Skip to main content

Singapura

Kenyataan WP mengenai Noor Deros seharusnya lebih jelas, kata Pritam Singh

Anggaran Waktu Membaca:
Kenyataan WP mengenai Noor Deros seharusnya lebih jelas, kata Pritam Singh

Ketua Parti Pekerja Pritam Singh (kiri) dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berucap di Parlimen pada 14 Oktober 2025.

Diterbitkan : 14 Oct 2025 09:38PM Dikemas Kini : 14 Oct 2025 09:40PM
SINGAPURA: Ketua Pembangkang Pritam Singh menerima bahawa kenyataan Parti Pekerja (WP) mengenai guru agama Noor Deros semasa Pilihan Raya Umum 2025 mungkin boleh lebih jelas, namun beliau juga berkata WP tidak mahu menarik perhatian kepada "seseorang yang tidak terkenal".

Encik Pritam berkata demikian di Parlimen semasa pertukaran pendapat bersama Menteri Ehwal dalam Negeri K Shanmugam, yang menyampaikan kenyataan kementerian mengenai pempolitikan isu kaum dan agama pada Selasa (14 Okt).

Dalam penjelasannya, Encik Pritam berkata: "Kami menyatakan pandangan kami dengan jelas mengenai campur tangan asing. Saya faham Menteri mengatakan bahawa... kenyataan mengenai Noor Deros seharusnya lebih jelas. Saya terima itu. Saya rasa kita boleh menjadikan beberapa perkara lebih jelas."

Semasa tempoh berkempen pada April, Encik Noor membuat tuntutan secara terbuka kepada parti-parti politik sebagai ganti mendapatkan sokongannya; mendakwa sudah bertemu dengan semua calon Melayu Parti Pekerja; dan menggesa pengundi di Tampines supaya mengundi calon utama WP Encik Faisal Manap berbanding calon utama PAP, iaitu Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada ketika itu, Masagos Zulkifli.

Pada masa yang sama, dua ahli politik dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) juga menyatakan sokongan secara terbuka untuk Encik Faisal dan berkata ahli parlimen Melayu-Islam PAP tidak boleh dipercayai.

Dalam respons, WP mengeluarkan kenyataan pada 26 April lalu yang menyatakan ia tidak mempunyai kuasa terhadap parti-parti asing yang menyatakan sokongan untuk calonnya; mengesahkan tiada sebarang janji, komitmen atau perjanjian dibuat kepada Encik Noor sebagai ganti mendapatkan sokongan politik; dan mengesahkan komitmen parti untuk tidak mencampuradukkan agama dan politik.

Pada Selasa, Encik Shanmugam mempertikaikan apa yang beliau katakan adalah penangguhan masa dan kandungan yang kurang jelas dalam kenyataan WP mengenai Encik Noor.

Encik Pritam, dalam penjelasannya berkata beliau tidak tahu siapa itu Encik Noor sebelum pilihan raya.

"Saya tidak pasti sama ada menteri itu mengenali beliau atau kementerian mengenalinya, melainkan beliau bersama MUIS atau berkhidmat dengan MUIS pada satu ketika dalam beberapa kapasiti," katanya, merujuk kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

"Tetapi setakat yang berkaitan dengan WP, kami tidak mempunyai bilik operasi atau Pejabat POFMA untuk memantau apa yang dikatakan oleh warga asing atau orang ramai tentang politik, dan di mana mereka mungkin memasuki wilayah yang berbahaya," katanya, merujuk kepada Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA).

"Namun sekiranya ada sesuatu yang tidak diingini atau tidak kena, Parti Pekerja tidak segan untuk tampil dan cuba menyelesaikan isu tersebut."

Encik Pritam menambah 'kesan Streisand' adalah salah satu faktor yang dipertimbangkan oleh WP dalam menangani komen Encik Noor.

Ia merujuk kepada fenomena di mana usaha untuk menyembunyikan atau menapis suatu bahan maklumat tidak sengaja menyebabkan ia diuar-uarkan kepada orang ramai.

Beliau juga berkata Encik Noor sebenarnya "hadir tanpa dijemput" satu mesyuarat yang dihadiri oleh Encik Faisal dengan beberapa individu lain.

"Tiada petunjuk bahawa individu itu akan menghadiri mesyuarat itu. Jadi apabila mesyuarat itu bermula, beliau ada, dan menurut pemahaman saya, beliau mempunyai senarai tuntutan," kata Encik Pritam.

KETIDAKSEIMBANGAN MAKLUMAT

Encik Pritam juga berkata terdapat "ketidakseimbangan maklumat".

"Pemerintah mempunyai perspektif yang jauh lebih luas berbanding parti politik kecil. Dan maksud adalah jika ia cukup serius, menurut kata-kata menteri, untuk Perdana Menteri mengambil langkah, seperti menghentikan kempen di pertengahan jalan untuk menjelaskan sesuatu perkara, saya tidak rasa ia terlalu sukar untuk menghubungi semua parti politik demi kepentingan negara untuk mendapatkan penjelasan itu juga, sebagai satu Singapura. Saya harap menteri boleh pertimbangkannya di masa hadapan," katanya.

Encik Pritam merujuk kepada sidang media pada 26 April yang diadakan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong di tengah-tengah tempoh berkempen pilihan raya bagi menolak percubaan untuk mencampuradukkan kaum dan agama ke dalam politik.

Menyangkalnya, Encik Shanmugam berkata: "Jika terdapat sebarang ketidakseimbangan maklumat, ia adalah kerana Parti Pekerja mempunyai semua maklumatnya, kerana pemerintah mahupun PAP tidak bertemu dengan Encik Deros.

"Sehingga hari ini, saya tidak tahu apa yang diperkatakan. Saya hanya tahu apa yang beliau laporkan sebagai telah dikatakan. Dan saya tahu bahawa tiada apa-apa yang dikatakan oleh Parti Pekerja tentang apa yang berlaku, melainkan tiada janji, komitmen atau perjanjian dibuat."

Encik Shanmugam menambah bahawa "walaupun dengan ketidakseimbangan maklumat", jelas apa yang dilakukan oleh Encik Noor "tidak boleh diterima".

Beliau menambah, Encik Pritam "mempunyai pengetahuan yang mencukupi" untuk mengeluarkan "penolakan yang jelas dan tegas" apabila ahli politik PAS cuba campur tangan dalam pilihan raya.

"Beliau adalah, seperti yang digambarkan oleh Encik Low (Thia Khiang), seorang ahli politik yang memahami politik. Beliau dapat melakukan demikian selepas perdana menteri memohon penolakan jelas. Beliau tidak melakukan demikian dan Parti Pekerja juga tidak melakukan demikian mengenai Deros," kata Encik Shanmugam yang merujuk kepada pendahulu Encik Pritam sebagai ketua WP.

Encik Shanmugam juga berkata sebagai "seorang ahli politik yang baik, bermakna seorang ahli politik yang memahami politik", maka "kekurangan respons yang jelas, respons yang samar-samar, pasti merupakan pilihan yang disengajakan berdasarkan perhitungan kepentingan".

Encik Shanmugam juga berkata pemerintah akan menimbangkan cadangan Encik Pritam bagi pemerintah untuk menghubungi parti politik secara langsung jika perkara itu cukup serius.

Namun beliau juga berkata: "Jika anda mahu pemerintah beritahu anda apa yang harus dilakukan dan tidak sepatutnya dilakukan di tengah-tengah pilihan raya, pemerintah juga berhati-hati supaya tidak dilihat cuba mencampuri urusan setiap parti politik. Jadi kita perlu berhati-hati kerana ia boleh dipolitikkan."

"Mungkin Encik Pritam mengalu-alukan panggilan telefon untuk mengatakan, "ini tidak boleh diterima". Tetapi saya boleh bayangkan beberapa parti politik lain mungkin berkata anda cuba mengugut saya di tengah-tengah Pilihan Raya Umum. Jadi kita perlu berhati-hati."
 
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita