Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan GCE ‘N’ diumum 19 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan GCE ‘N’ diumum 19 Dis

Para pelajar di dalam bilik darjah. (Gambar fail: Sekolah Menengah Zhonghua/Facebook)

SINGAPURA: Calon yang mengambil peperiksaan peringkat GCE ‘N’ akan menerima keputusan mereka pada Isnin (19 Dis).

Aturan sudah dilakukan bagi calon sekolah untuk mendapatkan keputusan mereka dari sekolah masing-masing mulai 2.00 petang.

Ibu bapa atau waris boleh mengiringi pelajar untuk mengambil keputusan mereka. 

Ini diumumkan  Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Isnin (12 Dis).

Mereka yang tidak sihat atau perlu mengasingkan diri kerana keputusan ujian positif COVID-19, tidak harus kembali ke sekolah.

Mereka diberi pilihan melihat keputusan mereka di laman web SEAB mulai 2.45 petang pada 19 Disember sehingga Jumaat (30 Dis).

Calon yang mempunyai akaun Singpass boleh menggunakannya untuk mengakses  keputusan secara online di portal SEAB di www.seab.gov.sg.

Aturan yang sama juga bagi calon persendirian yang mempunyai akaun Singpass.

Mereka yang tidak layak bagi Singpass, boleh melihat keputusan mereka di portal SEAB dengan  menggunakan akaun yang sudah dibuka untuk mereka semasa pendaftaran.

Kertas keputusan akan juga dipos pada 19 Disember ke alamat calon persendirian yang diberikan.

Bagi pelajar antarabangsa, mereka akan menerima akses kata laluan masing-masing menerusi emel mulai Rabu (14 Dis). 

Calon juga boleh melantik proksi untuk mengambil keputusan mereka.

Wakil pelajar berkenaan harus menunjukkan dokumen relevan bagi pengesahan pihak sekolah.

Pelajar boleh menghubungi sekolah mereka untuk mendapatkan bantuan sekiranya mereka tidak dapat melantik wakil atau jika mereka belum menerima kata laluan untuk akses sistem pengumuman keputusan SEAB.

PERMOHONAN BAGI KURSUS ITE

Pelajar yang memohon bagi kursus di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) boleh menyerahkan permohonan mereka secara online melalui portal permohonan ITE bermula 2.30 petang pada 19 Disember hingga 5.00 petang pada 22 Disember. 

Borang permohonan juga akan disediakan di ketiga-tiga kolej ITE. Mereka yang mahu mengambil borang fizikal harus membuat dulu janji temu dengan menghubungi maktab berkenaan.

Bagi kursus yang ditawarkan di bawah Kemasukan Berdasarkan Kebolehan (Aptitude-Based Admissions), pelajar boleh menyemak butir-butir temu duga secara online melalui portal permohonan ITE pada 23 Disember dari 2.00 petang.

Keputusan permohonan ITE akan diumumkan pada 30 Disember, dan pelajar dapat melihat keputusannya secara online melalui portal permohonan ITE. 

Mereka yang ditawarkan tempat di ITE perlu log masuk ke portal tersebut antara 30 Dis hingga 4 Jan 2023 untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.

SKIM KEMASUKAN LANGSUNG KE PROGRAM POLITEKNIK (DPP)

Pelajar yang layak mengikuti Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik (DPP) akan menerima salinan Borang N dari sekolah menengah mereka, yang mempelawa mereka untuk memohon bagi program tersebut.

DPP menyediakan laluan bagi pelajar untuk mengikuti kursus diploma politeknik yang tertentu melalui kursus Nitec Lanjutan selama dua tahun di ITE. Di bawah DPP, pelajar yang berjaya menamatkan kursus Nitec Lanjutan dan mencapai gred mata purata minimum Nitec Lanjutan dijamin mendapat tempat dalam kursus diploma politeknik yang dipadankan dengan kursus Nitec Lanjutan mereka.

Permohonan bagi DPP boleh diserahkan secara online menerusi portal permohonan ITE bermula 2.30 petang pada 19 Disember hingga 5.00 petang pada 22 Disember.

Keputusan DPP akan diumumkan pada 23 Disember dan pelajar dapat menyemak keputusannya secara online melalui portal permohonan ITE. 

Pelajar yang mendapat tawaran perlu log masuk ke portal berkenaan antara 23 Disember hingga 28 Disember untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.

Pelajar yang tidak menerima tempat dalam DPP perlu melaporkan diri ke sekolah menengah mereka pada 2023 untuk mengikuti Menengah 5.

PROGRAM ASAS POLITEKNIK (PFP)

Pelajar yang berminat untuk mengikuti Program Asas Politeknik (PFP) perlu mengikuti kelas Menengah 5 pada 2023, sementara menunggu pemberitahuan kelayakan dan pengesahan tempat di PFP.

PFP adalah program asas diploma yang dijalankan selama dua semester akademik di politeknik. Ia khusus bagi pelajar dalam aliran Normal (Akademik) yang ingin melanjutkan pelajaran di politeknik dan memenuhi syarat kelayakan PFP pada akhir Menengah 4.

Permohonan bagi PFP akan dibuka serentak dengan pengumuman keputusan GCE peringkat O pada Januari 2023. 

Mereka yang layak bagi PFP akan menerima salinan Borang P pada hari yang sama untuk memohon bagi PFP.

BIMBINGAN PENDIDIKAN DAN KERJAYA

Para pelajar boleh berunding dengan guru atau kaunselor Bimbingan Pendidikan dan Kerjaya (ECG) di sekolah menengah masing-masing untuk membantu mereka membuat keputusan yang tepat mengenai langkah seterusnya, kata MOE dan SEAB.

Pelajar juga boleh membuat janji temu dengan kaunselor di Pusat ECG di MOE (Grange Road).

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan