Skip to main content

Singapura

Keputusan GCE 'A': Lebih ramai pelajar lulus sekurang-kurangnya 3 subjek H2

Lebih ramai pelajar yang menduduki peperiksaan GCE Peringkat 'A' lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran H2, serta Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan GCE 'A': Lebih ramai pelajar lulus sekurang-kurangnya 3 subjek H2

(Gambar fail: MOE)

Diterbitkan : 23 Feb 2018 03:35PM Dikemas Kini : 23 Feb 2018 03:37PM

SINGAPURA: Lebih ramai pelajar yang menduduki peperiksaan GCE Peringkat 'A' lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran H2, serta Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan, menurut keputusan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) hari ini (23 Feb).

Menurut kenyataan media tersebut, seramai 12,502 calon menduduki peperiksaan itu tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, 93 peratus - atau 11,624 pelajar lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran H2 serta Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan.

Pencapaian ini peningkatan daripada 92.6 peratus yang dicatatkan kohort 2016, dan kurang sedikit berbanding rekod 93.1 peratus yang dicapai kohort 2015.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam catatan Facebook beliau pagi ini mengucapkan semoga berjaya kepada para pelajar dan mengingatkan mereka bahawa ini "hanya satu langkah" dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat mereka.

"Kita tidak hanya dinilai berdasarkan kertas keputusan atau sijil, tetapi apa yang kita kecapi dalam hidup dan kesan yang kita tinggalkan kepada orang lain di sekeliling," tambah beliau.

Calon-calon sekolah menerima keputusan mereka di sekolah masing-masing dari 2.30 petang hari ini, manakala calon privet menerima keputusan mereka melalui pos.

Calon privet yang mempunyai SingPass boleh menggunakan akaun mereka untuk menerima keputusan secara online di laman SEAB bermula 2.30 petang hari ini.  

Sumber : CNA/FA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita