Keputusan GCE 'N': Adik hidap barah jadi sumber kekuatan; kehilangan ayah sebelum peperiksaan
Apabila mendapat tahu adik kesayangan menghidap penyakit barah limfoma dua tahun yang lalu, Nur Aiman Ahmad Raudha pada mulanya tidak tahu bagaimana untuk menerima berita itu.
SINGAPURA: Apabila mendapat tahu adik kesayangan menghidap penyakit barah limfoma dua tahun yang lalu, Nur Aiman Ahmad Raudha pada mulanya tidak tahu bagaimana untuk menerima berita itu.
Namun, melihat semangat juang adiknya, dia yang kini berusia 16 tahun, bertekad untuk menjadi contoh yang baik buatnya.
"Dia memberi saya inspirasi untuk menjadi seseorang yang tidak senang berputus asa kerana bila dia tiba-tiba menghidap penyakit barah limfoma tahap empat, dia tidak merungut dan tidak senang berputus asa," kongsi Aiman.
Aiman (paling kanan) bersama ibu dan adiknya. (Gambar: Sekolah Menengah Spectra)
"Selalunya bila saya berjumpanya di hospital, dia akan memberitahu saya untuk memberi tumpuan kepada pelajaran saya dan jangan (terlalu fikir) tentangnya dan itulah yang membuat saya lebih bersemangat," menurutnya lagi, yang menambah bahawa penyakit adiknya itu kambuh semula tahun ini.
(Gambar: Sekolah Menengah Spectra)
Aiman merupakan antara pelajar yang menerima keputusan GCE 'N' pada Isnin (19 Dis).
Secara keseluruhannya, 99.5 peratus calon dari aliran Normal Akademik berjaya meraih sijil peringkat N(A) mereka.
Manakala bagi calon dari aliran Normal Teknikal pula, 98 peratus daripada mereka berjaya mendapat sijil peringkat N(T) mereka.
Walau bagaimanapun, peratusan pelajar yang menduduki peperiksaan peringkat 'N' yang layak ke Menengah 5, turun sedikit tahun ini berbanding tahun lalu.
Hanya 78.4 peratus daripada 9000 calon layak melanjutkan pelajaran ke Menengah 5, berbanding 79.2 peratus tahun lalu.
Para pendidik berkata ia mungkin disebabkan oleh kesukaran yang dihadapi pelajar menyesuaikan diri dengan pembelajaran dari rumah akibat pandemik.
MAHU JADI SUMBER INSPIRASI BAGI ADIK-ADIKNYA
Dalam membuat persiapan menduduki peperiksaan itu, pelajar aliran Normal (Teknikal) itu berkongsi bahawa dia biasanya akan mengulang kaji dua kali sehari iaitu selepas sekolah dan sebelum tidur.
Sedar bahawa tumpuannya mudah terganggu, Aiman berdisiplin untuk hanya berjumpa dengan rakan-rakannya hanya selepas selesai mengulang kaji.
Hasil kerja kerasnya, pelajar Sekolah Menengah Spectra itu berjaya lulus GCE 'N' dan sudah mendapat tempat di sebuah Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
"Saya mahu mengambil kursus kejuruteraan elektronik selepas saya mendapat (keputusan) peperiksaan peringkat GCE 'N' saya kerana kerja impian saya ialah untuk menjadi jurutera elektronik untuk Microsoft," kata Aiman.
Aiman bersama adiknya
Sebagai anak sulung, Aiman berharap dapat memberi inspirasi kepada kedua-dua adiknya.
"Saya anak yang paling tua dan saya ada tanggungjawab untuk menunjuk mereka bagaimana untuk menjadi seorang yang baik hati, memahami dan yang setia terhadap apa-apa yang mereka lakukan," ujar Aiman.
"Saya (ingin) mempengaruhi mereka untuk menjadi lebih berdikari dalam apa sahaja yang mereka lakukan dan juga untuk menjadi lebih kreatif dalam pemikiran mereka," tambahnya lagi.
KEHILANGAN AYAH BEBERAPA BULAN SEBELUM PEPERIKSAAN
Seorang lagi pelajar yang menerima keputusan GCE 'N' pada Isnin (19 Dis) ialah Farah Imelda Erniesha Muhammad Faruk dari Sekolah Menengah Teck Whye.
Di sebalik senyuman yang diukir, tersirat kisah duka.
Farah, 16 tahun, kehilangan ayah tersayang pada saat genting, iaitu beberapa bulan sebelum menduduki peperiksaannya.
"Bapa saya rapat dengan saya jadi saya rasa amat sedih," luah Farah.
"Saya tidak boleh memberi tumpuan di sekolah. Jadi saya cuba memberi tumpuan di sekolah supaya benda itu tidak membuat saya sedih (lagi)," tambahnya.
FARAH IMELDA TIDAK PUTUS ASA, BERHASRAT BUKA PERNIAGAAN SENDIRI
Walaupun ditimpa cabaran sebegitu, ia tidak mematahkan semangat Farah untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaannya.
Baginya, perkataan 'putus asa' itu tidak wujud dalam "kamus hidupnya".
Pelajar itu juga rajin mengulang kaji pelajaran dan tidak malu bertanya jika menghadapi kesukaran.
Farah bersama ibunya.
"Saya belajar di rumah dan jika ada (soalan) yang saya tidak tahu, saya akan membuat soalan-soalan itu semula sehingga okey," kata Farah.
"Sumber inspirasi saya ialah mak saya kerana mak saya menyokong saya dan (mengingatkan saya) untuk tidak memutus asa," tambahnya lagi.
Menyimpan hasrat untuk membuka perniagaan sendiri, Farah merancang untuk meneruskan pelajaran dalam bidang industri perniagaan di ITE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.