Skip to main content

Singapura

Kepercayaan penting dalam hubungan SG-China, kata Chan Chun Sing

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Sep 2023 04:56PM Dikemas Kini : 11 Sep 2023 12:23AM
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berkata kepercayaan merupakan perkara penting yang membolehkan Singapura dan China mencapai kejayaan dalam hubungan mereka.

Encik Chan menyifatkan hubungan tersebut sebagai mendalam, luas dan melibatkan pelbagai aspek.

Encik Chan menambah bahawa ia adalah satu hubungan istimewa yang berdepan ujian sepanjang zaman dan sudah berkembang melalui tempoh baik dan buruk seperti pandemik SARS dan COVID-19.

Encik Chan, yang juga Menteri Pendidikan Singapura, berkata demikian pada hari pertama lawatan empat hari ke China.

Beliau melawat Sekolah Parti Jawatankuasa Pusat Parti Komunis di Beijing dan bertemu Naib Presiden eksekutifnya Xie Chuntao.

Sekolah tersebut adalah institusi pendidikan tertinggi Parti Komunis China. Ia ditugaskan untuk memupuk bakat para pegawai dan anggota aktivis peringkat pertengahan hingga peringkat tinggi.

Walaupun terdapat perbezaan pada keadaan, konteks sejarah dan sosial, Encik Chan berkata Singapura dan China berdepan cabaran yang sama, di mana kedua-dua negara boleh berkongsi pengajaran antara satu sama lain.

Ini termasuk cabaran geopolitik, cabaran ekonomi dan sosial, seperti perumahan, penuaan dan media sosial.

Encik Chan akan menjadi pengerusi forum kepimpinan Singapura-China pada Selasa (12 Sep). Ia merupakan acara pertama diadakan secara fizikal sejak pandemik.

Forum itu adalah platform bagi kedua-dua negara berbincang dan bertukar pengalaman tentang pembangunan kepimpinan.

"Kita sentiasa mencari cara untuk memeriksa kesilapan sendiri, supaya kita tidak menjadi, terutama pada masa kita berjaya, dibutakan oleh kejayaan sendiri, dan gagal untuk sedar atau berjaga-jaga terhadap masalah yang dihadapi," kata Encik Chan.

"Itulah sebabnya kita menghargai peluang untuk melawat China dan bertukar pandangan bersama rakan sejawatan kami dari China," tambahnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita