Skip to main content

Singapura

Keputusan GCE ‘A’: Penggerak bangsawan dan duta bahasa raih kecemerlangan

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan GCE ‘A’: Penggerak bangsawan dan duta bahasa raih kecemerlangan
Nurul Hana (kiri) dan Fatih Hamdani (kanan), raih keputusan cemerlang bagi peperiksaan GCE ‘A’ sambil mengekalkan cinta mereka terhadap bahasa dan warisan Melayu.
Diterbitkan : 27 Feb 2026 05:37PM
SINGAPURA: Perjalanan pelajar Maktab Rendah Jurong Pioneer (JPJC), Nurul Hana Mohamed Azeli di bangku prauniversiti bukan sekadar mengejar keputusan cemerlang.

Bahkan, ia merupakan satu proses mendalami makna jati diri.

Menurut Hana, ia juga cerminan perjalanannya mendalami bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Melalui Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP), dia mengikuti pelbagai bengkel dan program yang memperluas pemahamannya terhadap teks sastera yang dipelajari untuk peperiksaan.

Hana berkata: "Sebenarnya saya sudah mengambil program MLEP sejak sekolah menengah dan dari situ, melalui MLEP, minat saya terhadap bahasa dan bangsa telah mengembang."

Pengalaman tersebut, katanya, menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan kontekstual.

"Ini membuat saya lebih memahami teks-teks karya yang kami harus pelajari untuk peperiksaan peringkat 'A' kami.

"Ini juga membuat saya lebih terdedah kepada isu-isu kemasyarakatan dan juga isu-isu sensasi sensitif yang mungkin tidak sering dibincangkan di masyarakat ini, dan semua ini membuat saya lebih memahami karya-karya tersebut,” kongsi Hana.

SENI BANGSAWAN BANTU NURUL HANA HAYATI BAHASA MELAYU

Anak muda itu juga mempunyai minat yang mendalam terhadap seni bangsawan.

Seni itu, menurut Hana membuatnya menghargai dan menghayati bahasa dan budaya Melayu sebagai warisan hidup.

Malah, dia bukan sahaja minat dalam seni bangsawan, bahkan berjaya dalam bidang tersebut.

Hana merupakan salah seorang daripada dua penerima Biasiswa Bangsawan yang diberikan oleh Akademi Opera bagi memperdalam pengetahuan dan minatnya dalam seni itu.

Dia berkata: "Ini membuat saya lebih meminati bangsawan kerana sebelum ini saya hanya terdedah kepada aspek lakonan sahaja. Jadi apabila saya terdedah kepada aspek aspek yang lain, ini membuat saya lebih memahami kerja keras yang harus dilakukan untuk memastikan sebuah pementasan itu akan dijalankan dengan lancar."

Namun, Hana akur berdepan dengan cabaran yang besar apabila perlu mengimbangi pelajaran sehariannya dengan latihan untuk pementasan bangsawan semasa waktu persekolahan.

"Cabaran utama yang saya lalui adalah kesuntukan masa dan juga agak mencabar untuk menjiwai watak Wan Seri Bini ini. Sebenarnya pementasan ini dipentaskan di Sarawak semasa program Penyerapan MLEP kami dan kita tidak diberikan banyak masa untuk melatih."

"Saya hanya diberikan 1 hingga 2 bulan dan latihan kami hanya seminggu sekali. Jadi tidak banyak masa untuk kami betul-betul mempelajari bagaimana untuk bergerak dan juga menyampaikan dialog kami,” katanya.

Walaupun aktif di pentas, Hana tetap memastikan prestasi akademiknya tidak terabai.

Disiplin peribadi menjadi kunci keseimbangan antara seni dan pelajaran.

“Oleh kerana latihan kami hanya seminggu sekali, jadi saya masih ada masa untuk fokus kepada pelajaran saya. Jadi selalunya sebelum saya tidur, saya akan lihat semula skrip bangsawan saya dan juga melatih di depan keluarga saya. Jadi, mereka boleh memberikan saya maklum balas untuk memperbaiki persembahan saya,” tambahnya.

INGIN SUMBANG KEMBALI KEPADA KESUSASTERAAN MELAYU SG

Memandang ke hadapan, Hana merancang untuk terus mendalami bidang pengajian Melayu di universiti.

Dia juga ingin menyumbang kembali kepada masyarakat melalui penulisan.

Dalam era kebangkitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) hari ini, Hana menyedari semakin berkurangnya buku fizikal untuk kanak-kanak di pasaran, khususnya dalam bahasa Melayu.

“Saya bercita-cita untuk menulis buku Melayu untuk kanak-kanak bersama rakan-rakan saya kerana saya rasa ia adalah tanggungjawab saya untuk menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan Melayu di Singapura,” kata Hana.

DUTA BAHASA PERTAMA DI RI

Sementara itu, antara pelajar yang menerima keputusan cemerlang dalam peperiksaan peringkat GCE 'A' ialah pelajar Institusi Raffles (RI), Fatih Hamdani.

Dia menganggap keputusan yang diterimanya sebagai batu loncatan untuk meneruskan perjuangannya memartabatkan bahasa dan budaya Melayu, terutama sekali dalam golongan belia.

"Saya rasa belia mempunyai kuasa yang terbesar untuk membentuk perubahan untuk menjadikan budaya dan bahasa Melayu lebih berwarna dan lebih gah dan kekal sepanjang zaman.

Fatih dilantik sebagai Duta Bahasa oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura tahun lepas, sekali gus yang pertama seumpamanya dalam sejarah sekolah itu.

"Saya mengambil tanggungjawab ini dengan penuh kebanggaan, tetapi saya juga memahami betapa berat tanggungjawab yang dipikul bagi saya untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan belia kita,” jelasnya.
GUNAKAN PENDEKATAN INKLUSIF UNTUK DEKATI RAKAN SEBAYA

Sebagai Presiden Persatuan Kebudayaan Melayu di sekolahnya, Fatih menggunakan pendekatan inklusif untuk mendekatkan rakan sebaya dengan warisan Melayu.

“Saya rasa yang paling penting, kalau dalam bahasa Inggeris, "meet them where they are". Saya cuba mengeratkan hubungan saya dengan para pelajar Melayu sekolah saya dan dengan menggunakan tali persahabatan ini, saya cubalah sedikit demi sedikit untuk menggalakkan penggunaan bahasa dan budaya Melayu melalui aktiviti aktiviti.

"Saya harap saya boleh dapat menggalakkan kawan-kawan saya dan belia lain untuk untuk cuba mendalami bahasa mereka dan cuba mendekatkan lagi dengan budaya mereka," kongsi Fatih.

Dia merancang untuk melanjutkan pengajiannya dalam kursus seni media dan kreatif dan sudahpun menerima tawaran awal daripada beberapa universiti di United Kingdom (UK).

Seiring itu, dia tekad untuk terus memacu usaha menggalakkan belia mendalami budaya dan bahasa Melayu di tanah air.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita