Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan GCE 'N' diumumkan 17 Dis; pelajar ambil sijil di bilik darjah

Keputusan peperiksaan GCE Peringkat N tahun ini akan diumumkan Khamis depan (17 Dis) pada 2.00 petang, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan GCE 'N' diumumkan 17 Dis; pelajar ambil sijil di bilik darjah

Gambar fail pelajar Sekolah Menengah Yio Chu Kang memakai pelitup semasa pandemik COVID-19 (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 10 Dec 2020 05:10PM Dikemas Kini : 10 Dec 2020 05:14PM

SINGAPURA: Keputusan peperiksaan GCE Peringkat N tahun ini akan diumumkan Khamis depan (17 Dis) pada 2.00 petang, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

Disebabkan pandemik COVID-19, calon akan mengambil keputusan itu dari bilik darjah mereka mulai 2.00 petang dan bukan berhimpun di dewan, seperti kohort sebelumnya.

"Hanya calon sekolah yang mengambil keputusan mereka akan dibenarkan masuk ke kawasan sekolah, dan mereka harus mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat," menurut kenyataan media yang dikeluarkan bersama oleh MOE dan SEAB.

Calon sekolah yang tidak sihat, dikenakan arahan kuarantin, Notis Jangan Keluar Rumah atau cuti ketidakhadiran
tidak harus datang ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka. Mereka boleh melihat keputusan secara online melalui sistem pengumuman keputusan SEAB di www.seab.gov.sg mulai 2.30 petang pada 17 Disember. Sistem tersebut akan dapat diakses sehingga 31 Disember.

Calon-calon yang layak bagi SingPass boleh menggunakan akaun mereka untuk mengakses sistem tersebut. Calon sekolah yang merupakan pelajar antarabangsa dapat mengakses sistem pengumuman keputusan itu dengan menggunakan PIN yang dikeluarkan SEAB dan dihantar ke alamat emel mereka.

"Para pelajar juga boleh melantik wakil untuk mengambil salinan fizikal keputusan mereka bagi pihak mereka," menurut kenyataan bersama.

Para pelajar boleh menghubungi sekolah mereka untuk mendapatkan bantuan sekiranya mereka tidak dapat melantik wakil atau jika mereka belum menerima kata laluan untuk akses sistem pengumuman keputusan SEAB.

Calon privet akan dimaklumkan mengenai keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar pada 17 Disember.

Mereka yang mempunyai akaun SingPass juga boleh mendapatkan keputusan mereka secara online di sistem pengumuman keputusan online SEAB, sama seperti aturan untuk calon sekolah. Mereka yang tidak mempunyai akaun SingPass boleh menggunakan PIN yang dikeluarkan SEAB yang dihantar ke alamat emel mereka.

PERMOHONAN BAGI KURSUS ITE

Pelajar yang memohon bagi kursus di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) boleh menyerahkan permohonan mereka secara online melalui portal permohonan ITE bermula 2.30 petang pada 17 Disember hingga 5.00 petang pada 21 Disember. Borang permohonan juga akan disediakan di ketiga-tiga kolej ITE.

Bagi kursus yang ditawarkan di bawah Kemasukan Berdasarkan Kebolehan (Aptitude-Based Admissions), para pelajar boleh menyemak butir-butir temu duga secara online melalui portal permohonan ITE pada 22 Disember dari 2.00 petang.

Keputusan permohonan ITE akan diumumkan pada 30 Disember, dan para pelajar dapat melihat keputusannya secara online melalui portal permohonan ITE. Mereka yang ditawarkan tempat di ITE perlu log masuk ke portal tersebut antara 30 Dis hingga 4 Jan 2021 untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.

SKIM KEMASUKAN LANGSUNG KE PROGRAM POLITEKNIK (DPP)

Pelajar yang layak mengikuti Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik (DPP) akan menerima salinan Borang N dari sekolah menengah mereka, yang mempelawa mereka untuk memohon bagi program tersebut.

DPP menyediakan laluan bagi pelajar untuk mengikuti kursus diploma politeknik yang tertentu melalui kursus Nitec Lanjutan selama dua tahun di ITE. Di bawah DPP, pelajar yang berjaya menamatkan kursus Nitec Lanjutan dan mencapai gred mata purata minimum Nitec Lanjutan dijamin mendapat tempat dalam kursus diploma politeknik yang dipadankan dengan kursus Nitec Lanjutan mereka.

Permohonan bagi DPP boleh diserahkan secara online menerusi portal permohonan ITE bermula 2.30 petang pada 17 Disember hingga 5.00 petang pada 21 Disember.

Keputusan DPP akan diumumkan pada 23 Disember dan pelajar dapat menyemak keputusannya secara online melalui portal permohonan ITE. Pelajar yang mendapat tawaran perlu log masuk ke portal berkenaan antara 23 Disember hingga 28 Disember untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.

Pelajar yang tidak menerima tempat dalam DPP perlu melapor ke sekolah menengah mereka pada 2021 untuk mengikuti Menengah 5.

PROGRAM ASAS POLITEKNIK (PFP)

Pelajar yang berminat untuk mengikuti Program Asas Politeknik (PFP) perlu mengikuti kelas Menengah 5 mereka dahulu pada tahun 2021, sementara menunggu pemberitahuan kelayakan dan pengesahan tempat di PFP.

PFP adalah program asas diploma yang dijalankan selama dua semester akademik di politeknik. Ia khusus bagi pelajar dalam aliran Normal (Akademik) yang ingin melanjutkan pelajaran di politeknik dan memenuhi syarat kelayakan PFP pada akhir Menengah 4.

Permohonan bagi PFP akan dibuka serentak dengan pengumuman keputusan GCE peringkat O pada Januari 2021. Mereka yang layak bagi PFP akan menerima salinan Borang P pada hari yang sama untuk memohon bagi PFP.

BIMBINGAN PENDIDIKAN DAN KERJAYA

Para pelajar boleh berunding dengan guru atau kaunselor Bimbingan Pendidikan dan Kerjaya (ECG) di sekolah menengah masing-masing untuk membantu mereka membuat keputusan yang tepat mengenai langkah seterusnya, kata MOE dan SEAB.

Mereka juga boleh merujuk ke laman MySkillsFuture untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pilihan pendidikan dan kerjaya yang ditawarkan. Para pelajar boleh membuat temu janji dengan kaunselor ECG di Pusat ECG di MOE (Grange Road) dengan menghubungi 6831 1420, melalui emel atau secara online.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan