Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keperluan mangsa gempa berubah ikut keadaan; Duta Turki di SG saran derma wang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Duta Turki ke Singapura Mehmet Burcin Gonenli berkata pada Jumaat (10 Feb) bahawa senarai keperluan bagi para mangsa gempa bumi di Turki dan Syria kian berubah-ubah. Maka itu, orang ramai digalakkan supaya membuat sumbangan dalam bentuk wang.

Ini menyusuli sokongan yang melimpah-limpah daripada para penduduk Singapura yang bertali arus mengunjungi Kedutaan Turki untuk menghulurkan bantuan kepada para mangsa gempa bumi dahsyat yang melanda Turki dan Syria pada Isnin (6 Feb), yang sejauh ini meragut hampir 22,000 nyawa.

Dalam satu hantaran awal di Facebook, kedutaan tersebut meminta sumbangan dalam bentuk pakaian musim sejuk dan bekalan lain termasuk khemah, produk kebersihan wanita dan lampin.

Encik Gonenli bagaimanapun mendedahkan bahawa sumbangan pakaian tidak lagi diperlukan dan yang menjadi keutamaan sekarang adalah barang-barang seperti selimut, alat pemanas dan jentera yang mengeluarkan tenaga elektrik.

"Senarai keperluan kami juga berubah-ubah sejajar dengan situasi di kawasan-kawasan yang dilanda gempa," kata beliau.

Encik Gonenli menggalak para penduduk di Singapura supaya menimbangkan sumbangan derma menerusi akaun-akaun rasmi kerana cara sedemikian akan memberikan pihak berkuasa Turki kelonggaran untuk menghulurkan bantuan kepada para mangsa gempa.

Sungguhpun demikian, sumbangan dalam bentuk barangan dan keperluan asas membanjiri pusat derma MacPherson pada Jumaat sekitar 4.30 petang.

Para penderma dilihat cuba meredah beratus-ratus kotak di Jay Gee Melwani House di 10 Genting Lane untuk menghantar sumbangan mereka.

Ini meskipun papan tanda yang dipasang di pusat tersebut menyatakan bahawa ia tidak lagi menerima sebarang sumbangan.

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Gonenli menzahirkan penghargaannya atas sokongan "luar biasa" daripada rakyat Singapura.

Beliau bagaimanapun berkongsi bahawa kapasiti kedutaan tersebut untuk menyusun sumbangan barang-barang "agak terhad".

Memandangkan kedutaan tersebut hanya akan menghantar barang-barang baru atau yang belum lagi digunakan ke Turki, beliau sedang berurusan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah tempatan (NGO) bagi memastikan sumbangan barangan terpakai itu tidak disia-siakan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan