Kenyataan menteri berhubung Sylvia Lim, Faisal Manap dibentangkan di Parlimen pada 7 Jul
Ketua Dewan Indranee Rajah akan menyampaikan kenyataan menteri mengenai dapatan Jawatankuasa Hak Istimewa (COP) berhubung tindakan Pengerusi Parti Pekerja (WP), Sylvia Lim, dan Naib Pengerusinya, Faisal Manap, apabila parlimen bersidang pada Selasa (7 Jul).
Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Menurut kertas susunan mesyuarat yang diterbitkan pada Isnin, kenyataan menteri itu akan mengandungi "keputusan" mengenai dapatan COP berhubung penglibatan kedua-dua pemimpin WP itu dalam kejadian berkaitan pembohongan bekas anggota WP, Raeesah Khan, kepada parlimen pada 2021.
Cik Indranee sebelum ini berkata pada Disember tahun lalu bahawa sabitan terhadap Setiausaha Agung WP, Pritam Singh kerana berbohong kepada parlimen akan mempunyai "implikasi" terhadap kedua-dua pemimpin WP tersebut.
Ketua Dewan itu berkata ketika itu bahawa "COP berpendapat jika Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Faisal membimbing Cik Khan untuk mengulangi pembohongannya di parlimen, maka tindakan sedemikian tidak wajar bagi seorang Anggota Parlimen dan merupakan penghinaan terhadap parlimen".
Parlimen sebelum ini menangguhkan keputusan mengenai perkara tersebut sehingga kes Encik Pritam selesai kerana ketiga-tiga anggota WP itu mempertikaikan laporan COP, kata Cik Indranee.
Encik Pritam disabit atas dua tuduhan berbohong kepada parlimen pada Februari 2025, dengan rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi pada awal Disember.
Anggota Parlimen juga akan membincangkan soalan berkaitan dasar Singapura mengenai tayangan awam filem dialek pada sidang parlimen akan datang itu.
Perbincangan tersebut menyusuli tayangan terhad filem "Dear You" dalam dialek Teochew, sementara versi alih suara dalam bahasa Mandarin ditayangkan secara meluas kepada orang ramai, mencetuskan perdebatan awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.