Keputusan GCE 'O': Diuji penyakit dan peralihan aliran, 2 pelajar ini tetap cemerlang
SINGAPURA: Pada usia 13 tahun, Nurin Adilah Muhammad Zohri disahkan menghidap barah darah jenis B-cell Acute Lymphoblastic Leukemia.
Penyakit itu membuatnya sering berasa letih, berat badannya menyusut secara mendadak serta sering demam berpanjangan.
"Saya masih ingat apabila ibu saya dapat tahu tentang penyakit barah saya, dia terus menelefon ayah saya dan menyuruh dia untuk terus datang ke klinik kerana ada kecemasan. Bila ayah saya sudah sampai ke klinik, saya terus lari ke arahnya dan memeluknya. Saya kata pada ayah saya, - saya takut, saya tak nak mati, saya tak bersedia," kata Nurin sambil mengenang kembali detik yang tidak dapat dilupakan itu.
Walaupun masih mempunyai peluang untuk pulih, berita tersebut memberi kesan yang mendalam kepada keluarganya.
"80 peratus sel sudah merebak ke seluruh badan saya tetapi masih belum sampai ke otak saya, jadi doktor mengatakan bahawa peluang untuk saya hidup tinggi," kongsi Nurin.
TERPAKSA HENTI SEKOLAH SELAMA HAMPIR 2 TAHUN
Semasa Menengah 1, Nurin terpaksa tidak bersekolah bagi menjalani rawatan intensif.
Hampir dua tahun kemudian, Nurin kembali ke sekolah di peringkat Menengah 2.
Nurin akur hari pertamanya kembali ke sekolah sangat mencabar kerana harus bergelut dengan kekurangan keyakinan diri akibat perubahan pada penampilannya.
"Saya rasa macam semua orang tengok saya dengan pelik sebab penampilan saya pun sudah berubah. Berat badan saya naik disebabkan ubat-ubat kemoterapi saya. Rambut saya pun dah pendek. Saya rasa saya nampak tidak cantik, saya nampak seperti seorang lelaki, " kata Nurin.
Selain itu, dia juga masih perlu menjalani rawatan kemoterapi, lantas, tidak hadir ke sekolah selama hampir dua minggu setiap kali.
Pun begitu, Nurin tidak berpeluk tubuh.
Tekad dan minat Nurin dalam pembelajaran dan tarian menjadi pemangkin semangat untuk terus ke sekolah meski cabaran yang harus dilalui.
"Saya suka belajar, kawan-kawan saya pun buat sekolah sangat seronok. Jadi saya macam bersemangat nak pergi sekolah untuk jumpa kawan saya, nak ketawa dan belajar sama-sama. Tarian Melayu pun adalah satu kegiatan tambahan yang saya suka sebab saya memang seorang penari Melayu sejak saya berumur 8 tahun," kongsi Nurin.
Usaha dan ketabahannya membuahkan hasil apabila Nurin berjaya memperoleh keputusan agak cemerlang untuk peperiksaan GCE 'O'.
Nurin merupakan antara hampir 87 peratus pelajar yang menduduki peperiksaan GCE 'O' 2025 dan lulus sekurang-kurangnya lima subjek.
Peratusan itu 0.8 peratus lebih rendah berbanding kohort 2024, tetapi 0.1 peratus lebih tinggi daripada kohort 2023.
Lebih 22,400 pelajar menerima keputusan peperiksaan GCE 'O' mereka daripada sekolah menengah masing-masing siang tadi (14 Jan).
Dengan keputusan yang diraihnya, Nurin ingin memburu cita-citanya menjadi seorang doktor haiwan.
Impiannya itu juga didorong oleh pengalamannya di dalam dunia perubatan, digabungkan dengan minat mendalam terhadap haiwan.
"Selepas saya dapat keputusan peringkat 'O', saya akan masuk ke Politeknik Republik dalam kursus Sains Gunaan melalui laluan Pendaftaran Kemasukan Awal (EAE).
"Selepas saya meraih diploma, saya ingin melanjutkan pengajian ke universiti di Singapura supaya dapat belajar di luar negara untuk mendapatkan sijil untuk menjadi doktor haiwan," kata Nurin.
Nurin sudah bebas barah sejak Disember 2023.
Namun, Nurin tetap perlu melalui pemeriksaan kesihatan sekali setiap tiga bulan.
DARIPADA ALIRAN NORMAL AKADEMIK KE ALIRAN EKSPRES
Juga tabah dan gigih mengharungi cabaran hidup ialah Muhammad Rayyan Jefri, dari Sekolah Menengah Jurong.
Rayyan memulakan perjalanan sekolah menengah dalam aliran Normal Akademik (NA) di Menengah 1.
Walaupun ditawarkan untuk lanjut ke aliran Ekspres pada Menengah 2, beliau memilih untuk kekal di aliran NA bagi membina keyakinan diri dan mengukuhkan asas pembelajarannya.
"Pada mulanya, apabila saya dapat peluang untuk ke aliran Ekspres, saya agak khuatir kerana saya tidak pasti jika saya dapat menyesuaikan diri kepada aliran Ekspres. Namun, selepas berbual bersama guru-guru subjek saya, mereka memberi nasihat kepada saya untuk mengambil SBB juga bagi beberapa subjek NA."
"Apabila saya sudah ambil beberapa subjek di aliran Express, saya rasa lebih yakin kepada kebolehan saya untuk mengambil semua subjek di aliran Ekspres pada tahun seterusnya," kongsi Rayyan.
Rayyan juga menyerlah dalam pelbagai pertandingan akademik.
Antara pencapaian paling membanggakan untuk Rayyan ialah penyertaannya dalam pertandingan penulisan Bahasa Melayu, 'Pena Emasku 2024'.
"Pertolongan guru-guru subjek saya memainkan peranan yang amat penting bagi kejayaan saya dalam beberapa pertandingan itu. Dengan sokongan guru bahasa Melayu saya, saya dapat memperbaiki idea saya dan pada masa yang sama saya dapat memastikan bahawa penulisan saya lancar dan ideanya berstruktur," kongsi Rayyan.
GALAS TANGGUNGJAWAB SEBAGAI NAIB PENGERUSI CCA CONCERT BAND
Di luar bilik darjah, Rayyan turut menggalas tanggungjawab sebagai Naib Pengerusi CCA Pancaragam Konsert.
Pengalaman paling bermakna ialah kejayaan meraih prestasi 'Cemerlang' dalam dalam Pesta Belia Singapura (SYF), yang juga merupakan pencapaian pertama buat sekolah tersebut.
Walaupun sibuk dengan latihan CCA, Rayyan tetap berdisiplin mengimbangi masa untuk pembelajaran menjelang peperiksaan peringkat 'O'.
“Pada hari yang saya tidak ada sesi CCA, saya memastikan bahawa saya mencari masa untuk belajar dan membuat persiapan bagi peperiksaan peringkat 'O' juga. Jika saya tidak penat selepas sesi CCA, saya akan cuba belajar dan mengulangkaji bagi peperiksaan peringkat 'O' saya,” katanya.
INGIN MENJADI SEORANG GURU BAHASA MELAYU
Berkat kegigihannya dalam bidang akademik, Rayyan meraih keputusan yang cemerlang untuk peperiksaan GCE 'O'.
Rayyan memutuskan untuk melanjutkan pembelajarannya di Maktab Rendah selepas meraih gred A2 dan lebih baik untuk lima subjek.
Rayyan juga menanam niat untuk menceburi bidang pendidikan kelak.
“Semasa di sekolah menengah, kawan-kawan saya seringkali akan menanyakan kepada saya untuk mendapatkan pertolongan jika guru subjek mereka tidak ada masa untuk menolong mereka.
"Dari situlah apabila saya dapat menolong mereka memahami apa yang mereka pada mulanya agak keliru untuk memahami saya merasa suatu kepuasan. Pada masa yang sama, saya telah melihat bagaimana seorang guru memainkan peranan dalam kehidupan seorang pelajar dan bukan sahaja dari segi akademik tetapi dari segi holistik juga," kongsi Rayyan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.