Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan PSLE: 98.4% murid berjaya ke sekolah menengah; setanding kohort tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan PSLE: 98.4% murid berjaya ke sekolah menengah; setanding kohort tahun lalu

Gambar Fail. (Gambar: Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Buat tujuh tahun berturut-turut, 98.4 peratus murid Darjah 6 yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) berjaya melangkah ke sekolah menengah.

Ini adalah kohort kedua murid-murid yang dinilai mengikut sistem penskoran Tahap Pencapaian (AL) yang baru.

Keputusan PSLE dikeluarkan pada pukul 11.00 pagi Rabu (23 Nov).

Seramai 37,095 murid Darjah 6 menduduki PSLE pada ​​tahun ini dan 98.4 peratus layak memasuki sekolah menengah, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) dalam kenyataan media bersama pada Rabu (23 Nov).

Murid-murid yang yang layak untuk aliran Ekspres membentuk 68.4 peratus daripada kohort tersebut, dengan 18.7 peratus layak ke kursus Normal (Akademik) dan 11.3 peratus bagi Normal (Teknikal).

Di bawah sistem AL, murid-murid Darjah 6 akan mendapat markah AL antara 1 hingga 8 bagi setiap empat mata pelajaran mereka, dengan 1 merupakan markah terbaik dan 8 adalah yang terendah.

Markah keseluruhan mereka akan membentuk AL itu.

Murid-murid dengan markah PSLE ​antara 4 hingga 20 layak memasuki aliran Ekspres. Para murid yang mendapat markah 21 atau 22 ditawarkan pilihan untuk memasuki kursus Ekspres ataupun Normal (Akademik) manakala murid dengan markah 23 ataupun 24 layak memasuki Normal (Teknikal).

Tahun ini, sekitar 62 peratus murid yang layak bagi kursus Normal dinilai sesuai untuk mengambil sekurang-kurangnya satu mata pelajaran pada tahap yang lebih mencabar apabila mereka melangkah ke sekolah menengah.

Calon-calon yang tidak layak ke sekolah menengah boleh memilih untuk menduduki semula PSLE pada tahun depan, menurut MOE dan SEAB.

Mereka juga boleh memohon kepada Sekolah Assumption Pathway dan NorthLight dengan saranan yang dikemukakan oleh pengetua sekolah rendah mereka.

Kedua-dua sekolah menawarkan program-program dengan pendekatan yang bercorak "pembelajaran amali".

URUSAN PEMILIHAN SEKOLAH MENENGAH

Borang pilihan Menengah 1 (S1) untuk memilih sekolah menengah akan diberikan kepada murid-murid yang layak apabila mereka mendapatkan keputusan PSLE masing-masing.

Nombor Pengenalan Diri S1 (S1 PIN) yang unik boleh didapatkan pada bahagian kanan sebelah atas borang pilihan S1.

Murid-murid harus menggunakan PIN S1 untuk mendaftar masuk ke Sistem Internet Menengah 1 (S1-IS) dan menyerahkan pilihan sekolah menengah mereka secara online.

S1-IS boleh diakses mulai jam 11.30 pagi pada 23 November sehingga 3.00 petang pada 29 November menerusi laman penempatan Menengah 1 bagi S1 MOE.

KEPUTUSAN PEMILIHAN SEKOLAH MENENGAH

Keputusan pemilihan sekolah menengah akan dikeluarkan antara 21 Disember hingga 23 Disember. Keputusan tersebut boleh diakses menerusi wadah-wadah berikut:

- Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)
- S1-IS dengan menggunakan nombor sijil kelahiran atau FIN dan PIN S1 murid
- Di sekolah rendah murid

Para murid tidak perlu melaporkan diri ke sekolah menengah yang ditempatkan selepas menerima keputusan pemilihan sekolah menengah mereka.

Sebaliknya, mereka harus merujuk kepada laman sekolah menengah tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang butiran mengenai melaporkan diri ke sekolah, senarai buku dan pembelian buku serta
pakaian seragam.

Ibu bapa kohort akan datang yang menggunakan Gerbang Ibu Bapa (PG) juga akan menerima arahan daripada sekolah menengah anak mereka bermula sebelah petang pada hari keputusan penempatan sekolah dikeluarkan.

Jika murid tidak dapat hadir ke sekolah menengah mereka pada hari pertama persekolahan pada Januari 2023 atas alasan yang sah, mereka seharusnya menghubungi pihak sekolah menengah secara langsung untuk mengesahkan bahawa mereka akan mengambil tempat di sekolah berkenaan.

Maklumat lanjut berhubung pemilihan sekolah menengah dan S1-IS boleh didapatkan di laman Penempatan S1 MOE.

Untuk sebarang pertanyaan, ibu bapa boleh melayari laman www.moe.gov.sg/contact.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan