Skip to main content

Singapura

Kepercayaan antara kumpulan kaum di SG meningkat, namun stereotaip bertambah: Tinjauan IPS-OnePeople.sg

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Feb 2025 06:53PM Dikemas Kini : 03 Feb 2025 11:44PM
SINGAPURA: Kepercayaan penduduk Singapura terhadap kumpulan kaum dan agama lain menyaksikan peningkatan ketara tahun lalu, walaupun stereotaip kaum juga bertambah.

Demikian menurut tinjauan yang dijalankan oleh Institut Kajian Dasar (IPS) dan pertubuhan tidak mengaut
untung OnePeople.sg.

OnePeople.sg pertama kali dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu Lee Hsien Loong pada 2007 sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan inisiatif keharmonian kaum di Singapura.

Dapatan terbaharu IPS-OnePeople.sg yang dikeluarkan pada 3 Februari menunjukkan 77.6 peratus responden mempercayai lebih separuh penduduk Cina di Singapura untuk membantu semasa krisis seperti pandemik COVID-19, manakala kira-kira dua pertiga responden mempercayai lebih separuh penduduk Melayu, India, dan Serani.

Ini satu peningkatan berbanding kajian pada 2013 dan 2018.

Sementara itu, peratusan responden yang menunjukkan ketidakpercayaan terhadap kumpulan kaum lain merosot dari 42.7 peratus pada 2013 kepada 27.2 peratus pada 2024, dengan trend serupa disaksikan untuk kumpulan agama.

Walaupun penurunan ini "menggalakkan", laporan itu menyatakan masih ada ruang untuk penambahbaikan kerana lebih satu perempat penduduk Singapura masih menunjukkan ketidakpercayaan terhadap lebih separuh kumpulan kaum lain.

Edisi ketiga kajian IPS-OnePeople.sg, yang dijalankan antara April hingga Ogos 2024, melibatkan sampel seramai 4,000 penduduk Singapura berumur 18 tahun ke atas.

Kajian ini membandingkan trend sepanjang tempoh berbeza berdasarkan 10 penunjuk keharmonian kaum dan agama seperti kepercayaan antara kaum dan perpaduan sosial.

"Penunjuk ini membolehkan kami membandingkan perubahan dalam sikap dan persepsi dari semasa ke semasa, memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kemajuan Singapura dalam mengekalkan keharmonian dan keterangkuman," menurut laporan itu.

Kira-kira tujuh daripada 10 responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa mereka tidak membiarkan kaum seseorang mempengaruhi interaksi sosial mereka - sedikit peningkatan berbanding kajian sebelumnya.

Namun, terdapat peningkatan dalam stereotaip kaum, dengan 43.5 peratus bersetuju atau sangat bersetuju bahawa mereka membuat anggapan tentang tingkah laku seseorang berdasarkan kaum mereka, berbanding 35.2 peratus pada 2018.

Kajian ini mendapati bahawa minoriti kaum, bersama dengan responden yang lebih lanjut usia, kurang berpendidikan, dan kurang berkemampuan, lebih cenderung terlibat dalam stereotaip.

Salah satu sebab adalah mungkin sikap berat sebelah dalaman yang dimiliki, di mana seseorang membuat andaian tentang orang lain seperti berdasarkan umur mereka atau cara mereka berpakaian, kata pengerusi OnePeople.sg Dr Janil Puthucheary semasa sidang media mengenai dapatan tinjauan pada Isnin (3 Feb).

Oleh itu, satu cara untuk mentafsir data itu adalah terdapat peningkatan kesedaran bagi penduduk dalam menjadi "lebih jujur ​​kepada diri sendiri" tentang andaian yang mereka bentuk apabila mereka bertemu seseorang, kata Dr Puthucheary, yang juga menteri kanan negara penerangan dan pembangunan digital merangkap kesihatan.

"Ini bukan secara automatik bermaksud andaian itu negatif," katanya, sambil menambah bahawa sebahagian daripada usaha yang dilakukan oleh OnePeople.sg adalah untuk mendidik dan melibatkan orang ramai tentang hakikat bahawa mereka mempunyai berat sebelah dalaman.

"Adalah penting untuk menyedari sikap itu dalam diri kita supaya kita dapat mengatasinya dan berkelakuan dengan cara yang sesuai dari segi budaya dan sosial... Jika anda ingin mengatakan 'tidak kira kaum, bahasa dan agama', kita perlu memahami apakah kecenderungan dalaman kita supaya kita boleh mengatasinya dan kemudian berkelakuan dengan betul."

DISKRIMINASI DI TEMPAT KERJA

Dari segi penilaian pekerjaan, majoriti (63.9 peratus) bersetuju atau sangat bersetuju bahawa kaum atau agama tidak perlu dipertimbangkan, menandakan sedikit peningkatan daripada 2018 (62 peratus).

Responden melaporkan bahawa pengalaman diskriminasi di tempat kerja susut, dengan 7 peratus melaporkan berdepan diskriminasi semasa memohon kerja atau proses kenaikan pangkat pada 2024, berbanding 9.3 peratus pada 2018.

