Keputusan PSLE: 98.4% murid berjaya mara ke sekolah menengah
Buat lima tahun berturut-turut, 98.4 peratus murid Darjah 6 yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) berjaya melangkah ke sekolah menengah.

(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Buat lima tahun berturut-turut, 98.4 peratus murid Darjah 6 yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) berjaya melangkah ke sekolah menengah.
Secara keseluruhannya, seramai 39,995 calon menduduki peperiksaan PSLE tahun ini, di mana 39,361 murid dinilai layak melangkah ke sekolah menengah, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) dalam satu kenyataan media pada Rabu (25 Nov).
Sekitar dua pertiga atau 66.3 peratus, layak bagi Aliran Ekspres, sementara 21.2 peratus bagi Aliran Normal (Akademik) dan 11 peratus bagi Aliran Normal (Teknikal). Perangkaan ini serupa dengan kohort Darjah 6 pada tahun lalu, menurut MOE dan SEAB.
634 murid yang yang tidak memenuhi syarat untuk mengikuti mana-mana aliran boleh memilih untuk mengambil semula peperiksaan PSLE pada tahun depan.
Dengan saranan pengetua sekolah rendah mereka, para murid itu boleh memohon ke Sekolah Assumption Pathway atau Sekolah Northlight bagi mendapatkan "pendekatan pembelajaran yang lebih bercorak amali", menurut kedua-dua agensi itu.
KEPUTUSAN PEMILIHAN SEKOLAH MENENGAH
Para murid yang layak melangkah ke sekolah menengah boleh menyerahkan borang pilihan mereka secara online menerusi Sistem Internet S1 (S1-IS) mulai hari ini sehingga pukul 3.00 petang pada Selasa depan (1 Dis).
"Semasa memilih sekolah menengah, para ibu bapa dan murid harus menimbangkan faktor-faktor seperti program khas sekolah menengah itu, kegiatan luar darjah (CCA), etos dan budaya sekolah itu," menurut MOE dan SEAB.
"Para ibu bapa dan murid digalakkan supaya meluangkan masa untuk meninjau-ninjau laman, akaun media sosial sekolah menengah serta menghadiri rumah terbuka secara maya yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah menengah untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang sekolah yang menarik minat mereka sebelum membuat pilihan."
Keputusan bagi pemilihan sekolah menengah akan diumumkan pada 22 Dis dan boleh diakses menerusi SMS dan S1-IS, atau di sekolah rendah murid berkenaan.
Tahun ini, para murid tidak perlu melaporkan diri ke sekolah menengah. Sebaliknya, mereka boleh merujuk kepada laman sekolah berkenaan pada 22 Dis untuk mendapatkan maklumat lanjut seperti arahan untuk membeli uniform dan buku sekolah, senarai buku dan butiran-butiran lain. Para ibu bapa juga akan menerima panduan menerusi aplikasi 'Parents Gateway'.
"Jika pelajar tidak dapat melaporkan diri di sekolah menengah pada hari pertama penggal persekolahan pada Januari 2021 atas sebab-sebab munasabah, mereka boleh menghubungi sekolah menengah masing-masing secara langsung untuk mengesahkan bahawa mereka akan menuntut di sekolah itu dan sekolah itu akan memperuntukkan slot untuk mereka," menurut MOE dan SEAB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.