Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenyataan tambahan kepada Ucapan Presiden: MCCY, MOF akan ganding bahu dengan rakyat; bangkit lebih kukuh daripada pandemik

Dua kementerian dan empat agensi di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Jumaat (28 Ogos) membentangkan rancangan masing-masing untuk membina kerjasama serta kepercayaan yang kukuh antara Pemerintah dengan rakyat dalam kenyataan tambahan kepada ucapan Presiden Halimah Yacob. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kenyataan tambahan kepada Ucapan Presiden: MCCY, MOF akan ganding bahu dengan rakyat; bangkit lebih kukuh daripada pandemik
Diterbitkan : 28 Aug 2020 08:44PM Dikemas Kini : 28 Aug 2020 08:48PM

SINGAPURA: Dua kementerian dan empat agensi di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Jumaat (28 Ogos) membentangkan rancangan masing-masing untuk membina kerjasama serta kepercayaan yang kukuh antara Pemerintah dengan rakyat dalam kenyataan tambahan kepada ucapan Presiden Halimah Yacob.

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Kewangan (MOF) serta empat divisyen PMO - Kumpulan Strategi, Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Pejabat Dasar dan Rancangan Sains dan Teknologi serta Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) - mengeluarkan kenyataan tambahan masing-masing.

Semua kenyataan tambahan itu membentangkan inisiatif dan langkah yang akan diambil agensi masing-masing untuk memenuhi keutamaan bagi penggal baru pemerintah, seperti yang dilakarkan Puan Halimah semasa semasa membuka Parlimen ke-14, pada Isnin.

Pada Isnin depan (31 Ogos), Parlimen akan bersidang untuk membahaskan Ucapan Presiden dalam Usul Ucapan Terima Kasih.

Berikut adalah beberapa keutamaan penting bagi MCCY dan MOF serta empat agensi PMO itu.

KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, MASYARAKAT DAN BELIA

Dalam ucapan Puan Halimah beliau menggariskan perlunya untuk mendakap idea-idea baru. Kerencaman pandangan, idea serta aspirasi negara kata Presiden Halimah boleh menjadi "sumber kekuatan" dalam sebuah dunia yang berubah-ubah. Bagi mencapai itu, MCCY akan mengutamakan kerjasama dengan rakyat Singapura untuk membina sebuah masyarakat yang berdaya tahan dan penyayang.

Ini akan dilakukan dengan:

  • Mengadakan "Perbincangan Bangkit Lebih Kukuh" sebagai wadah bagi warga Singapura untuk "merenungkan dan meninjau kembali masa depan bersama", dengan membincangkan pengalaman mengharungi krisis serta melaksanakannya
  • Mengembangkan usaha kesukarelawanan menerusi gerakan SG Cares
  • Bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dalam masyarakat kesenian, warisan dan sukan

MCCY juga mahu mewujudkan peluang bagi belia untuk berkembang maju. Ia akan menubuhkan sebuah "pasukan digital" meliputi sehingga 1,000 belia terlatih yang akan dikerahkan untuk membantu masyarakat serta pertubuhan sektor sosial ke arah pendigitalan.

Kementerian itu juga akan bekerjasama dengan pertubuhan sektor beliau untuk melatih golongan itu dalam perancangan kepimpinan dan kewangan selain mencipta sumber-sumber kesejahteraan mental secara online.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berikrar untuk berganding bahu dengan semua rakyat Singapura. Beliau berkata: "Kesepakatan sosial, perpaduan dan rasa tanggungjawab sivik yang kuat sudah lama menjadi tunggak masyarakat Singapura. Nilai-nilai ini kini lebih lagi sedang kita melawan COVID-19 sebagai sebuah negara."

KEMENTERIAN KEWANGAN

MOF akan berusaha ke arah mengekalkan sebuah Pemerintah lebih inovatif lagi berkesan. Ini di samping membangunkan sebuah sistem fiskal adil dan progresif yang terus memupuk mobiliti sosial berterusan sementara meningkatkan golongan lemah atau mudah terjejas.

Bagi mengukuhkan hubungan pemerintah dan masyarakat, MOF juga akan menggunakansumber-sumber untuk mengekalkan mobiliti sosial dan peluang untuk semua seperti dengan menggandakan perbelanjaan tahunan bagi pendidikan prasekolah yang dimampui dalam beberapa tahun akan datang daripada peringkat 2018.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata pakej-pakej fiskal utama - bernilai S$100 bilion keseluruhannya - dilancarkan untuk mengatasi kesan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi sudahpun memberi sokongan besar kepada rakyat tetapi beliau menambah bahwa "tahap bantuan sedemikian tidak dapat diteruskan buat selama-lamanya".

Sebaliknya, MOF akan membantu perniagaan dan pekerja untuk membuat penyesuaian serta berkembang dalam sebuah ekonomi yang dibentuk semula "secara hebat" oleh COVID-19.

"Untuk mengatasi krisis ini, kita menggunakan rizab negara, sama dengan lebihan belanjawan lebih 20 tahun yang lalu. Kami menggunakan penjimatan satu generasi untuk memerangi krisis satu generasi.

"Oleh itu, kita harus memastikan keseimbangan fiskal kita kembali stabil apabila ekonomi pulih," kata Encik Heng yang menggambarkan persekitaran fiskal masa depan sebagai suatu yang mencabar.

MOF berikrar untuk:

  • Mempercepat inovasi dan pendigitalan negara merangkumi firma-firma di kesemua 23 Peta Transformasi Industri, yang merupakan pelan induk untuk menyiapkan pelbagai industri bagi ekonomi masa hadapan
  • Mengukuhkan kedudukan pendapatan Pemerintah untuk membiayai keperluan yang semakin meningkat, terutama dalam perbelanjaan jagaan kesihatan dan masyarakat, dengan cara yang mendorong tanggungjawab bersama, seperti melalui kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dari 7 peratus kepada 9 peratus menjelang 2025
  • Membangunkan rangka kerja bagi pinjaman secara bertanggungjawab dan terurus untuk membiayai pelaburan prasarana jangka panjang
  • Memantau rapi masa menaikkan GST atau pinjaman kepada prasarana kewangan. Kenaikan GST tidak akan berkuat kuasa pada 2021 seperti diumumkan dalam Belanjawan Perpaduan

KUMPULAN STRATEGI

Kumpulan Strategi, yang bertanggungjawab menggerakkan keseluruhan rancangan strategik pemerintah, akan mengutamakan usaha silang kementerian untuk menyemak agenda dasar jangka panjang Singapura. Ini termasuk menyelaraskan dasar-dasar ekonomi dan sosial untuk membolehkan rakyat Singapura mendapat akses lebih baik kepada pekerjaan dan peluang setelah pandemik berakhir.

Ia akan:

  • Bekerjasama dengan majikan dan masyarakat untuk terus menyokong rakyat mendirikan rumah tangga dan membina keluarga bagi meringankan kesan COVID-19 ke atas pasangan muda
  • Mengambil pendekatan yang disesuaikan bagi memastikan bahawa dasar-dasar imigresen membolehkan rakyat Singapura meraih manfaat daripada pekerjaan serta peluang yang lebih baik sambil mengalu-alukan rakyat asing yang boleh memberi sumbangan kepada negara ini serta mahu menjadikannya rumah mereka
  • Terus memajukan tindak balas negara terhadap perubahan iklim serta menghasilkan "kawasan pertumbuhan hijau" baru untuk Singapura yang kemudian mencipta pekerjaan baru bagi penduduk setempat

DIVISYEN PERKHIDMATAN AWAM

PSD berikrar untuk mengubah cara perkhidmatan awam berfungsi tanpa mengubah integriti, perkhidmatan dan kecemerlangannya. Ini akan dilakukannya melalui penyusunan semula penjawat awam ke lebih banyak "pasukan silang agensi" untuk membolehkan mereka menyelesaikan masalah dengan lebih baik, melampaui batas agensi.

Ini termasuk:

  • Meluaskan jaringan pengambilan pegawainya meliputi pelbagai latar belakang dan kemahiran supaya mereka dapat memberikan perspektif berbeza kepada masalah dan huraian
  • Melabur lebih banyak dalam meningkatkan kemahiran mereka untuk membolehkan penjawat awam terus kekal bekerja dalam laluan kerjaya buat lebih lama
  • Mendedahkan pegawai untuk melakukan pekerjaan lain supaya mereka meraih perspektif lebih luas dan mendapat lebih banyak peluang untuk bekerja dengan sektor privet serta masyarakat

PEJABAT DASAR DAN RANCANGAN SAINS DAN TEKNOLOGI

Ditubuhkan pada lewat 2019, pejabat baru itu akan menyelaraskan perancangan keupayaan sains dan teknologi serta mengatasi kekurangan tenaga kerja dan kewangan dalam khidmat awam menerusi kemajuan dalam teknologi.

Ia berikrar untuk:

  • Membina keupayaan sains dan teknologi sektor awam yang lebih kukuh
  • Gabungkan permintaan bagi sains dan teknologi di seluruh Pemerintah untuk kecekapan yang lebih tinggi

KUMPULAN NEGARA BIJAK DAN PEMERINTAH DIGITAL

SNDGG akan mempercepat penerapan pendigitalan dalam semua perkhidmatan Pemerintah ke arah matlamat Negara Bijak dengan perkhidmatan digital yang lebih baik untuk orang ramai, seperti bagaimana GovTech dapat membangunkan TraceTogether dan SafeEntry dengan cepat untuk membantu menangani COVID-19.

Bagi melanjutkan usaha itu, SNDGG berikrar untuk:

  • Memudahkan semua orang akses kepada perkhidmatan digital, terutamanya warga emas dan golongan yang kurang celik digital
  • Membangunkan pilihan digital untuk semua perkhidmatan Pemerintah menjelang 2023, dengan kadar kepuasan rakyat dan perniagaan yang tinggi untuk perkhidmatan tersebut
  • Mengukuhkan keselamatan data dalam Pemerintah
  • Membangunkan prasarana, wadah dan piawai digital seperti Identiti Digital Negara dan pembayaran elektronik 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan