Keputusan GCE peringkat 'N' diumum 17 Dis
Keputusan peperiksaan GCE Peringkat N tahun ini akan diumumkan Jumaat depan (17 Dis) kata Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

(Gambar fail: Por Shi Hui)
SINGAPURA: Keputusan peperiksaan GCE Peringkat N tahun ini akan diumumkan Jumaat depan (17 Dis) kata Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).
Seperti tahun lalu, calon akan mengambil keputusan itu dari bilik darjah mereka mulai 2.30 petang dan bukan berhimpun di dewan.
"Hanya calon sekolah yang mengambil keputusan mereka akan dibenarkan masuk ke kawasan sekolah,"kata MOE dan SEAB dalam satu kenyataan media bersama pada Jumaat (9 Dis) sambil menambah dan mereka harus mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.
Calon sekolah yang diberi amaran risiko kesihatan oleh Kementerian Kesihatan akan dibenarkan mengambil keputusan mereka secara fisikal jika mereka diuji negatif menggunakan ujian antigen pantas (ART) pada hari yang sama sebelum ke sekolah.
Mereka yang tidak sihat, atau dikehendaki menjalani pengasingan sendiri disebabkan keputusan positif COVID-19 tidak harus datang ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka, kata MOE dan SEAB.
Mereka boleh mendapatkan keputusan secara online melalui sistem pengumuman keputusan SEAB di www.seab.gov.sg mulai 3.15 petang pada hari yang sama, 17 Disember. Sistem tersebut akan dapat diakses sehingga 31 Disember.
Calon sekolah boleh menggunakan SingPass mereka untuk mengakses sistem tersebut. Calon sekolah yang merupakan pelajar antarabangsa akan menerima akses kata laluan menerusi alamat emel mereka mulai 14 Dis.
"Pelajar juga boleh melantik wakil untuk mengambil salinan fizikal keputusan mereka bagi pihak mereka," menurut kenyataan bersama.
Wakil pelajar berkenaan harus menunjukkan dokumen relevan bagi pengesahan pohak sekolah.
Pelajar boleh menghubungi sekolah mereka untuk mendapatkan bantuan sekiranya mereka tidak dapat melantik wakil atau jika mereka belum menerima kata laluan untuk akses sistem pengumuman keputusan SEAB.
Calon privet akan dimaklumkan mengenai keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar pada 17 Disember.
Mereka yang mempunyai akaun SingPass juga boleh mendapatkan keputusan mereka secara online di sistem pengumuman keputusan online SEAB, sama seperti aturan untuk calon sekolah. Mereka yang tidak mempunyai akaun SingPass boleh menggunakan kata laluan yang dikeluarkan SEAB dan dihantar ke alamat emel mereka.
PERMOHONAN BAGI KURSUS ITE
Pelajar yang memohon bagi kursus di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) boleh menyerahkan permohonan mereka secara online melalui portal permohonan ITE bermula 2.30 petang pada 17 Disember hingga 5.00 petang pada 21 Disember. Borang permohonan juga akan disediakan di ketiga-tiga kolej ITE. Mereka yang mahu mengambil borang fisikal harus menempah dulu janji temu dengan menghubungi maktab berkenaan.
ITE akan memperkenalkan kurikulum baru yang membolehkan pelajar meraih sijil Nitec Lanjutan dalam tiga tahun berbanding empat sekarang.
Struktur kurikulum baru itu bermula bagi kursus-kursus tertentu dari Tahun Akademik 2022, seperti diumumkan MOE pada April.
Permohonan bagi kursus-kursus tersebut boleh dihantar menerusi portal permohonan ITE atau borang permohonan fisikal.
Bagi kursus yang ditawarkan di bawah Kemasukan Berdasarkan Kebolehan (Aptitude-Based Admissions), pelajar boleh menyemak butir-butir temu duga secara online melalui portal permohonan ITE pada 22 Disember dari 2.00 petang.
Keputusan permohonan ITE akan diumumkan pada 30 Disember, dan pelajar dapat melihat keputusannya secara online melalui portal permohonan ITE. Mereka yang ditawarkan tempat di ITE perlu log masuk ke portal tersebut antara 30 Dis hingga 4 Jan 2021 untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.
SKIM KEMASUKAN LANGSUNG KE PROGRAM POLITEKNIK (DPP)
Pelajar yang layak mengikuti Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik (DPP) akan menerima salinan Borang N dari sekolah menengah mereka, yang mempelawa mereka untuk memohon bagi program tersebut.
DPP menyediakan laluan bagi pelajar untuk mengikuti kursus diploma politeknik yang tertentu melalui kursus Nitec Lanjutan selama dua tahun di ITE. Di bawah DPP, pelajar yang berjaya menamatkan kursus Nitec Lanjutan dan mencapai gred mata purata minimum Nitec Lanjutan dijamin mendapat tempat dalam kursus diploma politeknik yang dipadankan dengan kursus Nitec Lanjutan mereka.
Permohonan bagi DPP boleh diserahkan secara online menerusi portal permohonan ITE bermula 2.30 petang pada 17 Disember hingga 5.00 petang pada 21 Disember.
Keputusan DPP akan diumumkan pada 23 Disember dan pelajar dapat menyemak keputusannya secara online melalui portal permohonan ITE. Pelajar yang mendapat tawaran perlu log masuk ke portal berkenaan antara 23 Disember hingga 28 Disember untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.
Pelajar yang tidak menerima tempat dalam DPP perlu melaporkan diri ke sekolah menengah mereka untuk mengikuti Menengah 5.
PROGRAM ASAS POLITEKNIK (PFP)
Pelajar yang berminat untuk mengikuti Program Asas Politeknik (PFP) perlu mengikuti kelas Menengah 5 pada 2022, sementara menunggu pemberitahuan kelayakan dan pengesahan tempat di PFP.
PFP adalah program asas diploma yang dijalankan selama dua semester akademik di politeknik. Ia khusus bagi pelajar dalam aliran Normal (Akademik) yang ingin melanjutkan pelajaran di politeknik dan memenuhi syarat kelayakan PFP pada akhir Menengah 4.
Permohonan bagi PFP akan dibuka serentak dengan pengumuman keputusan GCE peringkat O pada Januari 2021. Mereka yang layak bagi PFP akan menerima salinan Borang P pada hari yang sama untuk memohon bagi PFP.
BIMBINGAN PENDIDIKAN DAN KERJAYA
Para pelajar boleh berunding dengan guru atau kaunselor Bimbingan Pendidikan dan Kerjaya (ECG) di sekolah menengah masing-masing untuk membantu mereka membuat keputusan yang tepat mengenai langkah seterusnya, kata MOE dan SEAB.
Mereka juga boleh merujuk ke laman MySkillsFuture untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pilihan pendidikan dan kerjaya yang ditawarkan. Pelajar boleh membuat janji temu dengan kaunselor di Pusat ECG di MOE (Grange Road) melalui telefon, emel atau secara online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.