Skip to main content

Singapura

Keputusan GCE 'N': Pikul tanggungjawab jadi ketua keluarga selepas ayah hidapi barah; komited bantu pelajar berkeperluan khas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Dec 2025 08:36PM Dikemas Kini : 11 Jan 2026 04:52PM

SINGAPURA: Kehidupan Adly Rizky Amzah berubah apabila dia mendapat tahu Jun tahun lalu bahawa bapa kesayangannya menghidap barah paru-paru.

Sebagai anak sulung, Adly terpaksa mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga terutama bagi menjaga empat orang adiknya.

"Saya baru tahu tentang diagnosis bapa saya tahun lepas pada bulan Jun. Semasa itu, saya sedang bermain permainan video dan saya mendapati notifikasi dari telefon bimbit yang mengatakan bapa saya ada barah paru-paru," kongsi Adly kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Apabila saya mendapat berita itu, saya amat terkejut dan saya tidak tahu apa yang saya boleh lakukan kerana emosi saya ketika itu dan saya mula risau tentang bapa saya dan beberapa hari selepas (mendapat tahu), saya berasa amat sedih dan kadangkala, saya akan menangis bersendirian di dalam bilik kerana saya rasa risau tentang bapa saya," tambah beliau.

Related article image
Adly Rizky Amzah bersama keluarganya. (Gambar: Adly Rizky Amzah)

Tidak ingin membebankan ibunya yang bekerja, pelajar aliran Normal Akademik dari Sekolah Menengah Serangoon Garden itu mengambil alih tanggungjawab untuk menjaga adik-adiknya di rumah dan memastikan bapanya makan ubat doktor.

Walaupun terpaksa mengimbangi tanggungjawab di rumah dengan pelajarannya, Adly tidak pernah putus asa dan cekalkan hati untuk membuat yang terbaik bagi peperiksaan GCE 'N'.

Pelajar Normal Akademik itu juga aktif dalam kegiatan luar darjahnya dalam Kelab Media.

Related article image
Adly bersama guru-gurunya. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Adly amat menghargai sokongan guru-gurunya.

"Kadangkala saya tidak sempat menghabiskan semua kerja sekolah saya. Jadi saya akan meminta guru-guru saya untuk memberikan saya lebih banyak masa untuk menyiapkan semua kerja sekolah saya," menurut Adly.

"Ada satu kecemasan semasa CCA saya di mana bapa saya telah dibawa pergi ke hospital kerana dia tidak boleh bernafas. Jadi semasa itu, saya mendapati mesej dari ibu saya mengatakan untuk pulang ke rumah dengan cepat kerana dia berasa risau tentang bapa saya dan ingin ke hospital dan saya perlu berada di rumah untuk menjaga adik-adik saya. Guru saya memahami dan membenarkan saya pulang ke rumah lebih awal daripada CCA untuk mengatasi kecemasan di rumah," tambahnya.

NAIB JUARA CABARAN KEUSAHAWANAN BELIA

Related article image
Adly menyahut cabaran menyertai sebuah pertandingan Cabaran Keusahawanan Belia Nasional dan dinobatkan sebagai naib juara. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Semangat keusahawanannya juga menyerlah apabila Adly menyahut cabaran untuk menyertai sebuah pertandingan Cabaran Keusahawanan Belia Nasional dan dinobatkan sebagai naib juara.

Mendapat inspirasi daripada cabaran yang dihadapi bapanya dari segi penglihatan, Adly membangunkan sebuah aplikasi untuk membantu pengguna mengesan barang-barangan yang menjadi halangan dalam kawasan rumah untuk membantu golongan kurang daya penglihatan.

"Saya ada adik berumur tiga tahun. Dia akan selalu bermain dengan mainan dan kadangkala mainannya itu akan ditinggalkan di lantai sahaja. Apabila bapa saya mahu pergi dari bilik ke dapur atau ke tempat sofa, beliau akan terpijak mainan-mainan ini semua," jelas Adly.

"Jadi itu yang memberikan saya idea untuk mencipta aplikasi ini yang menggunakan kamera untuk mengesan barang-barang di sekeliling, menggunakan "speaker" untuk memberitahu pengguna tentang sebarang halangan atau barangan di hadapan mereka," tambahnya.