Walaupun menurun, diskriminasi masih memberi lebih banyak kesan kepada kaum minoriti.

Dalam kalangan mereka yang melaporkan diskriminasi, 57.7 peratus merasakan bahasa yang digunakan mengecualikan mereka daripada perbualan.

Tingkah laku yang dikatakan mengecualikan sebilangan individu semasa kenaikan pangkat juga dilaporkan sebagai diskriminasi yang sering berlaku, dengan 47.7 peratus responden merasakan orang dari kaum lain dinaikkan pangkat kerana kaum mereka, bukan kelayakan.

Khususnya, 18.4 peratus responden Melayu dan 16.7 peratus responden India pada 2024 melaporkan berdepan diskriminasi kaum dalam pekerjaan atau kenaikan pangkat, berbanding 3.7 peratus responden Cina.

Secara keseluruhan, kebanyakan responden Cina melaporkan bahawa mereka tidak merasakan diskriminasi kaum dalam pekerjaan atau kenaikan pangkat.

Walau bagaimanapun, dalam memilih pekerja, responden pula sangat mengutamakan keupayaan.

Kaum dan agama dilihat sebagai tidak atau kurang penting masing-masing oleh lebih enam daripada 10 (62.3 peratus) dan tujuh daripada 10 (72.3 peratus) responden.

Majoriti responden merasakan tiada perbezaan ketara dalam usaha yang diperlukan oleh kumpulan kaum untuk mencapai kehidupan asas yang baik di Singapura atau untuk mencapai jawatan tertinggi di syarikat.

Namun, kira-kira 18 peratus responden Melayu dan India merasakan mereka perlu bekerja lebih keras berbanding yang lain untuk mencapai kehidupan asas yang baik.

Sementara itu, 25.7 peratus responden Melayu dan 21.7 peratus responden India merasakan perkara yang sama untuk mencapai jawatan tertinggi.

Kajian mencatatkan bahawa peratusan ini telah menurun sedikit antara 2.7 peratus hingga 6.2 peratus sejak 2018. Perbezaan juga diperhatikan berdasarkan umur, kaum, dan tahap pendidikan.

Responden yang lebih lanjut usia lebih percaya bahawa orang dari semua kaum bekerja keras untuk mencapai matlamat ini, manakala responden yang lebih muda berumur 18 hingga 35 tahun merasakan bahawa, secara amnya, orang Cina Singapura dan Serani tidak perlu bekerja lebih keras, manakala orang Melayu dan India Singapura perlu bekerja lebih keras.

Puncanya mungkin disebabkan oleh individu yang terdedah kepada sikap berat sebalah yang tidak disedari, kata ketua makmal sosial IPS dan rakan penyelidik utama Mathew Mathews.

"Ia lebih kepada kesedaran tentang hakikat bahawa terdapat halangan, lebih banyak perbincangan hari ini yang diakses oleh golongan muda tentang diskriminasi, tentang apa yang berlaku."

Orang ramai menjadi "lebih sedar" tentang isu tersebut berbanding mereka yang lebih lanjut usia, tambah Dr Mathews.

TAHAP KEHARMONIAN KAUM DAN AGAMA

Laporan terbaharu mendapati dua pertiga (65.4 peratus) responden pada 2024 menilai keharmonian kaum dan agama Singapura sebagai tinggi atau sangat tinggi - meningkat daripada 57.1 peratus pada 2018.

Pada masa yang sama, kaum minoriti lebih berkemungkinan menunjukkan bahawa keharmonian kaum dan agama berada pada tahap sederhana.

Responden yang lebih lanjut usia juga menunjukkan tahap keharmonian kaum dan agama yang tinggi atau sangat tinggi berbanding mereka yang lebih muda.

Seperti kajian sebelum ini, penerimaan kaum dan agama kekal tertinggi untuk perhubungan awam seperti rakan sekerja atau jiran, berbanding perhubungan peribadi seperti adik ipar atau pasangan.

Sebanyak 78.2 peratus responden berkata mereka akan menerima orang Cina tempatan sebagai adik ipar, berbanding 62.1 peratus untuk Melayu dan 62.4 peratus untuk India.

Namun, lebih ramai responden (94.4 peratus Cina, 91.3 peratus Melayu, dan 90.3 peratus India) berkata mereka akan menerima mereka sebagai rakan sekerja.

Namun begitu, penerimaan kaum dan agama untuk semua kumpulan, termasuk warga baharu, dalam hubungan awam dan persendirian telah meningkat sepanjang tiga kajian itu, kata IPS.

Lebih separuh responden (53.2 peratus) berkata mereka mempunyai sekurang-kurangnya seorang kawan rapat kaum lain, meningkat daripada 45.6 peratus sedekad lalu, tetapi menurun sedikit berbanding 2018 (55.5 peratus).

Purata bilangan kawan rapat pada 2024 ialah 6.49, menurun daripada 10.67 pada 2018 dan 8.33 pada 2013. Responden Cina kurang berkemungkinan melaporkan mempunyai kawan rapat daripada kaum lain (45.3 peratus) berbanding Melayu (72.5 peratus), India (84.5 peratus), dan "Lain-lain" (85.1 peratus).

"Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh demografi penduduk, dengan minoriti lebih berkemungkinan bertemu dan seterusnya membina persahabatan dengan orang kaum majoriti," kata laporan itu.

Responden yang lebih muda dan penghuni HDB lebih berkemungkinan melaporkan persahabatan merentas kaum berbanding rakan sejawatan mereka yang lebih lanjut usia dan kediaman harta persendirian.

Peralihan dalam bilangan persahabatan antara kaum adalah "tidak dijangkakan", kata Dr Puthucheary.

Tambahnya, persahabatan sebegitu penting untuk pendekatan Singapura dalam mengekalkan kesepaduan sosial, integrasi, keamanan dan keharmonian merentas masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa walaupun lebih ramai orang terbuka kepada persahabatan merentas kaum, mengecilkan lingkungan sosial bermakna kurang peluang untuk membentuk dan mengukuhkan persahabatan tersebut.

"Ini bukan isu Singapura, bukan hanya isu Singapura. Banyak negara menghadapi trend yang sama. Kita perlu berfikir dengan teliti tentang cara menangani cabaran ini."

KETEGANGAN

Majoriti responden pada 2024 merasakan Singapura bebas daripada ketegangan kaum dan agama.

Lebih lapan daripada 10 responden bersetuju bahawa mereka tidak mengalami ketegangan sedemikian dalam kehidupan seharian mereka.

Responden yang lebih lanjut usia dan mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan yang lebih rendah lebih berkemungkinan mempunyai pandangan positif ini, menurut dapatan laporan itu

Lebih tiga perempat daripada responden berumur 65 tahun ke atas juga berkata mereka tidak pernah berasa kecewa kerana seseorang menghina kaum atau adat kaum mereka. Ini adalah lebih tinggi daripada 42.3 peratus yang dilaporkan bagi mereka yang berumur 18 hingga 35 tahun.

Responden Cina juga lebih cenderung untuk mengatakan bahawa mereka tidak pernah berasa kecewa pada tahun lalu oleh penghinaan kaum, berbanding responden kaum minoriti.

Bagaimanapun, amalan keagamaan tertentu, seperti membakar barang-barang keagamaan dan acara yang kuat di kolong blok, "terus menjengkelkan" 13.7 peratus dan 10.1 peratus responden pada 2024, dedah laporan itu.

Ini dibandingkan dengan 16 peratus untuk pembakaran barangan keagamaan dan 9.3 peratus untuk acara dengan bunyi kuat yang dilaporkan pada 2018.

Walaupun beberapa amalan budaya kekal sebagai perkara yang menimbulkan ketegangan, 71.1 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa kepelbagaian kaum bermanfaat untuk Singapura.

Ini merupakan peningkatan 4.4 peratus daripada 2018, dengan responden Melayu dan India lebih berkemungkinan menghargai kepelbagaian berbanding rakan Cina mereka.

Responden yang lebih muda berkata mereka lebih berminat untuk belajar daripada kumpulan kaum dan agama lain.

Ini boleh menandakan bahawa naratif pelbagai budaya itu "semakin mudah diakses" kepada kohort muda warga Singapura yang telah melalui program pendidikan kebangsaan, kata IPS.

Minat untuk memahami adat dan amalan budaya lain juga telah berkembang sedikit.

Kira-kira 41.8 peratus responden bersetuju bahawa mereka berminat memahami adat kumpulan kaum lain, meningkat daripada 38.3 peratus pada 2018.

Sementara itu, 37.9 peratus berminat mempelajari kepercayaan agama lain, berbanding 33.9 peratus pada 2018. Kaum dan agama minoriti, serta responden muda lebih cenderung untuk tahu tentang adat berbeza.

Hasil tinjauan secara keseluruhan bertindak sebagai "semakan realiti" mengenai keadaan perpaduan sosial, keharmonian kaum dan agama di seluruh Singapura, kata Dr Puthucheary.

Beliau menambah bahawa tempat kerja menjadi "semakin penting" untuk usaha OnePeople.sg berhubung perpaduan sosial.

"Dalam erti kata lain, ya, keadaan semakin bertambah baik di tempat kerja, tetapi apabila keadaan semakin bertambah baik di semua ruang lain, kita perlu memberi lebih perhatian kepada apa yang berlaku di tempat kerja.

"Jadi tempat kerja menjadi kawasan tumpuan yang agak penting."

OnePeople.sg menyatakan ia sedang berusaha menangani perpecahan merentas generasi, pendidikan, dan sosio-ekonomi melalui dialog masyarakat dengan institusi pendidikan, organisasi etnik dan agama untuk memupuk pertukaran yang terbuka dan hormat.

Ini bertujuan membantu peserta memahami perspektif masing-masing dan membina hubungan yang bermakna.

Selain itu, OnePeople.sg telah melancarkan Program Kepelbagaian Tempat Kerja bersama IPS yang menghasilkan "hasil positif", dengan bengkel yang membantu organisasi mewujudkan persekitaran kerja yang inklusif.
 
Sumber : CNA/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita