Skip to main content

Singapura

Keputusan dedah angka edaran tidak tepat 'perit tetapi diperlukan', kata Ketua Editor SPH Media

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: SPH Media mengambil keputusan yang "memeritkan tetapi diperlukan" untuk mendedahkan bahawa angka pengedaran yang lalu, adalah tidak tepat.

Demikian menurut Ketua Editor Wong Wei Kong.

Beliau menambah bahawa pertubuhan tersebut tidak "mungkin boleh terus melaporkan angka, yang akan dipersoalkan".

Namun, angka pengedaran akhbar terbitan SPH Media, termasuk The Straits Times (ST) dan Lianhe Zaobao, yang sudah "disesuaikan semula", kini akan "dipantau dengan teliti", tambah Encik Wong.

Beliau menambah bahawa SPH Media dijangka akan menerima "banyak kritikan" sedang "lebih banyak perkara timbul". Malah, beliau tidak memberi penjelasan lanjut mengenai hal itu atau hal lain yang beliau jangkakan akan timbul.

Encik Wong, yang mengambil alih pucuk pimpinan kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil (EMTM) Oktober lalu, membuat komen tersebut dalam satu memo dalaman, yang dilihat oleh Mediacorp. Memo dalaman tersebut juga disahkan oleh tiga kakitangan pertubuhan itu pada Selasa (10 Jan).

Ini selang sehari selepas SPH Media mendedahkan mengenai angka pengedaran yang didapati ditokok tambah.
Encik Wong berkata beliau mempertimbangkan sama ada untuk menulis nota tersebut, memandangkan terdapat banyak hambatan. Beliau bagaimanapun berpendirian bahawa beliau patut berbuat demikian kerana "kami mungkin memerlukan ini".

Encik Wong menambah: "Pada dasarnya, apabila isu ini sudah selesai, kami masih akan dinilai oleh laporan-laporan kami, kandungan kami, dan bagaimana kami melakukan kerja kami, oleh itu saya harap kita akan terus fokus terhadap perkara itu meskipun di tengah-tengah apa yang sedang berlaku," kata Encik Wong.

Pada Isnin (10 Jan), SPH Media melaporkan bahawa angka pengedaran harian akhbar terbitan SPH Media, didapati ditokok tambah sebanyak 85,000 hingga 95,000. Ini termasuk salinan akhbar yang dicetak, dikira untuk pengedaran dan kemudian dihapuskan.

Terdapat juga kedaaan di mana langganan "dihitung dua kali" dalam beberapa keadaan dan sebuah akaun projek "disuntik dengan dana tambahan sepanjang satu tempoh untuk membeli pengedaran rekaan".

Susulan penemuan itu, beberapa kakitangan kanan SPH Media sudah meninggalkan pertubuhan berita itu atau "dikenakan tindakan" selepas satu semakan dalaman mendapati masalah pada laporan data pengedarannya.

Cik Teo Lay Lim, pegawai ketua eksekutif SPH Media, pada Isnin, juga mengirimkan satu memo dalaman kepada kakitangannya untuk memberi penjelasan berhubung hal tersebut.

Mantan pengerusi Accenture Singapore itu, yang menggalas jawatan tersebut pada 1 Mac 2022, berkata bahawa pertubuhan tersebut akan terus menyemak semula protokol yang ditetapkan "oleh sebab (mereka) bertanggungjawab kepada pihak berkepentingan (mereka)".

Kakitangan SPH yang ditemui Mediacorp dengan syarat nama mereka tidak boleh disiarkan, meluahkan kekecewaan dan rasa keliru mereka berhubung hal berkenaan. Sekalipun demikian, hal tersebut belum lagi melenturkan semangat mereka, memandangkan kebanyakan daripada mereka masih bekerja dari rumah.

Menurut anggota kakitangan tersebut, terdapat juga sedikit perbualan berhubung hal tersebut, terutama sekali kerana ia tidak mengejutkan bagi sesetengah daripada mereka. Ini kerana mereka sudahpun mendengar tentang hal itu melalui khabar angin yang tercetus beberapa minggu yang lalu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita