Kepentingan wasiat, salah tanggap dalam perancangan harta dikupas dalam Forum Faraid WMS
SINGAPURA: Perancangan harta terutama sekali wasiat adalah penting untuk ahli keluarga atau waris dan tidak perlu tunggu sehingga sakit untuk melakukannya.
Ini bagi mengelak sebarang masalah yang timbul untuk keluarga atau sesiapa yang ditinggalkan pada belakang hari nanti.
Nasihat itu merupakan antara yang disampaikan kepada para peserta Forum Faraid Wakaf Masyarakat Singapura (WMS): Wasiat untuk Diriku yang diadakan pada Jumaat (16 Ogos) di Auditorium Masjid Sultan.
Sesi yang berlangsung sekitar dua jam itu menyaksikan para ahli panel bergilir-gilir berkongsi tentang perancangan harta dari hukum Islam khususnya tentang wasiat dan kepentingannya.
Mereka terdiri daripada Ustaz Dr Feirul Maliq Intajalle, Pengurus, Dasar Agama dan Pembangunan MUIS, Penasihat Kewangan, Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW), Hafiz Noorahman serta Peguam, K&L Gates Straits Law LLC, ILPW, Nur Liyana Mohamed Sinwan.
PENTING BUAT WASIAT; ELAK MASALAH YANG TIMBUL NANTI
Cik Liyana antaranya berkongsi tentang betapa pentingnya membuat wasiat dengan betul dan teliti.
"Penting untuk membuat wasiat kerana kita dapat memilih siapa yang kita akan amanahkan untuk mengendalikan pembahagian aset kita dan selain itu, kita juga boleh membahagikan sepertiga daripada harta kita untuk waris yang luar daripada ahli waris faraid. Jadi antaranya mungkin sebab kita semua mempunyai unit keluarga yang berbeza dan mungkin ada hal di masa depan yang kita tak tahu dan kita tak boleh pastikan sekarang," kongsi Cik Liyana kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Tanpa membuat perancangan yang betul ataupun dengan teliti, mungkin ada perkara di ke belakang hari yang akan timbul dan menjadi masalah untuk keluarga atau sesiapa yang kita tinggalkan nanti," tambahnya.
Dalam pada itu, beberapa salah tanggap juga cuba diperbetulkan anggota panel.
Antaranya tentang kerumitan proses membuat wasiat dan adakah perancangan harta itu hanya bagi yang kaya atau berusia.
Aspek-aspek perancangan harta seperti penamaan CPF dan insurans, wasiat dan hibah turut dikongsikan dalam forum itu.
"Melalui forum ini, diharapkan bahawa para hadirin dan juga masyarakat kita dapat lebih mengetahui tentang aspek yang membuat wasiat itu sah, apa yang perlu diadakan untuk memenuhi syarat wasiat dan antaranya bahawa membuat wasiat itu mudah tetapi kita juga perlu mendapatkan nasihat guaman ataupun dari pakar-pakar yang tahu dan mahir tentang apa yang perlu ada dalam wasiat itu," ujar Cik Liyana.
PESERTA ALU-ALUKAN SESI FORUM; PELAJARI TENTANG PERANCANGAN WASIAT
Bagi lebih 300 peserta yang hadir, mereka rata-rata senang dengan maklumat serta ilmu yang mereka raih daripada sesi forum berkenaan.
Ini termasuk Cik Darwati Mustafa, 61 tahun.
"Secara kebetulan, mak saya baru meninggal dunia minggu lepas jadi adik-beradik pun akan berbincang tentang harta ibu saya jadi kerana itu saya rasa lebih bermanfaat untuk saya hadiri sesi hari ini," kongsi Cik Darwati.
"Saya juga ingin membuat wasiat untuk diri saya sendiri jadi saya ingin tahu apa yang patut diwasiatkan untuk anak-anak saya nanti sebelum saya meninggal dunia," tambah beliau.
Bagi Encik Haron Mename pula, 67 tahun, banyak perkara tentang wasiat dan faraid dapat beliau pelajari dalam sesi itu.
"Banyak yang saya dapat pelajari hari ini. Apa-apa pelajaran yang belum saya tahu, malam ini semua telah terbongkar seperti ilmu mengenai wasiat, faraid dan banyak juga perkara-perkara yang baharu, yang perlu saya tahu dan perlu saya rancang sebelum saya meninggal dunia iaitu wasiat," kongsi Encik Haron.
"Ilmu ini kalau tidak ada dan ditinggalkan atau dilupakan, ia akan pupus dan ia tidak akan diamalkan langsung. Jadi wasiat ini juga penting bagi kita (sebagai) seorang Islam untuk memperkembangkan ilmu kita dan mengembangkan harta kita yang dirancang secara sistematik dan secara yang sempurna agar harta kita itu tidak tidak diperuntukkan kepada yang lain," tambah beliau.
WMS SATU WADAH BERBENTUK SUKARELA
Forum itu merupakan antara acara yang dianjurkan sempena Bulan Wakaf.
Ia menampilkan beberapa acara untuk masyarakat daripada pelbagai lapisan usia meraih pengetahuan tentang wakaf, Perancangan Legasi Islam dan WMS.
Ia juga platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang inisiatif baharu WMS.
"Antara salah tanggapan yang ada di luar sana tentang WMS ialah ramai yang memikirkan bahawa wakaf ini sesuatu yang wajib dilakukan tetapi sebaliknya WMS merupakan satu wadah yang berbentuk sukarela di mana masyarakat kita boleh menyumbang sebahagian daripada aset mereka bagi tujuan sedekah jariah jadi ia bukan sesuatu yang diwajibkan ke atas semua masyarakat Islam di Singapura," kongsi Timbalan Pengarah Dana Masyarakat MUIS, Shamsul Hadi Jangarodin.
"Di sini, WMS berbeza daripada tabung-tabung derma ataupun sumbangan seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) dan juga dana kepada masjid dan madrasah yang lebih berbentuk kepada sumbangan wang tunai ke dalam tabung tetapi di sini, kita ingin mengajak masyarakat membuat perancangan lebih awal jadi sumbangan yang mereka boleh lakukan ini lebih berbentuk kepada pemberian yang dirancang yang boleh diagihkan apabila mereka tiada lagi di dunia ini," tambah beliau.
Acara lain yang dianjurkan sempena Bulan Wakaf termasuk Jejak Warisan Wakaf di kawasan Kampong Gelam pada 24 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.