Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keperluan penjagaan, kepelbagaian sokongan penting untuk pekerja berisiko, kata pemimpin kesatuan, pengamat

Anggaran Waktu Membaca:
Keperluan penjagaan, kepelbagaian sokongan penting untuk pekerja berisiko, kata pemimpin kesatuan, pengamat

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

BERITAmediacorp: Keadaan sejagat yang tidak menentu menekankan lagi peri perlunya mengukuhkan kompak sosial terutamanya dengan prospek ekonomi hari ini yang berlatarkan cabaran pandemik COVID-19, perang di Ukraine, kemungkinan gangguan bekalan tenaga dan makanan, inflasi serta keprihatinan tentang kos sara hidup

Belanjawan seimbang yang dikendalikan dengan berhemat dan menangani isu kenaikan kos akan memelihara perpaduan sosial, mencegah perpecahan dan rasa putus asa dalam kalangan rakyat, demikian menurut pengamatan pemimpin buruh yang dihubungi BERITAmediacorp.

Ia terbina atas kepercayaan bahawa nilai kesamarataan akan terus ditegakkan termasuk bagi pekerja yang berisiko ketinggalan di belakang.

Lantas, dengan mengekalkan pandangan untuk maju ke hadapan sambil bersikap realistik tentang jurang atau cabaran yang dihadapi, peluang-peluang yang baik masih boleh diwujudkan untuk golongan pekerja ini.

PEKERJA BERISIKO

Golongan 'vulnerable’ atau berisiko kerap dirujuk sebagai mereka yang harus diberi tumpuan sedang ketidaksamarataan gaji cuba ditangani. Mereka termasuk golongan berpendapatan rendah yang menerima bantuan di bawah skim-skim pemerintah dan peruntukan belanjawan.

Namun dengan keadaan dunia yang mencabar, keperluan golongan ini semakin rumit dan berangkai. Golongan yang terdedah kepada risiko ketidaktentuan tidak hanya terhad kepada mereka yang membawa pulang jumlah gaji tertentu. Pekerja rentan termasuk mereka yang telah atau berpotensi kehilangan kerja atau mempunyai keperluan-keperluan selain daripada bantuan asas kehidupan. Mereka termasuk pekerja platform dan lanjut usia.

Bagi keluarga-keluarga muda, keperluan mendapatkan sokongan penjagaan menjadi cabaran.

"Bukan sahaja kos kehidupan, perbelanjaan harian, tetapi bantuan untuk hantar anak ke sekolah, penjagaan anak, kerana ibu bapa sekarang kita lihat lebih ramai yang terpaksa keluar bekerja," kata Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Abdul Samad Abdul Wahab yang menganggap pekerja-pekerja yang berdepan isu-isu seperti ini sebagai berisiko.

Golongan seperti ini mungkin masih bertakat dan sejauh ini mampu memenuhi keperluan perbelanjaan minimum harian meskipun menghadapi beberapa tekanan bertindih yang timbul daripada kenaikan kos dan inflasi seperti perbelanjaan pengangkutan.

"Ini lebih dihadapi mereka yang mempunyai tanggungan atau mempunyai keperluan penjagaan. Bagi pekerja berpendapatan pertengahan terutamanya, mereka biasanya tidak layak untuk sesetengah bentuk bantuan pemerintah kerana syarat kelayakan ketat,” kata Pengarah NTUC, Mohd Fahmi Aliman sambil memberi contoh sesetengah daripada mereka mempunyai gaji yang melepasi had kelayakan yang ditetapkan.

KERJA LEMBUR

Satu lagi hal yang dibangkitkan oleh para pemimpin gerakan buruh adalah bayaran kerja lembur yang kadang-kala menjadi hambatan, apabila pendapatan isi keluarga dianggap tidak memenuhi syarat. Oleh kerana itu, para pekerja ini tidak layak mendapat bantuan.

"Golongan ini bukan suka-suka kerja lembur, kerana mahu memastikan sara hidup mereka mencukupi dan untuk mendapat sedikit simpanan. Ini kita perlu selidik semula. Janganlah kita jadikan usaha mereka untuk mencari lebih, untuk menjaga keluarga dan memastikan keperluan keluarga sebagai suatu hukuman buat mereka. Kita harus lihat pada gaji asas mereka. Kalau gaji asas S$2,500, jangan lihat gajinya S$4,000 kerana kerja lembur. Bayangkan kalau dia tidak bekerja lembur lagi," kata Encik Samad.

KEPELBAGAIAN SOKONGAN

Para pemimpin gerakan buruh akui bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk membantu golongan pekerja yang tersepit. Usaha mengukuhkan kompak sosial menurut mereka, memerlukan pertimbangan faktor sosioekonomi yang melibatkan penelitian terhadap sebuah ekosistem merangkumi langkah-langkah ekonomi yang menyokong pekerja dan langkah-langkah sosial yang menumpukan kepada individu dan keluarga. Kedua-duanya saling terhubung dan saling melengkapi.

Dalam hal ini, Dr Mohamad Shamsuri Johari, Zamil Penyelidik di Institut Pengajian Dasar (IPS) berpendapat, apa yang menjadi isu bukanlah jumlah bantuan tetapi kepelbagaian sokongan yang disediakan selain daripada bantuan keperluan harian.

"Kami perlu lebih banyak sumber untuk memahami kepelbagaian sokongan yang mahu diberikan...Cabarannya adalah untuk memahami apa yang mereka perlu, untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka. Ada yang perlukan bantuan pendidikan, ada yang perlukan kemahiran hidup," kata Dr Shamsuri.

PEKERJAAN PASCA COVID-19

Bagi masyarakat Melayu khususnya, Encik Fahmi menjelaskan bahawa tumpuan diberikan kepada kumpulan-kumpulan pekerja berisiko dari segi pekerjaan dan daya kerja.

Ini dilakukan menerusi pasukan bertindak Bidang Tumpuan 4 (FA4) di bawah gerakan M³ yang bertujuan mempersiapkan tenaga kerja sekarang dan masa depan untuk memanfaatkan peluang-peluang pekerjaan dalam landskap pasca COVID-19 dan bersedia untuk masa depan.

"Program-program tertumpu terus dijalankan untuk menyokong pekerja platform untuk bertukar ke pekerjaan stabil dan menyokong wanita yang kembali bekerja, untuk mulakan, bangunkan dan menyesuaikan semula diri ke dalam tenaga kerja,” kata Encik Fahmi.

Sementara itu, usaha untuk melengkapi pekerja berisiko dengan kemahiran baru atau menajamkan kemahiran mereka diteruskan. Namun Dr Shamsuri yang mengkaji isu-isu berkaitan pendidikan masyarakat Melayu berkata satu bentuk insentif mungkin dapat menggalak lebih ramai termasuk pekerja platform untuk tampil ke depan.

"Ramai tidak rela melakukannya, malah tidak boleh. Mesti ada dana yang boleh membantu orang-orang ini supaya mereka masih dapat membawa pulang pendapatan. Ada dana untuk kursus, tetapi dana untuk keperluan harian kurang. Kami perlu mencari cara untuk membiayai individu-individu ini. Jika anda hadiri kelas, kami beri insentif yang setara dengan gaji harian anda. Kerana mereka tidak boleh meninggalkan kerja mereka kerana perlu dapatkan gaji harian," kata Dr Shamsuri.

LINGKARAN POSITIF DALAM KELUARGA

Sekitaran yang menggalak peningkatan dan kemajuan diri dalam sesebuah keluarga akan menghasilkan satu lingkaran positif yang meningkatkan taraf kehidupan pekerja di masa depan. Dr Shamsuri berharap lebih ramai pemberi dana akan mahu menyokong individu, termasuk pekerja matang yang mahu melanjutkan pendidikan meskipun bukan di universiti-universiti terulung. Beliau memberi contoh bagaimana seorang bapa boleh menjadi peran contoh dalam keluarga apabila beliau melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi.

"Saya mendapati kekurangan pada orang-orang yang berkata, 'tidak perlu bantu kerana dia hanya lulusan universiti taraf kedua' tetapi bapa itu ialah pemula trend dalam keluarga. Jika anda lihat kepada keluarga-keluarga, itulah cara ia membantu mereka mendaki tangga mobiliti sosial," kata Dr Shamsuri.

Membantu golongan tersepit untuk mencapai taraf kehidupan lebih baik adalah selaras dengan matlamat mencapai sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

Seperti ditekankan oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong di satu acara masyarakat pada 7 Jan lalu, Singapura tidak boleh membiarkan cabaran atau masalah memecah belahkan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan telah memberi gambaran bahawa Belanjawan tahun ini akan meneliti bagaimana lebih banyak bantuan boleh disediakan untuk rakyat menangani kos kehidupan yang meningkat.

Selain membantu pekerja bergaji rendah, ia juga diharap memberi kelegaan kepada golongan gaji pertengahan yang berdepan dengan cabaran-cabaran rumit di tengah-tengah prospek global yang mencabar.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan