Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kepercayaan wujudkan 'perbezaan ketara' dalam perang melawan COVID-19, kata MTF

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kepercayaan antara penduduk, Pemerintah dan sektor privet memberi "perbezaan ketara" dalam mencapainya norma baru endemik COVID-19 di Singapura. 

Menteri-menteri di Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) berkata demikian di sidang media pada Khamis (9 Feb), di mana ia mengumumkan bahawa pasukan bertindak itu akan dibubarkan.

Selepas tiga tahun, Singapura beralih ke tahap risiko penularan COVID-19 paling rendah sejak pandemik COVID-19 bermula. 

"Apa yang membezakan kita dengan negara-negara lain adalah kepercayaan yang wujud sesama penduduk. Mempercayai satu sama lain, bergantung kepada satu sama lain untuk saling menjaga," kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong. 

Beliau menarik perhatian terhadap kepercayaan antara Kementerian Kesihatan (MOH) dan sistem jagaan kesihatan, antara pesakit dan penyedia khidmat jagaan kesihatan, serta antara pekerja dan majikan. 

"Kita semua bekerjasama, antara Pemerintah, sektor privet dan penduduk. Saya rasa kepercayaan memberi perbezaan ketara dalam pencapaian kita hari ini. 

"Saya ingin mengambil peluang ini untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada warga Singapura atas sokongan mereka dalam apa saja yang kami lakukan. Dan sokongan mereka memainkan peranan besar dalam mencapai hasil  ini." 

Encik Gan merupakan Menteri Kesihatan apabila pasukan bertindak itu dibangunkan pada Januari 2020 dengan Menteri Pembangunan Negara ketika itu Lawrence Wong sebagai pengerusi bersama. Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menyertai pasukan tersebut pada April 2021. 

Encik Ong menyifatkan masanya dalam pasukan bertindak sebagai "pengalaman yang amat mencabar, namun amat bermakna". 

"Sepanjang tempoh ini, kami mengadakan banyak rundingan antara pihak berkuasa, antara para wartawan, orang ramai berbual secara jujur (tentang) masalah yang kami hadapi, apa yang kami perlu lakukan," kata Encik Ong. 

Tempoh ini menyaksikan banyak persahabatan yang terjalin dan kepercayaan "bahawa tiada apa-apa yang boleh merosakkan" Singapura, serta meletakkan negara ini "pada tahap daya tahan yang lebih tinggi berbanding kebanyakan negara lain". 

Encik Ong menarik perhatian kepada "Protokol 1-2-3" bagi pengurusan COVID-19 sebagai salah satu contoh kepercayaan pihak berkuasa terhadap penduduk untuk memainkan peranan mereka dalam mengatasi pandemik.

Encik Wong, yang kini menyandang jawatan  Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata bertugas sebagai anggota pasukan bertindak memberinya "gambaran jelas tentang keupayaan warga Singapura dengan usaha terbaik mereka". 

"Saya berasa rendah hati melihat apa yang berlaku sepanjang tiga tahun yang lalu, dan dengan daya tahan dan kekuatan warga Singapura. 

"Semangat tidak mudah luntur ini yang membolehkan kita mengharungi krisis generasi ini. Dan ia adalah semangat yang sama yang akan membolehkan kita mengatasi segala cabaran pada masa akan datang dan membina masa depan yang lebih baik." 

Tambah Encik Wong, semakan terhadap tindak balas COVID-19 Pemerintah akan dikeluarkan "tidak lama lagi" dan dibahaskan di Parlimen, tanpa mendedahkan tarikh tertentu. 

"Laporan itu tidak bertujuan untuk mengucapkan tahniah kepada diri sendiri. Ia sebenarnya bertujuan untuk melihat secara objektif apa yang berlaku sepanjang tiga tahun yang lalu," katanya. 

Dalam satu kenyataan media, MOH menyatakan, Singapura bangkit dari pandemik sebagai "negara lebih bersedia, berdaya tahan dan bersatu dengan salah satu kadar kematian COVID-19 terendah di dunia". 

Kementerian tersebut turut menzahirkan penghargaan kepada semua pekerja jagaan kesihatan dan semua yang menyumbang kepada perang melawan penyakit itu. 

"Kami sedang meneliti semula pengalaman kami dalam menguruskan COVID-19 pada tempoh tiga tahun yang lalu. Kami akan belajar daripada pengalaman ini supaya Singapura lebih bersedia untuk bertindak terhadap pandemik-pandemik pada masa akan datang," tambahnya. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan