Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan berhubung ganjaran wang Schooling, Lim belum dimuktamadkan, kata SNOC

Anggaran Waktu Membaca:
Keputusan berhubung ganjaran wang Schooling, Lim belum dimuktamadkan, kata SNOC

Gambar: Facebook/Team Singapore, Sport Singapore

Diterbitkan : 15 Sep 2022 09:17PM Dikemas Kini : 15 Sep 2022 09:18PM
SINGAPURA: Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) menyatakan keputusan sama ada untuk memberi Joseph Schooling dan Amanda Lim ganjaran wang bagi pencapaian mereka di pertandingan sukan baru-baru ini masih belum dimuktamadkan.

Ia akan ditahan berdasarkan dapatan SNOC, menurut seorang jurucakap sebagai menjawab pertanyaan daripada Mediacorp pada Khamis (15 Sep).

Kenyataan itu berikutan pengumuman bulan lalu bahawa kedua-dua perenang disiasat oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi kesalahan mengambil ganja.

"Kami sedang mengumpul semua dapatan yang perlu bagi memastikan proses yang adil bagi atlit-atlit terlibat," kata jurucakap SNOC tersebut.

"Sebagai sebahagian komitmen seorang atlit Sukan utama, mereka bertanggungjawab terhadap kod tata laku yang ditetapkan dalam perjanjian pasukan. Ini termasuk di luar tempoh Sukan," tambah jurucakap tersebut.

Pada Rabu, seramai 68 atlit yang menang pingat di Sukan SEA dan Sukan Komanwel diberi ganjaran wang sehingga S$860,000 bagi pencapaian mereka.

Schooling, yang menang dua pingat emas dan satu gangsa di Hanoi, tidak hadir pada majlis penyampaian anugerah Program Anugerah Sukan Utama (MAP) dan majlis makan malam penghargaan kepada Team Singapore pada Rabu.

Bulan lalu, perenang itu mengaku mengambil ganja di luar negara pada Mei semasa tidak melakukan Perkhidmatan Negara (NS) dalam jangka masa pendek untuk berlatih dan menyertai Sukan SEA.

Memandangkan terdapat penyalahgunaan hak istimewanya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan Schooling tidak lagi layak untuk menangguhkan atau mengambil cuti untuk berlatih atau bertanding sepanjang beliau menjalani NS.

Sementara itu, Lim diberi amaran keras oleh CNB di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Lim mewakili Singapura selama lebih sedekad dan memenangi beberapa pingat dalam Sukan Asia Tenggara. Lim turut bersaing dalam Sukan Komanwel baru-baru ini.
Sumber : CNA/SS/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan