Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenneth Mak diberi jawatan baru sebagai Ketua Pengarah Kesihatan SG pada 1 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
Kenneth Mak diberi jawatan baru sebagai Ketua Pengarah Kesihatan SG pada 1 Mei

Prof Madya Kenneth Mak semasa sidang media pada 14 Mei 2021.

SINGAPURA: Profesor Kenneth Mak, yang memainkan peranan penting dalam perjuangan Singapura memerangi COVID-19, akan diberi jawatan baru sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mei.

Jawatan yang disandangnya sekarang ini ialah Pengarah Khidmat Perubatan.

Perubahan dalam nama jawatan itu mencerminkan dengan lebih tepat lagi peranannya sebagai penyelia utama kedua-dua kesihatan klinikal dan awam rakyat Singapura, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (28 Apr).

Ini termasuk pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, menegakkan piawaian profesional jagaan kesihatan, serta meningkatkan prestasi sistem jagaan kesihatan negara ini serta khidmatnya.

Perancangan untuk memberi jawatan baru kepada Profesor Mak pertama kali diumumkan pada bulan Mac semasa perbahasan parlimen berhubung Kertas Putih COVID-19.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada waktu itu memberi perincian berhubung perubahan yang akan dibuat kepada sistem kesihatan Singapura selepas pandemik, termasuk Agensi Penyakit Berjangkit yang baru bagi menyelia kesediaan dan kawalan penyakit, pemantauan, penilaian risiko dan respons wabak.

Profesor Mak, wajah yang sering muncul bagi pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, diiktiraf dengan anugerah tertinggi kebangsaan atas sumbangannya dalam membantu Singapura memerangi pandemik.

Pejabat Perdana Menteri memuji peranannya menasihati pasukan bertindak dan agensi-agensi pemerintah lain dalam melakar strategi keseluruhan untuk membendung wabak tersebut.

MOH menyatakan jawatan baru itu adalah antara perubahan yang dibuat bagi penstrukturan semula MOH untuk memberi penekanan kepada kedua-dua khidmat klinikal dan kesihatan awam, hasil pengajaran yang diperolehi daripada pandemik.

"Usaha lain termasuk pembentukan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), penyenggaraan tetap Kumpulan Strategi dan Operasi Krisis dan penubuhan Pasukan Simpanan Jagaan Kesihatan," jelas MOH.

"Apabila ia dilaksanakan, perubahan ini akan membolehkan khidmat klinikal dan kesihatan awam menjadi sebuah institusi dan dibangunkan dalam kementerian itu."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan