Skip to main content

Singapura

Kepelbagaian kepakaran dalam kepimpinan SCIS penting lahirkan asatizah masa depan yang relevan: Dr Faishal Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:
Kepelbagaian kepakaran dalam kepimpinan SCIS penting lahirkan asatizah masa depan yang relevan: Dr Faishal Ibrahim
Jawatankuasa Pemandu SCIS dianggotai 19 individu, dengan dipengerusikan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
SINGAPURA: Kepelbagaian latar belakang dan kepakaran dalam Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) penting bagi memastikan generasi asatizah masa hadapan bukan sahaja kukuh dalam ilmu agama, tetapi juga bersedia membimbing masyarakat dalam konteks Singapura yang berbilang kaum dan budaya.

Perkara itu dikongsi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu video yang dimuatnaik di akaun Facebook dan Instagram beliau hari ini (28 Jan).

Menurut Dr Faishal, harapan beliau adalah agar SCIS dapat melahirkan generasi baharu asatizah yang teguh dalam pengetahuan dan nilai Islam, serta berupaya membimbing masyarakat untuk terus maju dan menyumbang kepada negara.

Beliau menekankan bahawa SCIS memerlukan dua perkara utama: kepimpinan agama yang kukuh serta hubungan yang erat dengan institusi lain dalam masyarakat majmuk Singapura, khususnya dalam hal berkaitan agama dan ajaran keagamaan.

Tanggungjawab ini, katanya, merupakan satu amanah yang dipikul para ilmuwan Islam tempatan.

Mufti Singapura akan menerajui usaha tersebut, dengan sokongan para sarjana Islam tempatan.

Pada masa yang sama, SCIS juga akan bekerjasama dengan sarjana terkemuka dunia, termasuk Mufti Besar Mesir, Dr Nasir Muhammad Ayyad, serta institusi pengajian Islam seperti Dar Al-Ifta, Universiti Al-Azhar, Universiti Al-Qarawiyyin dan Universiti Jordan.

Kerjasama ini, menurut Dr Faishal, akan memastikan ajaran agama terus berteraskan tradisi dan prinsip Islam yang sahih.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim secara rasmi mengumumkan pembentukan Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) di acara Simposium SCIS. (Gambar: Facebook/Paul Hedges)
Dalam catatannya, beliau turut menekankan bahawa peranan asatizah hari ini melangkaui pengajaran ilmu agama semata-mata.

Mereka juga menyokong masyarakat dalam cabaran kehidupan sebenar seperti perkahwinan, pendidikan, kekeluargaan dan pekerjaan.

Sehubungan itu, SCIS akan bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi membangunkan pendekatan antara disiplin yang menggabungkan pengajian Islam dengan kemahiran kepimpinan serta kemahiran profesional dalam bidang sains sosial.

Menurut Dr Faishal, pendekatan ini akan membuka pelbagai laluan kerjaya kepada lulusan SCIS untuk berkhidmat kepada masyarakat, termasuk sebagai guru agama dan juga profesional khidmat sosial yang mempunyai pemahaman kukuh tentang prinsip Islam.

Beliau turut menyifatkan kepelbagaian latar belakang profesional dalam Lembaga Pentadbir dan Jawatankuasa Pemandu SCIS — yang merangkumi anggota Muslim dan bukan Muslim — sebagai satu kekuatan penting dalam usaha membangunkan institusi tersebut.

Dr Faishal menambah, beliau menghargai sokongan semua pihak agar SCIS dapat berfungsi dengan baik demi berkhidmat kepada masyarakat Islam Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita