Kenyataan Tambahan kepada Ucapan Presiden: Memacu ketersambungan global S'pura untuk perkukuh ekonomi, wujudkan kerja
Memandangkan ketersambungan terus kekal 'penting' bagi Singapura, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan berusaha untuk memperbaiki ketersambungan negara ini dengan negara-negara serantau dan di dunia, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (8 Mei).
SINGAPURA: Memandangkan ketersambungan terus kekal 'penting' bagi Singapura, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan berusaha untuk memperbaiki ketersambungan negara ini dengan negara-negara serantau dan di dunia, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (8 Mei).
Ketersambungan yang baik memperkukuh ekonomi, mewujudkan pekerjaan-pekerjaan yang baik dan meningkatkan mutu kehidupan bagi rakyat Singapura, tambah Encik Khaw dalam kenyataan tambahan kementeriannya kepada ucapan Presiden.
Presiden Halimah Yacob menyampaikan ucapan sulungnya di Parlimen sebagai Presiden malam semalam (7 Mei), membentangkan keutamaan pemerintah bagi baki penggalnya.
Tambahan MOT menyentuh salah satu daripada lima tema utama yang digariskan dalam Ucapan Presiden Halimah: Menjadikan Singapura sebuah Bandar Bertaraf Dunia dan Tersambung Baik dengan Dunia.
Bagi mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai bandar bertaraf dunia dan pusat pengangkutan utama antara Asia dan dunia, MOT akan terus membuat pelaburan dalam prasarana pengangkutan.
Ini termasuk meluaskan Lapangan Terbang Changi dan membina Pelabuhan Tuas 'generasi seterusnya'.
Encik Khaw berkata bahawa sektor penerbangan dan maritim adalah 'tunggak ekonomi Singapura' yang secara keseluruhannya menyumbang kepada lebih 10 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dan menyediakan 250,000 pekerjaan. Bagaimaanpun, beliau memberi amaran bahawa keadaan ini tidak boleh diambil sambil lewa.
"Banyak negara di rantau ini yang sedang berusaha sedaya upaya untuk menggantikan kami, dengan laluan kapal dan pesawat yang memintas Singapura," kata Encik Khaw. Pelabuhan Tuas dan Terminal 5 di Lapangan Terbang Changi akan mengukuhkan kelebihan Singapura 'untuk meraih peluang baru dan mencatat pertumbuhan yang lebih baik,' tambah beliau.
Inisiatif baru yang menghubungkan Singapura dengan Malaysia termasuk perkhidmatan Kereta api Berkelajuan Tinggi (HSR) juga sedang dibangunkan. Ia akan menghasilkan peluang bagi bekerja dan beriadah selain memberi kedua-dua negara taruhan lebih besar dalam kejayaan masing-masing, kata Encik Khaw.
Selain mengekalkan ketersambungan dengan ekonomi dunia, keutamaan MOT yang dibentangkan dalam kenyataan tambahan itu termasuk pelan untuk memperbaiki pengangkutan awam dan mobiliti aktif di Singapura.
Contohnya, rangkaian kereta api ditambah lagi 130 kilometer menjelang 2030 dengan pembinaan Laluan Thomson-East Coast yang sedang dijalankan dan projek-projek yang bakal dilaksanakan seperti Laluan Daerah Jurong dan Laluan Rentas Pulau.
Kerja-kerja menggantikan aset akan terus dipercepatkan selain kerja-kerja penyenggaraan laluan MRT lama yang lebih intensif dengan masa bekerja yang ditambah untuk memastikan pengendalian kereta api yang lebih dipercayai.
Rangkaian berbasikal dan kemudahan meletakkan basikal akan ditambah di bandar-bandar HDB sebelum 2030, selain rangka kerja pelesenan baru yang akan diperkenalkan bagi pengendali basikal sewa dan pendaftaran bagi e-skuter yang diwajibkan menjelang hujung tahun ini.
Selain itu, usaha-usaha juga sedang dalam perancangan untuk menjadikan pengangkutan awam Singapura lebih inklusif seperti menyediakan akses kerusi roda di bas awam dalam masa dua tahun.
Menjelang 2022, jumlah jejantas pejalan kaki akan digandakan manakala 50 lokasi yang menampilkan ciri mesra warga tua yang dikenali sebagai 'Zon Perak' akan siap pada 2023.
Teknologi juga akan dimanfaatkan untuk memperbaiki operasi pengangkutan. Ini melibatkan penggunaan analisis data untuk mengelak kerosakan pada rangkaian laluan kereta api terlebih dahulu dan penggunaan analisis ramalan, pembelajaran mesin dan alat data lain dalam bidang seperti pengurusan trafik udara dan laut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.