Keputusan GE2025 ‘isyarat kukuh’ tekad dan perpaduan SG: Presiden Tharman
Keputusan Pilihan Raya Umum tahun ini (GE2025) menghantar “isyarat yang kuat” kepada dunia mengenai perpaduan dan tekad bersama Singapura; dan dalam melangkah ke hadapan, rakyat Singapura mesti berpandangan jelas terhadap cabaran-cabaran yang bakal dihadapi, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Presiden Tharman Shanmugaratnam semasa upacara angkat sumpah Perdana Menteri Lawrence Wong dan barisan kabinet baharunya pada 23 Mei 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Berucap semasa majlis angkat sumpah barisan menteri Kabinet baharu Singapura pada Jumaat (23 Mei), Encik Tharman berkata bahawa rakyat Singapura adalah pemenang sebenar dalam pilihan raya tersebut.
“Secara bersama-sama, kita sudah menetapkan haluan bagi fasa seterusnya dalam pembinaan negara,” katanya.
Namun, dunia kini memasuki “berdepan dengan keadaan yang tidak menentu dan tiada panduan”, dengan persaingan yang semakin mendalam antara kuasa-kuasa besar, ekonomi global yang semakin berpecah, serta penghakisan terhadap sistem berbilang hala.
“Pendekatan yang lebih sempit, bersifat nasionalistik dan oportunistik terhadap perdagangan dan diplomasi kini semakin berleluasa,” kata Encik Tharman kepada lebih 600 hadirin di halaman Istana bagi upacara tersebut.
Sebagai sebuah negara kecil, Singapura akan lebih merasai kesan perubahan geopolitik tersebut apabila aturan antarabangsa yang stabil dan berasaskan peraturan semakin goyah.
Singapura akan perlu menyesuaikan diri dan mencari cara baharu untuk terus mengawal takdir sendiri serta mengekalkan perpaduan rakyat, tambahnya.
“Kita tidak dapat menjangka sama ada kekacauan global ini akan reda suatu hari nanti. Namun yang pasti, kita tidak akan kembali ke dunia yang kita ketahui sepanjang 60 tahun pertama kemerdekaan kita.”
Singapura juga mesti menangani cabaran jangka panjang dalam negara secara bijaksana dan berani, termasuk isu penuaan penduduk yang akan mengubah landskap tenaga kerja, sistem jagaan kesihatan dan masyarakat, malah “struktur kehidupan kawasan kejiranan”.
Bagi mempersiapkan diri dalam menghadapi masa depan ekonomi yang kian mencabar, Singapura perlu melabur secara kreatif dalam pendidikan, latihan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat, kata Encik Tharman. “Agar setiap rakyat Singapura mempunyai peluang penuh untuk berjaya dan memberi sumbangan, dan kita bina sumber daya saing baharu bersama-sama.”
PERALIHAN DAN "KEPENTINGAN GENERASI"
Presiden menyifatkan GE2025 sebagai satu peristiwa yang “sangat penting”, dengan Perdana Menteri Lawrence Wong mengetuai parti pemerintah dalam persaingan pilihan raya buat pertama kali.
Peratusan undi Parti Tindakan Rakyat (PAP) meningkat berbanding pilihan raya sebelum ini, menidakkan trend yang lazimnya menyaksikan penurunan sokongan sejurus selepas berlakunya peralihan kepimpinan.
“GE2025 merupakan satu detik yang bermakna dari segi generasi,” kata Encik Tharman, sambil menekankan bahawa terdapat “undi kepercayaan yang kukuh” terhadap Encik Wong dan pasukannya.
Beliau turut menyatakan bahawa pengundi juga telah melalui satu peralihan dalam pilihan raya kali ini, dengan ramai pengundi muda yang tidak mengalami sendiri cabaran atau transformasi yang dijalani Singapura dalam beberapa dekad awalnya.
“Saya berasa gembira bahawa dalam semua ini, proses demokrasi kita kekal beradab dan saling menghormati,” kata Encik Tharman, sambil merujuk kepada negara-negara lain di mana perbezaan politik telah menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
Singapura mengekalkan nada perbahasan yang saling menghormati dan berlandaskan hujahan yang serius, serta tegas menolak campur tangan asing dan tidak mempolitikkan isu kaum dan agama.
“Rakyat Singapura menunjukkan bahawa walaupun kita mungkin berbeza pandangan, kita tetap menjadi rakyat yang mahukan yang terbaik untuk negara kita,” katanya.
Presiden turut memuji rakyat yang meneliti isu-isu dengan mendalam serta mengundi dengan penuh pertimbangan dan tanggungjawab, sambil menzahirkan penghargaan kepada parti politik serta calon yang tampil untuk berkhidmat.
“Mereka mencurahkan masa, tenaga dan idea mereka; dan dengan berani membuka diri kepada penelitian awam.”
KESEIMBANGAN YANG BAIK DALAM KABINET
Encik Tharman berkata pemerintah baharu yang dibentuk adalah kuat dan berkemampuan, dengan pasukan pimpinan Encik Wong mempunyai keseimbangan yang baik antara pemimpin berpengalaman dan anggota baharu.
“Mereka telah diuji dalam pelbagai krisis, dan menunjukkan keupayaan untuk mentadbir dengan integriti, empati dan keberanian,” katanya.
Encik Wong telah menunjukkan kepimpinan yang “tenang dan meyakinkan” semasa COVID-19 dan siri perbincangan Melakar Hala Tuju Singapura, dan kini dalam usaha memperkukuh kepercayaan rakan-rakan kongsi antarabangsa Singapura di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Kini pilihan raya telah berakhir, rakyat Singapura harus bekerjasama dengan pemerintah semasa demi masa depan yang lebih cerah, kata Encik Tharman, sambil menggalakkan Encik Wong dan pasukannya untuk terus mendengarkan dan berganding bahu dengan rakyat dari semua lapisan masyarakat.
“Saya yakin sepenuhnya terhadap Perdana Menteri Wong dan pasukannya. Sebagai presiden, saya bersedia bekerjasama dengan mereka untuk menegakkan Perlembagaan kita, dan melindungi kepentingan semua rakyat Singapura,” katanya.
Kepada para penggubal undang-undang yang baharu dan yang dilantik semula, Encik Tharman menggesa mereka supaya sentiasa beringat akan “amanah berat” yang diberikan kepada mereka – sama ada mereka adalah sebahagian daripada PAP mahupun pembangkang.
Beliau turut menyeru agar perbahasan di parlimen dijalankan dengan penuh keyakinan dan rasa hormat.
“Pertahankan hujah anda dengan tegas, tetapi jangan sekali-kali mengorbankan kejujuran dan integriti. Kritik dasar dengan berani, tetapi kemukakan juga alternatif untuk dinilai.
“Paling penting, ingatlah bahawa anda semua berkongsi matlamat yang sama – iaitu untuk membina masa depan yang bermakna dan bersatu padu bagi rakyat Singapura.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.