Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keppel bakal bina dan kendali sistem penyejukan berpusat bagi 3 projek BTO di Tengah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Keppel akan mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan sistem penyejukan berpusat di tiga projek Bina Ikut Tempahan (BTO) akan datang di Tengah.

Syarikat itu memenangi kontrak selama 20 tahun untuk menyediakan perkhidmatan tersebut.

Projek berkenaan - Brickland Weave, Plantation Edge I & II dan Plantation Verge - dijadualkan siap pada 2027.

Sistem penyejukan berpusat itu akan memberi manfaat kepada sekitar 3,500 isi rumah dalam tiga projek itu, menurut Keppel dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan media bersama pada Isnin (30 Sep).

Sistem penyejukan berpusat tersebut melibatkan pemasangan paip air sejuk ke rumah dari penyejuk berpusat, yang dipasang di bumbung blok HDB terpilih, untuk menyejukkan flat.

Ia adalah alternatif yang lebih cekap tenaga berbanding sistem hawa dingin konvensional dan merupakan ciri utama Tengah, yang disifatkan sebagai bandar HDB bijak dan mampan yang pertama di Singapura.

Sesetengah penduduk Tengah mengalami masalah dengan sistem penyejukan berpusat yang diuruskan oleh pengendali grid SP Group dan pengeluar hawa dingin Daikin.

Antara aduan yang diterima termasuk kebocoran dan sistem yang tidak cukup sejuk.

SP Group sebelum ini mengaitkan isu tersebut dengan penangguhan pembinaan akibat pandemik COVID-19, yang memberikan masa yang lebih singkat untuk menjalankan ujian bagi menepati garis masa yang dipercepatkan oleh HDB untuk menyerahkan flat kepada penduduk.

Kesemua pembeli flat HDB di Tengah turut mempunyai pilihan untuk mendapatkan sistem penyejuk berpusat.

Mereka yang berminat boleh melawati Pusat Pengalaman EaaS Keppel di Hab HDB Toa Payoh untuk mengetahui lebih lanjut tentang sistem tersebut dan reka bentuk Keppel dalam prototaip atau 'mock-up' fizikal sebuah unit rumah biasa.

Slot temu janji boleh dibuat secara online menerusi laman EaaS Keppel.

"Memanfaatkan rekod prestasi dan kepakarannya, Keppel akan bekerjasama dengan HDB dalam penghantaran sistem penyejukan berpusat ke setiap rumah," menurut syarikat dan agensi itu.

"Keppel akan menggabungkan ciri kejuruteraan dan reka bentuk yang inovatif serta menggunakan bahan gred industri untuk mencapai prestasi standard industri, ketahanan serta mengambil kira pertimbangan aestetik," tambahnya.

"Apabila siap, sistem penyejukan berpusat di tiga projek BTO akan disambungkan ke pusat operasi terkini Keppel untuk kawalan jauh dan pemantauan prestasi masa nyata."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan