Keputusan GCE 'O' diumum 12 Jan, pelajar ambil keputusan di bilik darjah

Gambar fail para pelajar menerima keputusan peperiksaan peringkat GCE O.
SINGAPURA: Keputusan peperiksaan GCE peringkat 'O' 2021 akan diumumkan pada 2 petang, 12 Jan. Pelajar boleh mendapatkan keputusan mereka di bilik darjah masing-masing.
Hanya calon sekolah yang mengambil keputusan mereka akan dibenarkan masuk ke kawasan sekolah dan mereka mesti mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Rabu (5 Jan).
Pelajar yang menerima amaran risiko kesihatan hanya akan dibenarkan mengambil keputusan mereka secara fisikal jika keputusan ujian pantas antigen mereka negatif COVID-19 pada hari keputusan sebelum pergi ke sekolah.
Mereka yang kurang sihat atau dikehendaki mengasingkan diri kerana keputusan ujian positif COVID-19 tidak harus ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka, menurut MOE dan SEAB.
Calon tersebut boleh mendapatkan keputusan mereka di portal online SEAB mulai 2.45 petang pada 12 Jan. Portal itu akan dibuka sehingga 26 Jan.
Pelajar boleh menggunakan akaun Singpass mereka untuk masuk ke dalam portal, manakala pelajar antarabangsa akan menerima nama pengguna dijana sistem yang akan diberikan melalui emel mulai 7 Jan.
Sesiapa yang tidak dapat mengambil keputusan mereka secara fizikal harus memberitahu pihak sekolah, menurut MOE dan SEAB.
Mereka boleh menghantar wakil untuk mengambil keputusan mereka. Wakil harus menunjukkan bukti dokumen bagi pengesahan sekolah.
Calon persendirian akan menerima keputusan mereka melalui pos. Keputusan akan dipos pada 12 Jan ke alamat yang sudah diberikan ke SEAB. Calon yang mempunyai Singpass juga boleh mendapatkan keputusan mereka di portal online.
Pelajar yang ingin memohon untuk memasuki maktab rendah, Institut Millenia, politeknik atau Institut Pendidikan Teknikal (ITE) boleh berbuat demikian menerusi Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE).
Sistem Internet JAE boleh diakses dari 3 petang pada 12 Jan hingga 4 petang pada 17 Jan untuk pelajar mendaftar pilihan kursus mereka.
Apabila mengambil keputusan peperiksaan, calon dari sekolah yang layak akan menerima salinan Form A. Form A akan menyenaraikan keputusan mereka, kursus yang boleh mereka mohon berserta kata laluan peribadi untuk mengakses Sistem Internet JAE. Calon persendirian akan menerima Form A melalui pos.
Pelajar juga boleh menghantar wakil untuk mengambil Form A mereka bermula 14 Jan. Calon juga boleh memuat turun borang itu menggunakan akaun Singpass mereka semasa tempoh pendaftaran.
KEPUTUSAN JAE AKAN DIUMUMKAN PADA 4 FEB
Keputusan JAE akan diumumkan pada 4 Feb melalui SMS dan Sistem Internet JAE.
Pemohon yang mendapat tempat di maktab rendah dan Institut Millennia harus melaporkan diri ke sekolah masing-masing pada 7 Feb.
Sekiranya pemohon tidak dapat melaporkan diri atas sebab yang sah, mereka harus menghubungi sekolah itu untuk mengesahkan tempat di sekolah tersebut.
Pemohon yang mendapat tempat di politeknik dan ITE akan menerima surat daripada institusi masing-masing mengenai butiran pendaftaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.