Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan GCE 'O' akan diumumkan pada 11 Jan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Jan 2024 02:22PM Dikemas Kini : 04 Jan 2024 08:59PM
SINGAPURA: Keputusan peperiksaan peringkat GCE 'O' 2023 akan dikeluarkan pada 2.00 petang pada 11 Jan.

Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan mereka dari sekolah menengah mereka pada hari itu, dengan butiran mengenai aturan bagi mendapatkan keputusan tersebut akan dikongsi oleh sekolah masing-masing, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Khamis (4 Jan).

Pelajar yang kurang sihat seharusnya mendapatkan rawatan perubatan dan tidak pergi ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka, tambah kenyataan bersama itu.

Mereka yang tidak dapat berbuat demikian secara peribadi juga boleh melantik wakil untuk mengambil salinan fizikal keputusan tersebut bagi pihak mereka daripada sekolah. Wakil mesti mengemukakan dokumen yang relevan untuk pengesahan pihak sekolah semasa mengambil keputusan tersebut.

Pelajar juga boleh menghubungi pihak sekolah untuk mendapatkan bantuan jika mereka tidak dapat melantik seorang wakil.

Sementara itu, calon privet yang layak untuk Singpass boleh menggunakan akaun mereka untuk mendapatkan keputusan masing-masing melalui portal calon SEAB mulai 2.45 petang pada 11 Jan.

Mereka yang tidak layak untuk Singpass boleh melihat keputusan mereka dalam portal menggunakan akaun yang mereka buat semasa pendaftaran.

PERMOHONAN BAGI PROGRAM KEMASUKAN

Pelajar boleh memohon untuk memasuki Maktab Rendah (JC), Institut Millennia, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) melalui Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE) menggunakan keputusan GCE 'O' mereka.

Sistem Internet JAE boleh diakses dari pukul 4.00 petang pada 11 Januari sehingga pukul 4.00 petang pada 16 Januari supaya pelajar dapat menyerahkan kursus pilihan mereka.

Calon yang layak akan menerima salinan digital Borang A melalui alamat emel berdaftar mereka mulai jam 2.00 petang pada 11 Jan. Borang A menyenaraikan markah agregat kasar calon untuk jenis agregat JC, politeknik dan ITE serta kursus yang mereka layak untuk memohon di bawah JAE.

Selain itu, mereka juga boleh memuat turun salinan Borang A di bawah Sistem Internet JAE semasa tempoh permohonan.

KEPUTUSAN PERMOHONAN

Keputusan permohonan JAE akan dikeluarkan pada 1 Februari melalui SMS dan Sistem Internet JAE.

Pemohon yang mendapat tempat di maktab rendah dan Institut Millennia harus melaporkan diri ke sekolah masing-masing pada 2 Februari.

Jika pelajar tidak dapat melaporkan diri di maktab rendah atau Institut Millennia pada hari pertama sekolah disebabkan oleh alasan yang munasabah, mereka harus menghubungi pihak sekolah untuk mengesahkan tempat di sekolah tersebut, dan pihak sekolah akan menyimpan tempat untuk pelajar berkenaan.

Pemohon yang mendapat tempat di politeknik dan ITE akan menerima emel atau pakej melalui pos dari institusi masing-masing, mengenai butiran pendaftaran sebelum akhir Februari.

KEMASUKAN LANGSUNG KE MAKTAB RENDAH

Pelajar yang menerima tawaran melalui skim Pengambilan Masuk Ke Sekolah Secara Langsung (DSA)-Maktab Rendah akan ditempatkan di maktab rendah pilihan mereka, sekiranya markah GCE 'O' mereka memenuhi kriteria kelayakan. Pelajar tersebut tidak layak untuk menyertai JAE.

Pelajar yang tidak memenuhi kriteria kelayakan boleh menyertai JAE.

KEMASUKAN AWAL BAGI POLITEKNIK, ITE

Pelajar yang sebelum ini menerima tawaran bersyarat bagi kursus politeknik melalui Skim Kemasukan Langsung Ke Program Politeknik (DPP) akan menerima pengesahan sekiranya mereka memenuhi kriteria tersebut:

Markah ELR2B23 sebanyak 26 markah atau lebih rendah bagi peringkat GCE 'O' dan syarat kemasukan minimum bagi kursus politeknik masing-masing.

Pelajar yang tidak memenuhi kriteria tersebut akan ditawarkan satu lagi peluang untuk memohon kemasukan ke politeknik melalui JAE

Selain itu, pelajar yang sudah menerima tawaran bagi kursus ITE melalui Skim Kemasukan Awal ke ITE akan mendapat pengesahan jika mereka memenuhi keperluan kelayakan minimum bagi subjek tertentu bagi kursus ITE yang diingini.

Mereka tidak layak untuk menyertai JAE.

PELAJAR MENENGAH 4 NORMAL (AKADEMIK)

Pelajar Menengah 4 Peringkat Normal (Akademik) yang menduduki subjek peringkat GCE 'O' boleh menggunakan keputusan mereka untuk mendapatkan tempat dalam Program Asas Politeknik (PFP) atau Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik (DPP).

Program Asas Politeknik (PFP) adalah alternatif kepada Menengah 5 N (Akademik).

Pendaftaran bagi program tersebut akan dibuka dari pukul 2.00 petang, pada 11 Januari, sehingga pukul 4.00 petang pada 16 Januari. Keputusan permohonan akan dikeluarkan secara online pada pukul 2.00 petang, 23 Januari.

Pelajar harus mengesahkan jika mereka menerima, menolak atau membuat permohonan untuk menukar kursus sebelum pukul 4.00 petang pada 26 Januari.

Hari sekolah terakhir untuk pelajar Menengah 5 yang mengesahkan tempat dalam Program Asas Politeknik adalah 26 Januari.

Mereka akan dimaklumkan oleh pihak politeknik mengenai tarikh pendaftaran bagi kursus yang diingini.

Pelajar yang layak di bawah Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik (DPP) boleh membuat pendaftaran mereka secara online bermula pukul 12.00 tengah malam pada 11 Januari sehingga pukul 11.00 malam pada 16 Januari. Keputusan permohonan akan dikeluarkan pada pukul 9.00 pagi, 18 Januari.

Mereka yang ditawarkan tempat dalam Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik harus melaporkan diri di ITE pada 22 Januari.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan