Keppel biarkan perjanjian M1-Simba luput pada 21 Mei susuli penggantungan semakan IMDA
Keppel akan membiarkan perjanjian jual belinya dengan Simba luput apabila tarikh akhirnya tamat pada 21 Mei, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Keppel, Loh Chin Hua, pada Isnin (18 Mei).
Sebuah cawangan M1. (Gambar: TODAY/Nuria Ling)
Keputusan itu dibuat menyusuli pengumuman Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada pagi Isnin bahawa ia kini menggantung penilaiannya terhadap cadangan pengambilalihan M1 oleh syarikat telekomunikasi Simba.
“Terdapat tarikh akhir muktamad dan ia jatuh pada Khamis minggu ini. Tiada perbincangan untuk melanjutkan tarikh akhir tersebut, yang bermaksud apabila tempoh itu tamat, perjanjian sedia ada akan luput,” kata Encik Loh semasa taklimat media sambil menambah bahawa Keppel sudah mengusahakan beberapa pelan alternatif.
Tarikh akhir muktamad merupakan tempoh akhir bagi melengkapkan sesuatu urus niaga korporat. Pada Mac lalu, Keppel melanjutkan tarikh tersebut kepada 21 Mei.
IMDA pada pagi Isnin menyatakan bahawa ia menggantung semakan terhadap cadangan urus niaga itu selepas menemui kemungkinan berlakunya pelanggaran peraturan oleh Simba.
Menjawab pertanyaan sama ada Keppel akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Tuas dari Australia, yang memiliki Simba, Encik Loh memberitahu media bahawa “perkara itu belum terlintas dalam fikiran kami”.
“Jika ada hak tertentu yang kami miliki, kami akan menelitinya. Namun buat masa ini, kami tidak memikirkan perkara itu,” tambah beliau.
Encik Loh berkata tiada bayaran dikenakan kepada mana-mana pihak apabila urus niaga itu tamat.
PIHAK-PIHAK YANG BERMINAT
IMDA menyatakan ia akan menggantung penilaian terhadap urus niaga tersebut sehingga diberitahu kelak, sambil merujuk kepada siasatan yang sedang dijalankan berhubung kemungkinan Simba menggunakan jalur frekuensi radio yang tidak diperuntukkan kepadanya untuk menyediakan khidmat mudah alih.
“Ini akan dianggap sebagai penggunaan spektrum frekuensi tanpa kebenaran, yang merupakan pelanggaran terhadap Akta Telekomunikasi 1999 dan syarat Lesen Operasi Berasaskan Kemudahan milik Simba,” kata IMDA, sambil menambah bahawa pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya jika perkara itu dibuktikan.
“Memandangkan hasil siasatan mungkin memberi kesan penting terhadap penilaian IMDA berhubung cadangan penggabungan tersebut, IMDA memutuskan untuk menggantung semakannya sehingga siasatan selesai.”
Encik Loh memberitahu media bahawa walaupun Keppel terbuka kepada tawaran bagi M1 pada masa depan, tumpuan ketika ini adalah untuk “menyusun semula” syarikat tersebut dan mengurangkan kos sambil mengekalkan pengalaman pelanggan yang baik.
“Kami terbuka kepada penjanaan wang daripada aset pada satu ketika nanti, tetapi buat masa ini tumpuan kami adalah terhadap diri kami sendiri, untuk mengukuhkan M1. Kami yakin ada beberapa perkara yang boleh kami lakukan,” kata beliau.
Encik Loh enggan mengulas sama ada usaha untuk menyusun semula syarikat itu akan melibatkan pengurangan pekerjaan.
Encik Loh berkata sebelum ini terdapat beberapa pihak yang berminat untuk mengambil alih M1, dengan “perbincangan serius” melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak.
Tambah beliau, ketika itu, Simba menawarkan syarat-syarat yang terbaik.
Beliau berkata syarikat itu masih percaya bahawa industri telekomunikasi di Singapura “amat memerlukan dan akan meraih manfaat daripada penggabungan”.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.