Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kepercayaan antara masyarakat & pemerintah kunci kejayaan SG tangani ekstremisme

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kepercayaan serta kerjasama antara pemerintah serta masyarakat boleh bantu membanteras pengganasan dan ideologi pelampau dengan lebih berkesan lagi.

Hal itu ditekankan Menteri Kanan Teo Chee Hean dalam majlis makan tengah hari anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri bagi menghargai para relawan masyarakat siang tadi (28 Sep).

"Perkara paling penting yang kita ada ialah kerjasama yang sangat kuat yang kita ada antara masyarakat dan pemerintah. Di banyak negara, ini tidak ada. Dalam sesetengah kes kerana undang-undang mereka di negara tersebut menghalangnya. Mereka tidak membenarkan negara bekerjasama dengan badan-badan keagamaan. Di sesetengah negara lain, ia kerana masyarakat tidak mahu bekerjasama dengan pemerintah dan selalunya ia kerana kurangnya kepercayaan dengan masyarakat dan pihak berkuasa negeri," kata Encik Teo.



Beliau menambah, sokongan kukuh masyarakat di setiap peringkat membolehkan pemerintah untuk menangani masalah dari akarnya.

"Sumbangan anda sangat penting untuk memastikan Singapura dan Singapura selamat dan terjamin. Sokongan ini akan kekal kritikal apabila landskap ancaman berkembang dalam bentuk dan intensiti," tambah Encik Teo.

Beliau juga merakamkan penghargaannya itu kepada 400 relawan masyarakat termasuk keluarga mereka.

KOLEJ ISLAM SINGAPURA CONTOH USAHASAMA BERTERUSAN PEMERINTAH

Encik Teo turut menarik perhatian kepada pembangunan Kolej Islam Singapura yang akan datang sebagai salah satu contoh usahasama berterusan pemerintah dan masyarakat untuk membanteras pengganasan.

"Ia akan memberikan kita institusi yang kukuh, melengkapkan institusi kukuh kita yang lain untuk mempromosikan pengajaran, pembelajaran agama dengan cara yang sesuai dengan konteks masyarakat kita dan boleh membantu mengikat semua komuniti kita bersama-sama satu dorongan kolektif untuk membawa rakyat kita dan Singapura ke hadapan," ujarnya.

Acara yang diadakan di ParkRoyal Collection Marina Bay itu dihadiri sekitar 400 hadirin termasuk relawan masyarakat dan ahli keluarga mereka daripada Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), masjid, dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat

Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Dr Mohamed Ali yang turut menghargai kerjasama dengan pemerintah dalam usaha tersebut.

Ini katanya dapat dilihat sejak 2001, apabila kegiatan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) mula cuba meluaskan pengaruhnya di Singapura.

"Pada awal-awal lagi, pemerintah faham bahawa pemerintah sahaja tidak dapat menangani masalah pengganasan ini tanpa penglibatan masyarakat terutama sekali golongan agamawan. Asatizah dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain, mereka telah memainkan peranan yang penting bersama dengan masyarakat membasmi dan membanteras fahaman radikal di Singapura daripada waktu kita menghadapi Jemaah Islamiyah sehingga mereka yang terpengaruh dengan fahaman ISIS, sehingga hari ini kita dapat melihat mereka mereka anak anak muda yang menjadi radikal melalui online.

"Jadi, saya yakin bahawa kerjasama ini amat penting dan ia harus berterusan demi untuk memastikan bahawa anak-anak muda tidak mudah dipengaruhi dengan fahaman-fahaman yang boleh merosakkan, bukan hanya diri mereka tetapi juga kestabilan negara dan juga menjejas keharmonian kaum dan agama di sini," kata Ustaz Dr Mohamed.

USAHA-USAHA BANTERAS PENGGANASAN DIBUKUKAN; JADIKAN BAHAN RUJUKAN

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ACG yang ke-20, sebuah buku turut dilancarkan.

ACG merangkumi Mendaki, SINDA, AMP, PPIS, Masjid Khadijah dan Taman Bacaan.

Berjudul 'Serving with a Heart, Securing the Nation', buku setebal 350 muka surat itu menghimpunkan usaha-usaha masyarakat dalam membanteras pengganasan serta memupuk perpaduan sosial.


(Gambar: ISD)

Mengambil dua tahun untuk disiapkan, bahan-bahannya turut disumbangkan golongan asatizah serta karyawan Melayu/Islam berbilang latar belakang termasuk Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Presiden PERGAS, Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.

"Selepas 21 tahun kita mendapat sokongan daripada para asatizah, cendiakawan Islam Melayu Islam di Singapura yang membantu ACG terutama sekali dan RRG, inilah kali pertama kita mengadakan himpunan para cendekiawan Melayu/Islam untuk menyumbang dalam tajuk-tajuk yang kami berikan kepada mereka. Ini bukan satu perkara yang senang. Taman bacaan mengambil langkah yang berhati-hati bersama dengan ACG untuk menentukan setiap sumbangan artikel daripada karyawan Melayu/Islam itu nanti dapat digunakan dengan sebaik mungkinnya oleh pembaca," kata Editor Bersama dan Presiden Taman Bacaan, Abdul Halim Kader.

Buku tersebut diharap akan dijadikan bahan rujukan para pendidik dan pelajar di peringkat sekolah menengah hingga ke institut pengajian tinggi.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan