Skip to main content

Singapura

Kepimpinan baharu LBKM ingin bantu pelajar hadapi era AI; teroka pelbagai sokongan: Abdul Rohim

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 15 Jun 2026 06:01PM Dikemas Kini : 14 Jul 2026 08:50PM
SINGAPURA: Presiden baharu Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Abdul Rohim Sarip, berkata badan itu perlu menyesuaikan pendekatannya bagi memastikan para pelajar mendapat sokongan yang relevan untuk menghadapi masa hadapan.

Encik Rohim menambah bahawa langkah itu perlu diambil lebih-lebih lagi di dalam era Kecerdasan Buatan (AI) yang membuat landskap pendidikan dan pekerjaan berubah dengan begitu pesat.

Penyesuaian itu juga perlu dilakukan di samping sokongan kewangan yang terus diberikan untuk para pelajar.

"Kita terima hakikatnya bahawa keadaan berbeza sekarang. Dengan adanya AI, sistem pendidikan kita telah banyak berubah. Dengan segulung ijazah sahaja tidak mencukupi. Kita faham dan kita akur tentang perkembangan ini. Kita harus fleksibel dan menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang," kata Encik Rohim dalam wawancara pertamanya bersama BERITA Mediacorp selepas dilantik sebagai Presiden baharu LBKM bagi penggal 2026 hingga 2028.

Pada usia 63 tahun, Encik Rohim mengambil alih tampuk kepimpinan sebuah pertubuhan yang telah memainkan peranan penting dalam membantu pelajar Melayu/Islam sejak lebih enam dekad lalu.

Menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah besar, presiden keenam LBKM itu berkata, pelajar hari ini berdepan cabaran yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu.

Pada masa beliau menuntut dalam jurusan undang-undang di Universiti Nasional Singapura (NUS) sekitar empat dekad lalu, pilihan laluan pendidikan jauh lebih terhad berbanding hari ini.

Kini, selain pelbagai kursus dan bidang baharu yang ditawarkan, perkembangan AI turut mengubah cara pelajar belajar dan mempersiapkan diri untuk memasuki alam pekerjaan.

"Jadi pihak LBKM akan terus meneroka impak AI terhadap pelajar. Adakah kursus-kursus lain yang boleh kita tambah agar mereka lebih bersedia untuk menghadapi pekerjaan di luar sana. Sebagai badan yang bertanggungjawab tentang biasiswa dan dermasiswa, kita jugalah akan memikirkan kursus-kursus yang sesuai untuk mereka." ujar Encik Rohim.

PELANTIKAN SEBAGAI PRESIDEN LBKM SEBAGAI AMANAH BESAR

Usaha tersebut antara keutamaan yang akan diterajui beliau bersama 11 anggota Majlis Eksekutif LBKM yang baharu.

Barisan kepimpinan itu terdiri daripada individu yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk perundangan, kewangan, hal ehwal agama, sektor korporat serta isu perubahan iklim dan kemampanan.

Menurut Encik Rohim, kepelbagaian pengalaman dan latar belakang tersebut penting bagi membantu LBKM terus relevan dalam memenuhi keperluan pelajar yang kian berubah mengikut perkembangan semasa.

Related article image
Barisan kepimpinan baharu LBKM bagi penggal 2026 hingga 2028 terdiri daripada 11 anggota yang mewakili pelbagai latar belakang dan bidang kepakaran. Antaranya ialah (dari kiri) Cik Nurhazimah Abdul Halim, Cik Rahayu Mohamad, Encik
Muhammad Nuzaihan Hamdan, Encik Mohammad Haireez Mohameed, Encik Jufferie
Fathuddin Abdul Hamid; Presiden LBKM, Encik Abdul Rohim Sarip; Encik Ridhwan Mohd Basor; Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid; Cik Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid; Cik Zulaifah Abdul Ghani (Gambar: LBKM)
Malah, purata usia anggota majlis kini berada dalam lingkungan 40-an tahun berbanding sekitar 50-an tahun sebelum ini, dengan anggota termuda berusia 31 tahun.

LBKM SASAR TINGKATKAN PENGAGIHAN

Selain memastikan sokongan yang diberikan kekal relevan dalam era AI, Encik Rohim berkata beliau juga mahu memperkukuh impak LBKM terhadap para pelajar menerusi peningkatan bantuan yang diagihkan.

"Pada tahun yang lalu, kita telah meningkatkan pemberian kepada para pelajar sebanyak 20 peratus dan mungkin tahun ini, kita akan cuba meningkatkan lagi pengagihan dana kepada para pelajar di Singapura," kata beliau.

LBKM mengagihkan bantuan kewangan sebanyak $2,728,950 kepada pelajar pada 2025.

"Itu satu perkara yang saya rasa penting untuk kita mengukuhkan lagi kesan dan tugas pihak LBKM," tambahnya.

Sejak penubuhannya pada 1965, sekitar 40,000 pelajar menerima bantuan kewangan daripada LBKM.

Bagi Encik Rohim, rangkaian besar bekas penerima bantuan itu merupakan aset berharga yang boleh digembleng sebagai sukarelawan, mentor dan penyumbang demi membantu generasi pelajar seterusnya.

Hasrat itu dekat di hatinya kerana beliau sendiri antara penerima dermasiswa LBKM pada 1987.

TADBIR URUS KUKUH ANTARA KEUTAMAAN LBKM

Dalam pada itu, kepentingan tadbir urus yang kukuh turut menjadi antara keutamaan LBKM.

Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang guaman serta penglibatannya dalam pelbagai pertubuhan Melayu/Islam, Encik Rohim yakin beliau dapat memanfaatkan kepakaran dan rangkaian untuk memperkukuh peranan LBKM dalam masyarakat.

"Saya akan cuba menyumbang dari segi kemahiran saya dalam undang-undang kerana saya faham tentang selok-belok tadbir urus, undang-undang syarikat dan saya boleh menasihati badan-badan Islam dengan isu-isu yang timbul dari segi undang-undang," kongsi beliau.

Selain pernah berkhidmat sebagai Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dari 2009 hingga 2013 dan Presiden Casa Raudha dari 2019 hingga 2021, beliau juga merupakan anggota Majlis Eksekutif LBKM sejak 2018.

Beliau turut percaya hubungan yang dibina bersama para pemimpin dan pertubuhan Melayu/Islam sepanjang penglibatannya dalam kerja kemasyarakatan dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh kerjasama demi membantu lebih ramai pelajar.

Malah, Encik Rohim percaya barisan kepimpinan yang lebih muda penting bagi memastikan kesinambungan sesebuah pertubuhan.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita