Kenderaan MPV akan dilencongkan ke lorong bas untuk pelepasan imigresen di Pusat Pemeriksaan Tuas
Bermula 2 Jan 2024, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang besar seperti Hyundai Starex, Hyundai Staria, Toyota Vellfire, Toyota Alphard dan Maxus akan dilencongkan ke zon-zon bas untuk pelepasan imigresen bagi ketibaan dan keberangkatan di Pusat Pemeriksaan Tuas.
Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY
Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk meningkatkan kecekapan pelepasan di lorong-lorong kereta dan keseluruhan pengalaman pelepasan imigresen untuk mereka yang melakukan perjalanan dengan menaiki kereta.
Dalam catatannya di Facebook, ICA mendapati kenderaan MPV yang besar beroperasi lebih seperti van mini atau bas di pusat-pusat pemeriksaan darat.
Kenderaan MPV seperti ini mempunyai kapasiti sehingga 12 penumpang, tetapi kebanyakannya membawa sehingga 16 penumpang.
Dengan lebih ramai pelawat dalam kenderaan sedemikian, masa yang diambil untuk melalui pelepasan imigresen adalah lebih lama berbanding dengan kereta-kereta lain.
Terdapat juga banyak maklum balas daripada para pelawat yang menaiki kereta tentang kelengahan yang disebabkan oleh MPV besar yang membawa lebih ramai penumpang.
Maklum balas itu turut menyarankan kepada ICA supaya mempertimbangkan usulan untuk mengasingkan kenderaan sedemikian ke lorong-lorong yang berbeza.
Melencongkan MPV besar seperti itu ke lorong bas akan mempercepatkan pelepasan imigresen untuk kedua-dua MPV besar dan kereta lain, sekali gus meningkatkan pengalaman keseluruhan untuk semua pelawat dan penumpang.
MPV yang lebih kecil boleh terus melalui pelepasan imigresen menggunakan lorong kereta.
Para penumpang dalam MPV besar perlu turun dengan bagasi mereka dan terus ke dewan bas untuk pelepasan imigresen, manakala pemandu melalui pelepasan imigresen menggunakan lorong bas.
Bagi para penumpang yang mengalami masalah mobiliti, warga emas, wanita hamil atau kanak-kanak kecil, pegawai ICA akan memudahkan pelepasan imigresen melalui lorong bas, sama seperti penumpang bas.
ICA juga telah mempertimbangkan inisiatif serupa di Pusat Pemeriksaan Woodlands untuk membantu mengurangkan jumlah trafik yang tinggi di zon-zon kereta.
ICA akan terus mengkaji proses semasa dan meneroka cara-cara untuk meningkatkan pengalaman para penumpang dan pelawat.
ICA memohon pemahaman, kesabaran dan kerjasama para pemandu, penumpang dan pelawat dengan pegawai ICA di pusat-pusat pemeriksaan darat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.