yang unik (PIN S1) boleh didapatkan di penjuru kanan sebelah atas borang tersebut.

Para murid hendaklah menggunakan PIN S1 untuk log masuk ke sistem internet Menengah 1 dan menyerahkan pilihan sekolah mereka secara online.

Sistem internet Menengah 1 boleh diakses dari pukul 11.30 pagi pada 22 Nov hingga 3.00 petang pada 28 Nov melalui laman web S1 Posting MOE.

Ibu bapa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi sekolah rendah anak mereka sebelum jam 3.00 petang pada 28 Nov.

Maklumat lanjut mengenai pendaftaran bagi Menengah 1 dan sistem internet Menengah 1 boleh didapatkan di laman web MOE. Para ibu bapa juga boleh melungsuri www.moe.gov.sg/contact untuk mengemukakan sebarang pertanyaan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan