Skip to main content

Singapura

Keppel perkenal konfigurasi baharu bagi sistem penyejukan berpusat di Tengah

Pengurus aset global Keppel memperkenalkan konfigurasi baharu bagi sistem penyejukan berpusat di Tengah, di mana ia akan bermula dari bahagian dapur dan dipasang di bawah rasuk.

Anggaran Waktu Membaca:
Keppel perkenal konfigurasi baharu bagi sistem penyejukan berpusat di Tengah

(Gambar: Lukisan artis dari Keppel)

Diterbitkan : 06 Jan 2025 07:56AM Dikemas Kini : 06 Jan 2025 10:26AM
SINGAPURA: Pengurus aset global Keppel memperkenalkan konfigurasi baharu bagi sistem penyejukan berpusat di Tengah, di mana ia akan bermula dari bahagian dapur dan dipasang di bawah rasuk.

Versi sistem penyejukan berpusat Keppel juga akan mempunyai paip yang dipasang pada ketinggian sama bagi mengurangkan penggunaan sambungan.

Keppel merupakan syarikat kedua yang diberikan kontrak untuk mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan sistem penyejukan berpusat di Tengah.

Sistem penyejukan berpusat tersebut melibatkan pemasangan paip air sejuk ke rumah dari penyejuk berpusat, yang dipasang pada bumbung blok HDB terpilih untuk menyejukkan flat.

Ia adalah alternatif yang lebih cekap tenaga berbanding sistem hawa dingin konvensional dan merupakan ciri utama Tengah, yang disifatkan sebagai bandar HDB bijak dan mampan yang pertama di Singapura.

Pengendali grid SP Group mereka dan membina kumpulan pertama sistem penyejukan berpusat bersama pengeluar hawa dingin Daikin bagi kumpulan pertama flat di Tengah, dan ia masih mengendalikan sistem tersebut.

Namun pemasangannya tidak begitu lancar bagi kesemua flat, dengan sesetengah penduduk mengadu mengalami masalah termasuk isu pemeluwapan dan kebocoran pada sistem tersebut.

Kontrak Keppel diumumkan pada September tahun lalu.

Syarikat itu memenangi kontrak selama 20 tahun untuk menyediakan perkhidmatan tersebut.

Projek berkenaan - Brickland Weave, Plantation Edge I & II dan Plantation Verge - dijadualkan siap pada 2027.

PAIP PADA SAMA KETINGGIAN, MASUK DARI DAPUR

Sistem penyejukan berpusat di ketiga-tiga projek Keppel akan dihubungkan kepada sebuah "pusat operasi" di mana para kakitangan boleh memantau prestasi sistem berkenaan sepanjang masa dan menghulurkan bantuan sewajarnya.

Di Pusat Pengalaman Keppel EaaS, yang direka berdasarkan sebuah flat di Tengah, seorang pegawai menjelaskan bagaimana sistem Keppel berbeza daripada model sedia ada di flat-flat Tengah.

Bergantung kepada susun atur flat, paip sistem penyejukan berpusat Keppel akan mula dipasang dari bahagian dapur di samping paip gas.

Ini membolehkan para pemilik rumah menutup paip-paip tersebut menggunakan kabinet dapur, menurut Keppel.

Hanya flat-flat dua bilik dan empat bilik di Plantation Verge mempunyai paip yang dipasang di ruang tamu disebabkan oleh kekangan daripadaa susun atur flat.

Seperti projek-projek sebelumnya, paip tersebut akan bermula dari bahagian atas pintu utama bagi unit-unit berkenaan.

Namun tidak seperti sistem sebelumnya, paip-paip yang akan dipasang oleh Keppel dikekalkan pada ketinggian sama di seluruh flat bagi mengurangkan penggunaan sendi.

Bagi mengelakkan berlaku kebocoran dan pemeluwapan, Keppel menyatakan ia akan menggunakan bahan polietilena dengan berketumpatan tinggi yang dapat tahan daripada penghakisan, ringan dan dapat tahan lama.

Keppel menambah bahawa paip-paip itu akan disaluti dengan insulasi daripada busa poliuretana gred industri.

Apabila ditanya mengapa syarikat itu memutuskan untuk menerima projek itu walaupun terdapat masalah pada sistem yang pertama, Keppel menyatakan ia mempunyai pengalaman meluas dalam menghasilkan huraian penyejukan bagi taman-taman perniagaan, pejabat, hotel dan pusat beli belah.

Keppel akan mengumumkan kemudian rakan-rakan kongsi yang akan bekerjasama dengannya bagi mengendalikan sistem tersebut.

Keppel juga akan mempunyai kadar tarif berlainan bagi sistem penyejukan berpusatnya.

Kadarnya akan diterbitkan melalui laman Keppel EaaS dan akan dikemas kini pada setiap suku tahun.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita