Kepentingan kesihatan masyarakat menjadi keutamaan, kata Dr Maliki
Kepentingan kesihatan masyarakat harus menjadi keutamaan dengan adanya penularan wabak COVID-19 sekarang.
(Gambar hiasan: Mediacorp)
SINGAPURA: Kepentingan kesihatan masyarakat harus menjadi keutamaan dengan adanya penularan wabak COVID-19 sekarang.
Demikian menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman di laman Facebook hari ini (18 Mac) sebagai mengulas pembatalan bazar Raya tahun ini.
"Keputusan untuk tidak mengadakan Bazar Raya di Geylang Serai, Tampines dan Woodlands merupakan satu keputusan yang amat sukar tetapi yang harus dilakukan ketika ini," kata Dr Maliki.
Beliau yang juga Datuk Bandar Daerah Tenggara akur keputusan itu sukar, terutama sekali bagi bazar Geylang Serai yang ikonik bagi masyarakat Melayu/Islam serta masyarakat am dan pelancong.
"Meskipun pelbagai perancangan dan penyesuaian telah dibincangkan dan diambil kira dengan teliti, namun dengan adanya penularan wabak Covid-19 sekarang, maka kepentingan kesihatan masyarakat harus menjadi keutamaan," jelas beliau.
AKAN "MENGECEWAKAN" RAMAI NAMUN PENYESUAIAN PERLU DILAKUKAN
Dr Maliki, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Wisma Geylang Serai (WGS) malah maklum bahawa keputusan membatalkan bazar Raya "akan mengecewakan ramai, lebih-lebih lagi para peniaga kita yang ghairah untuk menjual produk-produk Hari Raya mereka."
Bagaimanapun, beliau menjelaskan penyesuaian perlu dilakukan dalam mengharungi masa-masa sukar sebegini.
"Saya harap masyarakat faham dengan keputusan yang dibuat dan sama-sama dapat kita membendung penularan COVID-19 ini," kata Dr Maliki.
Lebih dua juta orang mengunjungi Bazar Raya Geylang Serai tahun lalu, sekali gus mencatat jumlah pengunjung yang tertinggi setakat ini.
Jumlah tersebut juga mengatasi 1.8 juta pengunjung di bazar tersebut pada 2018.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.