Kepalsuan Online: Saranan banteras sebaran berita palsu bukan untuk sekat kebebasan bersuara
Saranan-saranan yang dikemukakan untuk mencegah penyebaran berita palsu dalam talian bukan satu percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara, jelas Anggota Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online Disengajakan, Cik Rahayu Mahzam.
Bakal Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan (MOH), Cik Rahayu Mahzam.
SINGAPURA: Saranan-saranan yang dikemukakan untuk mencegah penyebaran berita palsu dalam talian bukan satu percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara, jelas Anggota Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online Disengajakan, Cik Rahayu Mahzam.
Ia sebaliknya bertujuan untuk menggalak perbincangan sihat yang berlandaskan maklumat benar dan bukan kepalsuan atau tuduhan membabi buta, tambah beliau.
Ditemui selepas sidang media hari ini di mana jawatankuasa itu mendedahkan dapatan serta saranannya bagi mencegah penyebaran kepalsuan online, Cik Rahayu berkongsi bahawa salah satu perkara yang diutarakan semasa sidang awam dan juga dalam perwakilan bertulis adalah mengenai pentingnya mewujudkan sekitaran yang 'bebas kepalsuan' bagi menggalak kebebasan untuk bersuara.
"Bahawasanya penting untuk ini berlaku dalam keadaan yang mana kita semua boleh percaya akan sumber-sumber dan ia berlaku dalam konteks di mana sesuatu yang betul dan pasti itu adalah sesuatu yang diutamakan, bukan kepalsuan semata."
"Jadi kita perlu melihat ini sebagai saranan-saranan yang progresif untuk membina masyarakat yang terdidik, masyarakat yang bertanggungjawab dan berilmu yang membawa ilmu, informasi dan pendapat mereka ke perbincangan itu dalam suasana di mana kita tidak perlu sangsi antara satu sama lain," tambah Cik Rahayu.
Dalam laporannya, jawatankuasa itu menyatakan bahawa salah satu cara untuk mencegah penyebaran kepalsuan adalah dengan campur tangan pihak pemerintah. Ia menyarankan agar pemerintah diberikan kuasa menerusi penggubalan undang-undang bagi membolehkannya untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.
Namun Cik Rahayu menekankan bahawa itu bukan satu-satunya huraian bagi menangani masalah penyebaran maklumat palsu.
Usaha untuk memupuk sebuah masyarakat yang 'terdidik' dan tahu membezakan antara yang benar dan palsu juga penting dan ia perlu dimulakan dari bangku sekolah lagi.
"Salah satu saranan yang kami berikan adalah untuk memperbaiki pendidikan. Kami sarankan satu struktur atau garis panduan nasional untuk mempermudahkan atau memperluaskan pendidikan dalam kalangan pelajar di mana mereka benar-benar faham apakah motivasi, apakah agenda agensi-agensi yang menyebarkan kepalsuan ini, memberikan mereka informasi bagaimana mereka boleh menjadi lebih kritis dalam pemikiran mereka, dapat membezakan yang baik dengan yang tidak," kongsi Cik Rahayu.
Beliau juga berkata pendekatan menyeluruh yang menjangkaui pelbagai bidang itu diperlukan supaya keupayaan negara dan penduduk dapat dipertingkat dalam menangani fenomena penyebaran kepalsuan yang semakin berleluasa.
"Jadi ini adalah sesuatu yang perlu kita basmi dan perlu ada usaha yang menyeluruh. Kami ada saranan-saranan yang sebanyak 22 merangkumi pelbagai aspek - aspek pendidikan, perundangan yang kami rasa perlu dipertimbangkan dan diseimbangkan supaya kami dapat penyelesaian yang sesuai untuk negara ini," tambah beliau lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.