Related article image
Adly berharap dapat melanjutkan pengajian dalam Pengurusan Penerbangan di Politeknik Temasek menerusi Program Asas Politeknik (PFP). (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Berkat usaha Adly serta sokongan keluarga dan guru-gurunya, dia cemerlang dalam peperiksaan GCE 'N' dan merupakan antara hampir 13,500 pelajar yang menerima keputusan mereka pada Khamis (18 Dis).

Adly berharap dapat melanjutkan pengajian dalam Pengurusan Penerbangan di Politeknik Temasek menerusi Program Asas Politeknik (PFP).

"Cita-cita saya adalah untuk menjadi kru kabin pesawat atau juruterbang kerana dari dahulu, saya mendapati inspirasi dari pakcik saya yang merupakan kru kabin di Singapore Airlines," ujar Adly.

Lebih 76 peratus pelajar Menengah 4 aliran Normal Akademik layak untuk ke Menengah 5.

Mereka antara hampir 13,500 pelajar Normal Akademik dan Normal Teknikal yang menerima keputusan peperiksaan GCE peringkat 'N' siang tadi (18 Dis). 

WALAU PELAJAR NT, AMBIL BAHASA MELAYU DI PERINGKAT EKSPRES

Related article image
Puteri Haz Diyanah Mohamad Nazri juga terima keputusan cemerlang dalam GCE Peringkat 'N'. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Seorang lagi yang menerima keputusan cemerlang dalam GCE Peringkat 'N' ialah Puteri Haz Diyanah Mohamad Nazri.

Pelajar Normal Teknikal dari Sekolah Menengah Yuhua itu meraih enam mata.

"Saya berasa bersyukur kerana saya sudah berjaya dapat markah yang saya inginkan dan saya bangga dan ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya yang sudah menyokong saya dan memberikan kata-kata semangat untuk saya belajar dengan rajin," kongsi Puteri kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Malah, meskipun berada dalam aliran Normal Teknikal, Puteri beranikan diri untuk mengambil Bahasa Melayu di peringkat Ekspres.

"Saya mengambil bahasa Melayu pada tahap lebih tinggi kerana saya mahu mencabar diri sendiri dan saya dapat inspirasi daripada abang saya yang pernah mengambil GCE 'O' bahasa Melayu, serta sokongan ayah saya," jelas Puteri.

Bukan hanya cemerlang dalam pelajaran, kepimpinan Puteri juga menyerlah sebagai anggota Majlis Pelajar.

BANTU RAKAN-RAKAN BERKEPERLUAN KHAS

Related article image
Puteri komited membantu para pelajar berkeperluan khas. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Sepanjang empat tahun, Puteri juga terdorong untuk membantu rakan-rakan termasuk mereka yang berkeperluan khas.

Semasa menyertai sebuah perkhemahan, Puteri mengambil inisiatif untuk membantu rakannya menangani emosi mereka.

Ini di samping mewakili sekolahnya dalam lawatan pelajar dari sekolah pendidikan khas, Sekolah Grace Orchard.

"Saya pelajari bahawa saya harus memahami mereka dan mendengar situasi mereka dan memberi kata-kata semangat boleh membuatkan mereka lebih positif dan bersemangat," ujar Puteri.

"Guru saya, Cik Salmi dan Encik Bey selalu mengajar kami untuk menolong orang. Maka itu, saya suka menolong orang dan menolong orang membuatkan saya lebih bertanggungjawab dan penyayang," tambahnya.

Related article image
Puteri bersama ayah dan abangnya. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Buat masa ini, Puteri sudah mendapat tawaran untuk menyertai Pendaftaran Kemasukan Awal (EAE) di ITE dalam Pentadbiran Perniagaan.

"Cita-cita saya adalah untuk bekerja di bidang sumber manusia. Dan saya berharap kursus ini boleh mengajar saya cara pengurusan dan berkomunikasi," menurut Puteri.

Tahun ini, 97.7 peratus pelajar NT meraih Gred D atau lebih baik dalam sekurang-kurangnya satu subjek.

Ini rendah sedikit berbanding kadar yang dicatatkan tahun lalu iaitu 98.3 peratus.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita