Skip to main content

Singapura

Kepalsuan online 'lebih mencabar' dengan peningkatan AI; media main peranan penting: DPM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Kepalsuan online 'lebih mencabar' dengan peningkatan AI; media main peranan penting: DPM Wong

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berucap di majlis ulang tahun ke-25 CNA pada 19 Mac 2024. (Gambar: Jeremy Long/CNA)

Diterbitkan : 19 Mar 2024 10:25PM Dikemas Kini : 19 Mar 2024 10:26PM
SINGAPURA: Dengan kebohongan dan maklumat salah tersebar “lebih cepat” daripada fakta, kepalsuan online akan menjadi “lebih mencabar” untuk ditangani dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (Mac 19).

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata pemerintah akan memainkan peranannya untuk mengawal ancaman itu, merujuk kepada undang-undang seperti Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online atau POFMA, dan Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) (FICA) untuk menangani kempen maklumat berniat jahat.

Bercakap di sambutan ulang tahun ke-25 jenama berita dan ehwal semasa Mediacorp, CNA di Capella Singapore, beliau menambah bahawa pemerintah juga akan terus mendidik orang ramai tentang cara berwaspada terhadap kepalsuan.

“Tetapi saluran media seperti CNA juga harus memainkan peranan. Pemeriksaan fakta yang ketat kekal sebagai pertahanan terbaik kami terhadap maklumat salah dan kepalsuan," katanya.

“Kita juga harus memanfaatkan teknologi untuk membantu kita dalam melakukan tugas ini. Dan saya gembira kerana CNA melakukan perkara itu, dengan membangunkan bot interaktif AI untuk wartawan menyemak fakta dan meningkatkan ketepatan dan keberkesanan alat pengesanan anda,” kata Encik Wong.

Sempena majlis ulang tahunnya itu, CNA mengumumkan rancangan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan dalam pasaran serantau dan antarabangsa.

Ini termasuk mengukuhkan liputan mengenai China, memperkenalkan jenamanya di Amerika Utara, Kanada dan UK, serta melancarkan buletin baharu mengenai Asia Timur.

LANDSKAP MEDIA BERUBAH-UBAH

Dalam ucapannya itu, Encik Wong menarik perhatian landskap media yang telah berubah "secara dramatik" sejak 25 tahun yang lalu.

Dengan tumpuan yang semakin meningkat terhadap Asia dalam hal ehwal global, lebih banyak syarikat penyiaran antarabangsa, sedang meningkatkan rancangan berasaskan Asia, dan penyiar serantau baharu juga telah memasuki pasaran.

"CNA mungkin mempunyai kelebihan, tetapi landskap sekarang sudah menjadi lebih kompetitif," katanya.

Kebangkitan internet tambahnya membawa perubahan yang lebih besar.

Saluran berita mesti bersaing untuk pendapatan pengiklanan dengan syarikat utama seperti Google dan syarikat induk Facebook, Meta, yang "sangat baik" dalam menyasarkan penonton. Mereka juga perlu bersaing bagi perhatian penonton "dari Netflix hingga ke TikTok".

"Ini semua disebabkan terutamanya oleh internet dan media sosial yang telah membolehkan lebih banyak persaingan - begitu banyak kandungan alternatif yang hebat tersedia online, dihasilkan pencipta kandungan yang sangat kreatif dan diedarkan terus kepada penonton di seluruh dunia."

Encik Wong juga menarik perhatian perjalanan transformasi digital Mediacorp dan CNA sejak lebih 20 tahun lalu, dengan sokongan pemerintah.

Beliau berkongsi penglibatannya dalam beberapa usaha ini semasa di Kementerian Perhubungan dan Penerangan, dan dapat melihat "kesan perubahan ini".

Ini termasuk menyegarkan kehadiran digital untuk mendekati penonton baharu dan melancarkan aplikasi mudah alih untuk menyampaikan berita dengan lebih pantas kepada pengguna.

“CNA kini merupakan salah satu aplikasi yang paling banyak digunakan di Singapura,” kata Encik Wong, sambil merujuk kepada pelancaran MeWatch dan kandungan TV online - secara langsung dan atas permintaan.

Beliau juga menarik perhatian kepada alat analitik data yang sedang dibangunkan untuk memahami cara penonton melihat kandungan digital untuk mendapatkan maklumat lebih baik untuk pengiklan.

“Melalui usaha ini, CNA telah mengembangkan jangkauannya, dan meningkatkan nilai tambahnya kepada pengiklan. Ditambah dengan usaha anda untuk menyediakan kandungan yang berkesan dan menarik, CNA telah berjaya kekal relevan dan mengekalkan tahap kepercayaan awam yang tinggi,” katanya.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita