Kenyataan bersama persatuan & dewan perniagaan dikecam masyarakat siber kerana pertahan amalan angkut pekerja gunakan lori

SINGAPURA: Warga net melemparkan kritikan yang tajam terhadap kenyataan bersama oleh beberapa badan industri yang dikeluarkan pada Selasa (1 Ogos) tentang bagaimana tindakan untuk mengharamkan perbuatan mengangkut pekerja asing di bahagian belakang lori adalah sesuatu yang 'rumit'.
Kenyataan itu dikeluarkan menyusuli petisyen yang dikemukakan sebelum ini oleh kumpulan-kumpulan penyokong yang menggesa garis masa untuk mengharamkan tindakan mengangkut pekerja menggunakan lori, yang dikritik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Petisyen itu dikemukakan selepas berlaku dua kemalangan melibatkan lori pada Julai.
Dewan perniagaan dan persatuan-persatuan daripada pelbagai industri menyatakan dalam kenyataan tersebut bahawa sebarang langkah untuk menghentikan tindakan mengangkut pekerja di belakang lori atas sebab keselamatan melibatkan "kerumitan praktikal dan operasi sebenar".
Satu kesan daripada mengangkut pekerja dengan lebih selamat ialah lebih banyak kenderaan di jalan raya dan kesesakan penumpang yang lebih ketara, tambahnya.
AMALAN "TIDAK BERETIKA"
Warga net, termasuk Duta Kelana Singapura, Profesor Tommy Koh, turut menyelar kenyataan kumpulan tersebut. Hantaran berhubung isu tersebut di akaun Facebook CNA misalnya, mengundang lebih 800 komen, dengan sebilangan besar daripada mereka mengkritik apa yang dibentangkan.
Prof Koh menulis dalam catatan Facebooknya pada Rabu bahawa "Singapura mempunyai perbezaan yang meragukan sebagai satu-satunya negara kaya" di mana majikan dibenarkan mengangkut pekerja di belakang lori tanpa tempat duduk dan tali pinggang keledar, sambil menambah bahawa beliau tidak terkejut dengan kenyataan bersama oleh kumpulan itu.
“Mereka menggunakan taktik menakut-nakutkan untuk menyokong tujuan mereka … Sebab sebenar mereka adalah wang. Ia akan meningkatkan kos mereka untuk menjalankan perniagaan jika mereka dikehendaki mengangkut pekerja asing menggunakan kenderaan yang mempunyai tempat duduk dan tali pinggang keledar. Kita tidak seharusnya terpedaya dengan kempen mereka,” tulisnya.
Nyawa pekerja ini "berharga seperti nyawa kita juga" dan mereka harus "diperlakukan dengan cara yang sama seperti kita memperlakukan diri kita sendiri", termasuk mewajibkan mereka mempunyai tempat duduk dan tali pinggang keledar, kata Prof Koh, yang sebelum ini mengulas tentang "dunia ketiga" cara pekerja dilayan di negara "dunia pertama" Singapura.
Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang kenyataan bersama oleh badan perniagaan itu, kumpulan hak pekerja Workers Make Possible menyatakan bahawa mereka "mencabar eksekutif 25 kumpulan perniagaan yang menandatangani kenyataan itu supaya melakukan perjalanan ke tempat kerja hari demi hari di bahagian belakang lori untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dibimbangkan itu".
CNA menghubungi kumpulan perniagaan bersama itu pada Rabu untuk mendapatkan maklum balas mereka tentang sentimen orang ramai mengenai kenyataannya, tetapi belum menerima jawapan sejauh ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.