Kenyataan Calvin Cheng tidak boleh diterima, melampaui batas: Masagos

SINGAPURA: Keharmonian sosial amat dihargai dan dilindungi di Singapura kerana ia memerlukan usaha, keyakinan dan kepercayaan yang berdekad-dekad lamanya untuk dibina.
Dalam catatan Facebook pada Rabu (9 Apr), Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata kepercayaan itu boleh terjejas dengan mudah oleh kata-kata yang dikeluarkan tanpa sebarang pertimbangan.
"Kita mesti berhati-hati dengan impak negatif yang mungkin kita cetuskan terhadap perpaduan sosial, lebih-lebih lagi dalam kedudukan kita yang berpengaruh," kata Encik Masagos.
Beliau mengulas lebih lanjut wawancara bersama Berita Harian mengenai kenyataan oleh mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Calvin Cheng baru-baru ini.
Pada 13 Mac lalu, Encik Cheng memuat naik catatan di Facebook tentang aktivis daripada Monday of Palestine Solidarity (MPS). Melalui catatan itu, Encik Cheng meluahkan hasratnya untuk menaja mereka berpindah ke Gaza dan menanggung biaya mereka ke sana jika mereka tidak pulang ke Singapura.
Encik Masagos berpendapat ia tidak wajar dan menegaskan, "Tiada sesiapa berhak untuk mencadangkan supaya warga Singapura lain meninggalkan negara ini semata-mata hanya kerana mereka mempunyai pandangan yang berbeza. Kita semua ada kepentingan di sini. Tiada sesiapa pun - Melayu, Cina, India, tidak kira latar belakang mereka - adalah 'pendatang'. Ini adalah negara kita semua."
Beliau berkata kenyataan Encik Cheng tidak boleh diterima dan faham bahawa ia mengguris hati ramai orang lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
"Cara komen itu ditulis melampaui batas. Ia bukan sahaja tentang percanggahan pendapat, ia adalah tentang mesej yang disampaikan seolah-olah sesetengah warga Singapura tiada tempat di sini jika mereka menyuarakan pendapat mereka. Itu bukan sesuatu yang boleh kita terima. Bukan di sini," kata Encik Masagos.
JAGA ADAB - CERMINAN KEKUATAN MASYARAKAT
Tentang respons masyarakat Melayu/Islam pula, Encik Masagos akur kemarahan yang diluahkan masyarakat dan menyifatkannya sebagai munasabah.
Beliau menyeru masyarakat supaya terus berpegang kepada adab dalam memberikan respons.
"Saya juga menyeru supaya anda terus berpandukan nilai-nilai atau adab kita - bukan satu tanda kelemahan tetapi mencerminkan kekuatan dan kebijaksanaan kita. Budaya kita mengajar kita bahawa rasa hormat dan kebaikan hati adalah asas bagi sebuah masyarakat yang kukuh dan bersatu hati. Mari kita berpegang kepada nilai itu, memberi respons dengan kekuatan dan kesantunan, bukan perpecahan," kata Encik Masagos.
Beliau juga mengingatkan masyarakat kepada satu pepatah Melayu yang berbunyi "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya."
Encik Masagos berkata dunia sudah menyaksikan pelbagai perpecahan dan berharap masyarakat dapat terus bersatu hati dan mempamerkan nilai-nilai yang menjadikan mereka lebih kuat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.