Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan GCE O akan dikeluarkan pada 10 Jan

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan GCE O akan dikeluarkan pada 10 Jan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 03 Jan 2025 01:26PM Dikemas Kini : 03 Jan 2025 01:28PM
SINGAPURA: Keputusan Peperiksaan GCE O 2024 akan dikeluarkan pada 10 Jan pada pukul 2.30 petang.

Para calon sekolah boleh mendapatkan keputusan mereka dari sekolah menengah mereka pada hari itu, dengan butiran untuk mengambil keputusan tersebut akan dikongsi oleh sekolah masing-masing, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Jumaat (3 Jan).

Mereka yang tidak dapat mengambil keputusan mereka sendiri boleh melantik wakil untuk mengambil salinan fizikal keputusan mereka bagi pihak mereka daripada sekolah. Wakil mesti mengemukakan dokumen yang relevan untuk disahkan oleh pihak sekolah semasa mengambil keputusan tersebut.

Pelajar juga boleh menghubungi sekolah mereka untuk mendapatkan bantuan jika mereka tidak dapat melantik wakil.

Sementara itu, calon privet yang layak untuk Singpass boleh menggunakan akaun mereka untuk mendapatkan keputusan mereka secara online melalui portal calon SEAB dari pukul 3.15 petang pada 10 Jan hingga pukul 11.00 malam pada 24 Jan.

Mereka yang tidak layak untuk Singpass boleh melihat keputusan mereka dalam portal menggunakan akaun yang mereka buat semasa pendaftaran.

MEMOHON KEMASUKAN

Para pelajar boleh memohon kemasukan ke Maktab Rendah (JC), Institut Millennia (MI), politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) melalui Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE) menggunakan keputusan GCE O mereka.

Sistem Internet JAE boleh diakses dari pukul 4.00 petang pada 10 Jan, hingga pukul 4.00 petang pada 15 Jan untuk pelajar menyerahkan pilihan kursus mereka.

Calon yang layak akan menerima salinan digital Borang A - yang menyenaraikan markah agregat kasar calon untuk jenis dan kursus agregat JC, MI, politeknik dan ITE yang mereka layak memohon di bawah JAE - melalui alamat emel berdaftar mereka mulai pukul 3.00 petang pada Jan 10.

Sebagai alternatif, mereka juga boleh memuat turun salinan Borang A di bawah Sistem Internet JAE semasa tempoh permohonan.

KEPUTUSAN KEMASUKAN

Keputusan JAE akan dikeluarkan pada 4 Feb melalui SMS dan Sistem Internet JAE.

Pemohon yang dihantar ke maktab rendah dan MI hendaklah melaporkan diri ke sekolah mereka pada 5 Feb. Jika mereka mempunyai sebab yang sah untuk tidak dapat berbuat demikian, mereka harus menghubungi pihak sekolah secara langsung untuk mengesahkan bahawa mereka mengambil tempat itu, dan pihak sekolah akan memperuntukkan tempat untuk mereka.

Pemohon yang dihantar ke ITE akan menerima emel dengan butiran pendaftaran pada 4 Feb, dan mereka yang dihantar ke politeknik akan menerima butiran daripada institusi masing-masing pada akhir Februari.

KEMASUKAN TERUS KE MAKTAB RENDAH

Pelajar yang menerima tawaran melalui Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung 2024 - Maktab Rendah (DSA-JC) akan diterima masuk ke maktab rendah pilihan mereka jika keputusan GCE O mereka memenuhi kriteria kemasukan.
Pelajar ini tidak akan layak untuk menyertai JAE.

Pelajar yang tidak memenuhi kriteria kemasukan boleh mengambil bahagian dalam JAE.

Untuk layak bagi kemasukan ke maktab rendah melalui JAE atau DSA-JC, pelajar mesti mempunyai skor agregat kasar L1R5 tidak lebih daripada 20 dan memenuhi keperluan gred untuk mata pelajaran tertentu.

KEMASUKAN AWAL KE POLITEKNIK, ITE

Pelajar yang sebelum ini telah menerima tawaran bersyarat bagi kursus politeknik melalui Pengambilan Masuk Awal Politeknik pada 2024 akan mendapat pengesahan tawaran mereka jika mereka mempunyai skor bersih ELR2B23 sebanyak 26 mata atau lebih rendah untuk GCE O dan memenuhi syarat kemasukan minimum untuk kursus politeknik masing-masing.

Pelajar yang tidak memenuhi kriteria di atas akan mendapat peluang sekali lagi untuk memohon kursus politeknik yang mereka layak melalui JAE.

Pelajar yang telah menerima tawaran bersyarat untuk kursus ITE melalui Pengambilan Masuk Awal ITE pada 2024 akan disahkan tawaran mereka jika mereka memenuhi syarat kemasukan minimum khusus subjek untuk kursus ITE.

PELAJAR MENENGAH 4 (AKADEMIK) NORMAL

Pelajar Menengah 4 Normal (Akademik) yang menduduki GCE O pada 2024 boleh menggunakan keputusan mereka untuk memohon tempat dalam Program Asas Politeknik atau Skim Pengambilan Masuk ke Politeknik secara Langsung.

Program Asas Politeknik adalah alternatif kepada Menengah 5 N(Akademik).

“Ia merupakan program asas satu tahun yang ditawarkan di politeknik yang menyediakan pelajar dengan pendekatan berorientasikan amalan untuk menyediakan mereka memasuki kursus diploma yang relevan,” kata MOE dan SEAB.

Pelajar layak memohon program tersebut jika mereka mempunyai agregat kasar ELMAB3 sebanyak 12 mata atau lebih rendah dan memenuhi keperluan khusus subjek untuk kursus pilihan mereka.

Mereka akan menerima borang, yang mengandungi kata laluan unik yang boleh mereka gunakan untuk menyerahkan permohonan mereka, dari sekolah menengah masing-masing secara peribadi.

Permohonan untuk program itu akan dibuka dari pukul 1.30 tengah hari pada 10 Jan, hingga 4.00 petang pada 15 Jan. Keputusan akan dikeluarkan secara online pada pukul 1.30 tengah hari pada 22 Jan.

Pelajar perlu menyatakan sama ada mereka ingin menerima, menolak atau merayu untuk pertukaran kursus sebelum pukul 4.00 petang pada 27 Jan.

Hari terakhir persekolahan bagi pelajar Menengah 5 yang telah menerima tempat dalam Program Asas Politeknik adalah pada 31 Jan.

Mereka akan dimaklumkan oleh politeknik masing-masing mengenai tarikh pendaftaran bagi program tersebut.

Sementara itu, Program Pengambilan Masuk ke Politeknik secara Langsung menyediakan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke kursus diploma politeknik terpilih melalui kursus NITEC Lanjutan selama dua tahun di ITE, kata MOE dan SEAB.

Pelajar layak memohon program tersebut jika mereka mempunyai agregat kasar ELMAB3 sebanyak 19 mata atau lebih rendah dan memenuhi keperluan khusus subjek untuk kursus pilihan mereka.

Pelajar yang layak boleh menghantar permohonan mereka secara online dari pukul 12.00 tengah malam pada 10 Jan hingga pukul 11.59 malam pada 14 Jan.

Keputusan akan dikeluarkan pada pukul 9.00 pagi pada 17 Jan, dan pelajar perlu menerima atau menolak tawaran mereka sebelum pukul 11.59 malam pada 21 Jan.

Mereka yang ditawarkan tempat di bawah Skim Pengambilan Masuk ke Politeknik secara Langsung hendaklah melaporkan diri di ITE pada 22 Jan.
Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan