Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keprihatinan pelbagai kumpulan, masyarakat tidak boleh diketepikan sewenang-wenangnya, tegas Lawrence Wong

S'pura tidak boleh "nafikan hak pelbagai kumpulan, sebaliknya keprihatinan mereka perlu didengarkan", tidak boleh dibiarkan begitu saja sehingga sampai ke tahap yang membinasakan, gesa Encik Wong.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Nov 2021 01:56PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 09:14PM

SINGAPURA: Segmen berbeza penduduk Singapura, yang identiti mereka mungkin dikaitkan dengan aspek-aspek seperti jantina, kumpulan etnik atau kecenderungan seksual mereka, masing-masing mempunyai keprihatinan yang penting dan tidak boleh diketepikan sebagai tidak wajar, dibesar-besarkan atau digembar-gemburkan, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Selasa (23 Nov).

“Itulah ciri-ciri masyarakat yang adil dan saksama. Dan kita tidak boleh - atas alasan mengelakkan bahaya politik identiti - menafikan hak pelbagai kumpulan untuk menyuarakan keprihatinan mereka demi memperbaiki kedudukan masing-masing," tambah Encik Wong.

Bagi pihaknya, Pemerintah tidak tidak akan membiarkan mana-mana kumpulan berasa tidak didengari, dikecualikan atau dipinggirkan, katanya.

Semasa menyampaikan ucapan dasar di persidangan mengenai identiti dan jati diri yang dianjurkan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Encik Wong turut menyentuh tentang trend politik identiti dan berpuak-puak yang kian meningkat meskipun pemerintah mereka sudah berusaha untuk membentuk satu identiti di peringkat nasional.

Menteri itu kali terakhir berucap tentang topik kaum di satu lagi persidangan IPS-RSIS pada Jun lalu selepas tercetus beberapa insiden perkauman ketika itu.

Pada Selasa, beliau menarik perhatian bagaimana aspek lain identiti mula muncul sejak itu, yang berkisar tentang jantina, seks atau aspek-aspek lain yang dekat di hati.

“Ini tidak menghairankan: Naluri semula jadi manusia adalah untuk mencari mereka yang paling serupa dengan mereka. Di merata dunia, kita melihat kebangkitan apa yang mungkin dipanggil ‘tribalisme baru’ dalam politik, atau apa yang biasa disebut sebagai ‘politik identiti atau jati diri’,” jelasnya.

“Sikap berpuak-puak sememangnya bersifat eksklusif dan ia berdasarkan sikap saling membenci: istilah ‘kita’ berbanding ‘mereka’, ‘kawan’ berbanding ‘musuh’. Apabila identiti puak seperti ini berakar umbi, ia menjadi sukar untuk mencapai sebarang kompromi,” tegas Encik Wong. "Jika kita bersandarkan politik kita pada sesuatu identiti, maka sebarang kompromi seolah-olah tidak lagi bermaruah."

TIDAK BOLEH PANDANG RINGAN KEHARMONIAN

Singapura juga tidak boleh menganggap seolah-olah keharmoniannya kukuh atau bersifat kekal, kerana identiti rakyat Singapura terbentuk daripada pelbagai kaum yang terdiri daripada tiga tamadun utama Asia - China, India dan Asia Tenggara - tanpa sejarah yang panjang atau budaya penduduk asli dalam tamadun-tamadun ini untuk menyatukan Singapura, kata Encik Wong.

Sebelum berlaku rusuhan kaum pada 1964, Singapura mengalami "konflik yang jauh lebih ganas" antara suku kaum Hokkien dengan Teochew pada 1854 yang meragut nyawa lebih 400 orang, lebih ramai lagi cedera dan sekitar 300 rumah terbakar dalam rusuhan yang berlarutan lebih 10 hari, kongsinya.

Pertempuran antara kedua-dua suku kaum itu, menurut catatan sejarah, berlaku disebabkan oleh pemberontakan di China.

“Bolehkah kita benar-benar yakin, dengan kebangkitan China, India dan Asia Tenggara, bahawa semangat nasionalisme Singapura tidak akan terurai lagi menjadi nasionalisme Cina, India dan Melayu?” tanya Encik Wong.

“Keadaan yang harmonis ini akan sentiasa sensitif; jadi ia memerlukan perhatian berterusan dan cara menanganinya perlu berhemah,” katanya.

APA PERLU SINGAPURA LAKUKAN

Daripada mengabaikan identiti dan sikap berpuak-puak, Singapura perlu menerima hakikat bahawa politik identiti timbul daripada perbezaan sebenar dengan realiti hidup menjadi titik permulaannya.

Encik Wong mencadangkan lima pendekatan yang boleh diambil untuk menangani tuntutan dan permintaan bersaing pelbagai kumpulan sambil memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Eratkan hubungan sesama rakyat

Pertama, beliau menyarankan agar rakyat Singapura mengukuhkan semangat saling berbaik budi dan mengukuhkan persaudaraan mereka dalam kehidupan seharian, yang akhirnya akan meningkatkan kepercayaan terhadap orang lain.

Elakkan stereotaip

Encik Wong berkata orang ramai perlu elak bertanggapan setiap masyarakat bersifat seragam.

Merujuk kepada ucapan beliau sebelum ini mengenai kaum, Encik Wong berkata frasa "hak istimewa Cina" adalah satu bentuk stereotaip - seorang wanita Cina dari latar belakang miskin akan mempunyai pengalaman hidup yang jauh berbeza berbanding dengan seorang lelaki Cina dari keluarga mewah, misalnya.

“Kumpulan-kumpulan minoriti terutamanya tertakluk kepada prasangka sedemikian; dan kita semua mesti lebih peka terhadap stereotaip yang mungkin wujud dalam diri kita sendiri. Kita mesti mengelak daripada mengurangkan persefahaman antara satu sama lain dan setakat menjurus kepada satu dimensi saja,” katanya.

Saling memahami, berbalas budi

Walaupun manusia bersikap berpuak-puak, rakyat Singapura juga secara semula jadi adalah pedagang, kata Encik Wong, merujuk kepada sejarah Singapura sebagai gudang untuk barang-barang perdagangan. Pedagang mempunyai keinginan untuk meneroka sesuatu yang tidak diketahui, bertemu orang baru untuk berdagang dan hidup bersama, saling berpegang teguh kepada nilai berbalas budi, menjalin kepercayaan dan demi kepentingan bersama.

"Naluri yang sama ini penting dalam menetapkan jati diri masyarakat kita," kata Encik Wong.

Ini bermakna saling mendengar, memahami, berkompromi dan berunding untuk mencari huraian yang saling menguntungkan, katanya lagi.

Beri harapan menerusi pertumbuhan inklusif

Encik Wong menambah Pemerintah mesti terus memberi sebab kepada rakyat Singapura untuk berpaut pada "harapan dan peluang yang saksama untuk mencapai kehidupan yang lebih baik", sambil menarik perhatian ketidaksamaan yang semakin meningkat di bahagian lain dunia membawa kepada masalah ekonomi dan, akibatnya, politik yang ekstrem.

Pemerintah sebagai pihak berkecuali yang adil

Mendasari semua ini adalah kewajipan Pemerintah untuk bersikap adil dan jujur, walaupun menghadapi kesulitan untuk mencari kata sepakat mengenai isu-isu yang mencetuskan kontroversi.

Encik Wong berkata pihak berkuasa tidak akan pernah goyah daripada komitmennya untuk bekerjasama dengan orang ramai bagi memperluaskan ruang yang dikongsi bersama dan membina sebuah masyarakat di mana setiap rakyat Singapura boleh menyuarakan pandangan mereka dan diperkasakan untuk membawa perubahan yang positif.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan