Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kepercayaan rakyat kepada pemerintah bolehkannya buat perancangan jangka panjang: SM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Kepercayaan rakyat kepada pemerintah bolehkannya buat perancangan jangka panjang: SM Lee

(Gambar: Petikan skrin YouTube/Institut Politik Sekolah Kennedy Harvard)

MASSACHUSETTS: Menteri Kanan, Lee Hsien Loong berkata rasa yakin dan kepercayaan rakyat Singapura terhadap pemerintah, membolehkannya membuat perancangan jangka panjang dan melaksanakan langkah-langkah sukar tetapi perlu.

Ini termasuk menaikkan cukai pengguna untuk membayar keperluan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat.

Dalam ceramahnya di Universiti Harvard, di Massachusetts, Amerika Syarikat, SM Lee berkata pemerintah tidak pernah memandang ringan sokongan rakyat terhadapnya.

Ini memandangkan tiada apa yang boleh menghalang mereka untuk mengundi bagi menyingkirkan parti yang memerintah.

"Contohnya, semasa pandemik COVID-19, kami dapat lakukan perkara yang betul – menguatkuasakan jarak selamat, merawat pesakit COVID-19, memberi vaksin kepada semua orang, melindungi pekerjaan, mengekalkan keyakinan," kata SM Lee.

"Kami hanya boleh berbuat demikian kerana orang ramai mempercayai pemerintah - kedua-dua perkhidmatan awam, dan pemimpin politik," ujarnya.

SM Lee berkata Singapura berada dalam kedudukan yang baik untuk menangani cabaran baharu.

Ini termasuk faktor luaran seperti permusuhan antara kuasa-kuasa besar dan konflik lain.

Di dalam negeri pula, Singapura berdepan dengan isu penuaan dan ketidaksamarataan pendapatan.

Beliau berkata pemimpin Singapura berasa bertanggungjawab untuk memastikan sistem di negara ini terus berjalan dengan baik, tidak setakat semasa tempoh mereka dalam jawatan.

"Mereka mencari dan mengambil bakat baharu untuk memperbaharui barisan kepimpinan, agar tanggungjawab ini diserahkan seperti pusaka turun-temurun. Setakat ini, kami telah berjaya melakukan tiga peralihan kepimpinan tertinggi.

"Tahun ini kita mempunyai perdana menteri baharu dan saya sangat gembira bahawa peralihan kepada Perdana Menteri Lawrence Wong berjalan dengan baik, dan saya berharap Singapura akan terus memperbaharui dirinya, dan menyuntik tenaga kepada projek nasional kita, selama bertahun-tahun untuk datang," tegasnya lagi.

Semasa sesi soal jawab, Encik Lee ditanya bagaimana Singapura boleh terus menjadi negara yang aman dan bahagia.

Beliau berkata kuncinya ialah dengan mempunyai tadbir urus dan dasar yang baik.

Tambahnya, mempunyai generasi baharu pemimpin yang berkebolehan juga amat penting untuk memimpin dan menjaga penduduk.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan