Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan pilihan raya M'sia buktikan masyarakat Melayu utamakan nilai integriti, kata Dr Chandra Muzaffar

Keputusan pilihan raya Malaysia baru-baru ini menunjukkan masyarakat Melayu mengutamakan nilai integriti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keputusan pilihan raya Malaysia baru-baru ini menunjukkan masyarakat Melayu mengutamakan nilai integriti.

Demikian menurut Dr Chandra Muzaffar sarjana pertama yang diundang untuk menyampaikan ceramah Syed Hussein Alatas.

Siri ceramah itu sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-50, Jabatan Pengajian Melayu NUS dan dilancarkan bersempena ketua pertama jabatan tersebut, Syed Hussein Alatas, yang diiktiraf sebagai seorang pemikir, cendekiawan dan intelektual awam terulung.

Pemikiran Allayarham Dr Syed Hussein Alatas, ketua jabatan Melayu NUS pertama dari 1967 hingga 1987 banyak berakar dari keprihatinannya terhadap kemajuan masyarakat Islam.

Ini disingkap oleh bekas para penuntutnya termasuk Dr Chandra Muzaffar sarjana pertama diundang menyampaikan ceramah Syed Hussien Alatas.

Bertajuk 'Melayu dalam ASEAN yang Berbilang Agama: Melindungi Identiti; Menegakkan Integriti' beliau menekankan pentingnya tulisan-tulisan Dr Alatas tentang rasuah dan mutu kepimpinan di tengah-tengah cabaran yang dihadapi beberapa negara di rantau ini.

Dr Chandra berkata keputusan pilihan raya Malaysia baru-baru ini menunjukkan masyarakat Melayu mengutamakan nilai integriti yang amat dititikberatkan oleh Dr Alatas.

"Beliau sudah merayu, beliau sudah menggesa masyarakat Islam, masyarakat Melayu untuk menyokong prinsip-prinsip ini sepanjang hayat beliau dan tiba-tiba ini berlaku di mana dalam pertembungan antara identiti dan integriti, masyarakat Melayu macam mendahulukan integriti memberi keutamaan kepada integriti," kata Dr Chandra.

Antara mereka yang pernah berinteraksi dan mendalami idea-idea Dr Alatas sebagai mahasiswa di NUS ialah Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, tetamu terhormat di majlis ini.

Dr Yaacob mengulas: "Idea-idea beliau tentang sikap terbuka dan rasional khususnya relevan dalam dunia kita hari ini yang berpecah-belah. Perwatakannya membuat dirinya disayangi oleh semua yang mengenalinya. Prof Alatas menunjukkan contoh yang tepat bagaimana kita sebagai sebuah masyarakat boleh menerima kepelbagaian dan ikhlas memupuk sifat ingin tahu dan belajar dalam kehidupan kita."

Menurut NUS, siri ceramah memperingati Syed Hussein Alatas akan diadakan secara tahunan untuk 10 tahun lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/EM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan