Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KEPUTUSAN GCE 'O': 2 pelajar cemerlang walaupun hadapi cabaran hidup

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua tahun lalu, dunia Muhammad Aman Ramdzan, menjadi gelap dengan tiba-tiba.

Penglihatannya semakin kabur dari hari ke hari, mencetuskan kebimbangan ibu bapanya.

"Dia akan berjalan dan akan tersandung barang, akan terlanggar barang. Kami tidak tahu yang ia menjejas penglihatannya. Semakin hari semakin ketara. Justeru kami mengambil keputusan untuk menguji matanya," kata Encik Ramdzan kepada wartawan Syawal Yusoff.

Selepas menghantar sampel darah ke Amerika Syarikat untuk diuji, Aman didiagnos dengan penyakit Neuropati Optik Keturunan Leber (LHON) iaitu sejenis penyakit mata genetik yang menjejaskan penglihatannya.

"Apabila membuat ujian mata, ia mengesahkan yang mata kirinya terjejas dengan teruk," kata Encik Ramdzan.

Aman, yang berusia 16 tahun, adalah antara segelintir pesakit yang menghidap penyakit itu di Singapura.

"Pertama sekali saya terkejut, kemudian sedih kerana tidak dapat melakukan itu dan ini. Selepas itu saya berasa bersemangat. Bagaimana saya boleh mara ke hadapan.

"(Penglihatan saya) 80 peratus saya boleh nampak, 20 peratus saya tidak boleh nampak. Tapi 20 peratus ini cukup teruk sehingga kebanyakan perkara saya tidak dapat lihat," kata Aman, anak bongsu tiga beradik lelaki.

Demi masa depan, Aman memilih untuk bangkit semula.

"Saya tidak akan menjadikan ini sebagai masalah, tetapi akan menjadikannya satu cabaran. Saya akan ubah ini untuk menjadi satu kekuatan," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

SEKOLAH BANTU MUDAHKAN PEMBELAJARAN

Dengan semangat yang membara, Aman belajar untuk menyesuaikan diri di Sekolah Menengah Fuchun, Woodlands.

Walaupun beliau merupakan pelajar pertama yang menghadapi keadaan tersebut di sekolahnya, pihak sekolah memastikan keperluan inklusif Aman dipenuhi.

"Kami menggunakan alat bantuan seperti skrin pembesar, aplikasi di mana ia dapat membesarkan teks yang kecil dan juga buku-buku audio untuk pembelajaran yang berbeza untuk menolongnya.

"Kami membawa guru-gurunya berjumpa pakar seperti psikologi pendidikan, pergi ke AWWA, SAVH dan juga mengambil tahu daripada sekolah-sekolah yang berpengalaman seperti Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim dan Sekolah Menengah Bedok South," kata Pegawai Pendidikan Keperluan Khas, Cik Amelia Abdul Malik.

Meskipun kekurangan daya penglihatan, Aman tetap menjalankan tugasnya sebagai Naib Presiden Majlis Pelajar di sekolah dan sebagai anggota Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC).

Pihak sekolah memastikan bahawa beliau tidak dikecualikan daripada sebarang kegiatan yang dianjurkan.

Namun, langkah-langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan keselamatan Aman.

"Aman digalakkan untuk mengambil bahagian dalam semua aktiviti-aktiviti sekolah seperti kem, ilmu kembara di dalam dan luar negeri. Dia juga sangat aktif dalam aktiviti kokurikular (CCA) dan juga latihan jasmani (PE).

"Sebelum Aman mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti itu, kami akan mengadakan taklimat keselamatan untuk sekolah dan juga untuk rakan-rakannya. Jadi, rakan-rakannya akan membantunya secara bergilir-gilir, supaya mereka tahu apa yang boleh dilakukan untuk membantu Aman," jelas Cik Amelia.

(Gambar: Syawal Yusoff)

SOKONGAN KELUARGA BERI SEMANGAT

Selain sekolah, keluarga Aman merupakan sumber sokongan utama yang sentiasa memberi dorongan kepadanya untuk meneruskan kehidupan.

Ibu bapa Aman juga menyertai kumpulan sokongan antarabangsa untuk memahami dengan lebih mendalam keperluan unik anak mereka.

Mereka membelanjakan lebih S$100 sebulan untuk membeli suplemen yang diimport dari Amerika Syarikat, yang diharapkan dapat membantu Aman.

"Sekali pun Aman tidak pernah bertanya saya ‘Ayah, mengapa keadaan saya jadi begini'. Jadi itu menguatkan saya juga keluarga saya. Pada masa ini, keadaan dia tidak bertambah baik dan tidak bertambah teruk. Dia agak stabil," kata Encik Ramdzan, yang bertugas sebagai pegawai operasi.

Berkat kegigihannya, Aman meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan peringkat 'O'.

Beliau lulus semua subjek dan kini layak melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Antara bidang kursus yang dipertimbangkan termasuk perniagaan, perbankan dan kewangan, sumber manusia, pelancongan, dan kerja sosial.

Aman berharap dapat menjadi inspirasi kepada mereka yang menghadapi cabaran serupa dengan dirinya.

"Saya harap pada satu hari, InsyaAllah ada penawar untuk penyakit Aman. Sekarang saya hanya banyak berdoa agar keadaan saya, agar penglihatan saya kembali normal," kata Aman.

(Gambar: Syawal Yusoff)

NASIHAT ARWAH BAPA JADI MOTIVASI UNTUK CEMERLANG

Seorang lagi lulusan cemerlang GCE 'O' hari ini ialah Muhammad Syazwan Mansor, 16 tahun, dari Sekolah Menengah Compassvale.

Perjuangannya untuk mencapai kejayaan menjadi lebih mencabar selepas kehilangan bapa tersayang dua tahun lalu.

"Selepas kehilangan ayah, saya merasa seolah-olah hidup ini tiada arah, seperti tidak ada harapan. Namun, Alhamdulillah, tanpa sokongan keluarga terdekat, rakan-rakan, dan guru-guru, saya mungkin tidak akan dapat bangkit," kata Syazwan.

Syazwan juga telah membantu menjaga arwah bapanya yang menghidap penyakit ginjal selama 10 tahun.

Pesanan terakhir ayahnya masih segar dalam ingatannya hingga ke hari ini.

"Beliau selalu ingatkan saya untuk berikan yang terbaik. ia adalah untuk kebaikan diri sendiri. Kalau sekarang kita tengah merana, kemudian hari nanti kita mesti dapat hidup senang. Itu lagi membuatkan saya lebih bermotivasi untuk berikan yang terbaik dalam pelajaran saya," tambahnya.

Sambil menahan sebak, Syazwan berkata: "Saya masih sayangkan arwah dan setiap hari saya ingatkannya. Saya tidak pernah lupakannya. Jasa beliau dan tanpanya, saya tidak akan berada di mana saya kini sedang berada."

(Gambar: Syawal Yusoff)

CINTA PADA BAHASA MELAYU

Anak muda berusia 16 tahun itu juga mencintai bahasa Melayu sejak kecil.

Beliau sering mengharumkan nama sekolah dalam pelbagai pertandingan berkaitan bahasa Melayu di peringkat nasional.

"Saya sering membaca bahan sastera dan cerpen. Saya mendapati bahawa bahasa Melayu ini kaya dengan falsafah. Banyak perkara yang kita boleh pelajari daripada bahasa Melayu kita sendiri," ujarnya.

Syazwan berjaya melayakkan diri untuk menyertai Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) di maktab rendah dan berharap dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam mencintai dan memartabatkan bahasa Melayu.

"Saya harap generasi akan datang teruskan semai minat dalam diri terhadap bahasa Melayu. Saya harap terus gunakanlah bahasa Melayu. Jangan biarkan bahasa kita lesap begitu sahaja," kata Syazwan.

Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang guru Bahasa Melayu suatu hari nanti.

(Gambar: Syawal Yusoff)
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan