Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kepimpinan kuat perlu bagi tangani percubaan mencemari jabatan Home Team: Shanmugam

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata kepimpinan yang kuat diperlukan bagi menangani percubaan untuk menyelar dan mencemari jabatan-jabatan Home Team. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata kepimpinan yang kuat diperlukan bagi menangani percubaan untuk menyelar dan mencemari jabatan-jabatan Home Team.

Encik Shanmugam berkata jika kesilapan dibuat, para pemimpin Home Team perlu mengaku dan memperbetulkannya serta memastikan para pegawainya diberikan tindakan disiplin.

Namun, jika dakwaan yang dibuat tidak benar, jabatan-jabatan Home Team tidak perlu berasa takut dan mesti menyangkalnya dengan tegas.

"Mengekalkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat umum tidak semestinya bermakna membuat keputusan yang popular. Ia bermakna untuk lebih bersedia membuat keputusan yang sukar demi kebajikan orang awam, meskipun keputusannya tidak popular. Tanggungjawab dalam kepimpinan adalah untuk membuat keputusan sukar tetapi untuk kebaikan, berkomunikasi serta menjelaskan kepada orang ramai," kata Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam yang juga Menteri Undang-Undang berkata demikian di majlis kenaikan pangkat Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) yang diadakan secara online pada Rabu (19 Mei).

Lebih 6,200 pegawai Home Team dinaikkan pangkat.

KOMANDER DIVISYEN PERTAMA SCDF NAIK PANGKAT KEPADA KOLONEL SELEPAS 16 TAHUN BERKHIDMAT

Kolonel Shaiful Herman Shali. (Gambar: MHA)

(Gambar: MHA)

Salah seorang daripada mereka ialah Kolonel Shaiful Herman Shali, 38 tahun.

Beliau masih ingat insiden yang berlaku pada tahun 2007.

Ketika itu beliau berdepan dengan seorang pembantu rumah yang sedang bergayut pada galah jemuran, dari tingkat lapan blok HDB.

"Pada waktu itu, saya sebagai orang pertama di sana, saya perlu berbual dengan dia dan cuba meyakinkannya untuk masuk. Pada waktu itu sudah mula hujan. Saya hulurkan tangan saya dan katakan "Ayuh mari naik ke atas". Dia pun terima dan ambil tangan saya, saya capai dan bawakan dia masuk ke dalam dapur dengan selamat," kata LTC Shaiful.

"Pada waktu itu, saya rasa gementar juga kerana kita tidak akan tahu kalau dia akan jatuh ataupun tidak. orang ramai pun sudah di bawah untuk melihat situasi itu. Pada saya, saya gembira setelah sudah menyelamatkannya," tambah COL Shaiful.

Kes itu adalah antara yang paling tidak dapat dilupakan oleh bapa kepada seorang anak ini, sepanjang kerjayanya selama 16 tahun dalam SCDF.

"Saya rasa bahawa insiden-insiden saya tangani memang susah untuk dilupakan tetapi ia juga satu penegasan untuk saya sebagai seorang komander SCDF serta misi kita untuk menyelamatkan orang. Setiap nyawa yang kita selamatkan kita memang akan rasa bangga dan terharu."

Berbekalkan pengalamannya yang luas dalam unit penyiasatan api (FI) dan Hazmat, beliau yang merupakan Komander Divisyen Pertama SCDF, dinaikkan pangkat kepada Kolonel daripada Leftenan Kolonel mulai 1 Jun ini.

COL Shaiful menyandang pangkat Leftenan Kolonel selama tujuh tahun sebelum ini.

Meluahkan perasaannya terhadap kenaikan pangkatnya, COL Shaiful berkata: " Saya rasa terharu diberikan dan dinaikkan pangkat kerana ini satu pengiktirafan untuk kerja keras yang telah kita lakukan sejauh ini."

"Ia juga satu peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan ahli-ahli SCDF yang lebih junior daripada saya dari segi memberi nasihat, dari segi kerjaya dan memberi dorongan dan bimbingan kepada pegawai yang lebih muda daripada saya," tambahnya.

COL Shaiful mengakui banyak yang telah dipelajarinya dalam perjalanannya mengecapi pangkat Kolonel.

Beliau menambah: "Sebagai komander balai bomba dan divisyen, banyak cabaran dari segi bagaimana kita menasihati para pegawai kita jika mereka dalam kesusahan dan kita perlu disiplin mereka. Saya belajar dan memerhatikan bagaimana ia dilakukan oleh pegawai lebih berpengalaman. Seberapa mungkin,saya berharap dapat menolong para pegawai saya sebaik mungkin. Ini agar mereka dapat datang ke kerja dengan hati senang."

PEGAWAI CAD PERTAMA YANG DIPINJAMKAN KE INTERPOL TERIMA PANGKAT CAO10

Pegawai Jabatan Ehwal Komersil (CAD) Muhammad Imran Mohamad Ayub. (Gambar: MHA)

(Gambar: MHA)

Antara 6,280 pegawai Home Team yang dinaikkan pangkat juga adalah Muhammad Imran Mohamad Ayub, 35 tahun, yang menerima pangkat CAO10, bersamaan dengan pangkat Superintenden SPF.

Beliau merupakan pegawai Jabatan Ehwal Komersil (CAD) pertama yang dipinjamkan ke INTERPOL pada 2019.

CAO10 Imran berkata: "Peluang ini membuka lebih banyak pintu dan ia terpulang kepada diri kita sendiri untuk mencari laluan yang terbaik. Jadi dengan kenaikan pangkat ini ia membuka minda saya kepada peluang-peluang yang perlu saya dalami dan saya harap melangkah ke hadapan, saya akan berpeluang untuk mendalami lagi bahagian-bahagian ini."

"Saya ini bukanlah pegawai CAD yang terbaik, tetapi saya rasa ia juga gabungan kerjasama pasukan saya serta keluarga saya. Ia merupakan satu penegasan bahawa usaha kita selama ini membuahkan hasil. Jika saya dapat mendedikasikan kenaikan pangkat ini, saya akan dedikasikan kepada mereka," tambahnya.

Di dalam unit Jenayah Kewangan INTERPOL, CAO10 Imran bertanggungjawab untuk meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang untuk menjalankan siasatan aliran wang serta menggerakkan rangkaian dan kepakaran yang ada untuk menyokong penyelidikan kewangan.

"Saya diberi kesempatan untuk memperluaskan pengalaman saya di INTERPOL, di mana kami menghubungkan negara-negara anggota INTERPOL dari segi penegakan undang-undang bagi negara-negara anggota. Kadangkala, para penjenayah cuba untuk melewatkan proses sebab jika kita berbual tentang hubungan antara Negara A dan Negara B, ia mungkin akan mengambil sedikit masa," kata CAO10 Imran.

Dalam tugas sehariannya juga, bapa kepada dua orang anak itu juga perlu merapatkan jurang antara agensi penguatkuasaan undang-undang pelbagai negara dari segi masalah jenayah kewangan, termasuk menyelaraskan pemintasan dan pemulihan dana haram ke atau dari Singapura.

Kerjaya CAO10 Imran dalam CAD sebenarnya bermula pada tahun yang sama bapanya bersara daripada SPF sebagai pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG).

Katanya: "Dengan bapa saya yang berkhidmat dalam SPF dari 1983 hingga 2010, ia membuat sekitaran polis kurang menakutkan. Ia juga menjadi satu gambaran dan keyakinan untuk saya teruskan kerjaya saya dalam unit ini."

Sejak pertama kali menyertai CAD pada tahun 2010, CAO10 Imran berkata pengalamannya sejauh ini dalam CAD dan INTERPOL agak holistik.

Beliau berkata bahawa beliau dapat "merasakan aspek-aspek berlainan mengenai siasatan kewangan".

Memandang ke hadapan, CAO10- Imran berkata bahawa beliau akan terus berusaha untuk "menangkap pesalah utama di sebalik semua penipuan kewangan yang berlaku".

CAO10 Imran berkata: "Kenaikan pangkat ini memberi saya dorongan untuk melakukan lebih baik. Sememangnya, apabila kita bekerja kita tidak mengejarkan kenaikan pangkat. Pada masa depan apabila saya dapat kembali ke agensi asal saya (CAD), saya akan mempunyai lebih banyak bekalan untuk berkongsi dan menambah nilai."  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan